Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Konspirasi, persepsi dan kedaulatan undang-undang

71759976230_parlimenmalaysia.jpg
Apabila pihak berkuasa mengesahkan siasatan di bawah undang-undang yang berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, ini menunjukkan tahap keseriusan yang luar biasa. - Gambar hiasan

KENYATAAN terbaharu Polis Diraja Malaysia mengenai siasatan terhadap dakwaan
konspirasi menjatuhkan kerajaan seharusnya membuka mata rakyat bahawa isu
kestabilan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Apabila pihak berkuasa mengesahkan siasatan di bawah undang-undang yang
berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, ini menunjukkan
tahap keseriusan yang luar biasa. Ia bukan sekadar pertikaian politik biasa, tetapi
melibatkan kemungkinan ancaman terhadap sistem pemerintahan yang dipilih
rakyat.

Advertisement

Lebih membimbangkan, laporan yang dibuat mendakwa wujud usaha menggunakan media antarabangsa, pelobi luar negara dan tekanan persepsi global untuk mempengaruhi politik domestik Malaysia. Sekiranya benar, tindakan sedemikian melangkaui batas perdebatan demokratik dan menyentuh soal kedaulatan negara.

Dalam era maklumat tanpa sempadan, persepsi boleh menjadi senjata yang lebih berkesan daripada kekuatan fizikal. Naratif yang dibentuk secara sistematik mampu
melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi, memecah-belahkan masyarakat
dan akhirnya menjejaskan legitimasi kerajaan.

Tidak mustahil juga bahawa serangan berterusan terhadap institusi penguatkuasaan — termasuk terhadap kepimpinan SPRM — perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. SPRM dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menunjukkan pendekatan “tanpa pilih bulu”, menyiasat tokoh politik, korporat, penjawat awam, NGO dan bahkan kepimpinan tertinggi sektor pertahanan negara.

Penulis: Nazir Ab Hadi

Pendekatan tegas ini sememangnya penting dalam memerangi rasuah, tetapi pada
masa yang sama boleh mencetuskan tindak balas daripada pihak yang berkepentingan. Namun begitu, kita juga tidak boleh terjebak dalam spekulasi. Prinsip asas negara
hukum ialah keadilan mesti berasaskan bukti, bukan persepsi atau tekanan media. “Trial by media” bukan sahaja boleh memusnahkan reputasi individu, malah
berpotensi menjejaskan kepercayaan terhadap institusi negara.

Apa yang diperlukan sekarang ialah ketenangan dan keyakinan terhadap proses undang-undang. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan telus bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut.

Jika benar wujud konspirasi, ia mesti ditangani dengan tegas demi mempertahankan demokrasi dan kedaulatan negara. Jika dakwaan itu tidak berasas, penyebaran tuduhan sedemikian juga perlu diambil tindakan agar tidak menjadi alat manipulasi politik.

Malaysia tidak boleh membiarkan kestabilan negaranya ditentukan oleh perang persepsi. Demokrasi yang matang bergantung kepada fakta, keadilan dan penghormatan terhadap undang-undang — bukan kepada naratif yang paling lantang.

Akhirnya, yang dipertaruhkan bukan hanya reputasi individu atau institusi, tetapi
masa depan negara itu sendiri.
 


*Artikel ini tulisan Nazir Ab Hadi, Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR)

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video