KETEGANGAN geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat telah mengganggu rantaian bekalan tenaga global melalui sekatan Selat Hormuz, sebuah laluan kritikal yang mengendalikan hampir satu pertiga bekalan minyak dunia.
Sekatan terhadap laluan ini telah menyebabkan peningkatan mendadak kos minyak petrol dan diesel, serta tekanan ekonomi yang semakin tinggi. Krisis minyak ini menimbulkan satu persoalan penting: adakah sudah tiba masanya rakyat Malaysia beralih daripada kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV)?
Data terkini menunjukkan EV semakin popular di Malaysia. Menurut data pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 5,894 EV telah didaftarkan pada April 2026, iaitu peningkatan sebanyak 103.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu 2,892 unit EV yang direkodkan pada April 2025. Pada April 2026, EV merangkumi 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran kereta baharu, satu perkembangan yang memberangsangkan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, jumlah kenderaan penumpang (PV) jenis kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia sejak tahun 2018 hingga kini adalah sebanyak 94,165 unit. Jika dahulu EV dilihat sebagai pasaran yang didominasi jenama premium seperti Tesla, kini landskap EV berkembang dengan pesat dan lebih mampu milik.
Rakyat Malaysia mula melihat EV bukan sekadar sebagai alternatif untuk golongan tertentu sahaja yang berkemampuan, tetapi sebagai pilihan praktikal untuk pengangkutan harian. Perubahan ini menunjukkan bukan sahaja peningkatan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, tetapi juga tindakan pragmatik terhadap kenaikan harga minyak berikutan ketegangan di timur tengah.
EV menawarkan pelbagai kelebihan dari sudut kewangan, keselesaan dan kelestarian alam sekitar. Kos pengecasan EV lazimnya lebih murah, terutamanya jika pengecasan dilakukan di rumah. EV juga berpotensi meningkatkan penjimatan kewangan jika tenaga elektrik dijana daripada tenaga solar yang dipasang di rumah. Kini, krisis tenaga global dan kenaikan harga minyak petrol dan diesel menjadikan tarikan penggunaan EV lebih menarik berbanding kereta ICE.
Selain itu, EV memerlukan penyelenggaraan yang lebih mudah kerana mempunyai bilangan komponen bergerak yang kurang berbanding kereta enjin pembakaran dalaman (ICE). Sebagai contoh, EV tidak memerlukan minyak enjin dan palam pencucuh, serta mempunyai sistem mekanikal yang lebih ringkas.Keadaan ini membantu mengurangkan kos servis dan risiko kerosakan.
Dari aspek pemanduan pula, EV menawarkan pengalaman pemanduan yang senyap dan selesa. Motor elektrik menghasilkan bunyi dan getaran yang sangat minimum, menjadikan perjalanan lebih lancar dan kurang bising berbanding kereta ICE. Pengurangan bunyi trafik juga mampu mewujudkan suasana bandar yang lebih tenang dan selesa, keadaan ini bermanfaat, khususnya di kawasan perumahan, sekolah, hospital dan pusat bandar. Senario ini dapat dilihat di bandar-bandar utama di China, di mana walaupun bilangan kereta di jalan raya adalah tinggi, suasana bandar kekal tenang dan kurang bising hasil daripada penggunaan EV yang meluas.
EV juga lebih mesra alam kerana tidak menghasilkan pencemaran udara semasa pemanduan. Selain itu, ia membantu meningkatkan kualiti udara kerana tidak menghasilkan asap ekzos seperti kenderaan enjin petrol dan diesel. Secara tidak langsung, penggunaan EV membantu mengurangkan risiko penyakit pernafasan, serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Keadaan ini amat bermanfaat terutamanya di kawasan sekolah, di mana sejumlah besar van sekolah dan kenderaan ibu bapa yang menunggu dalam keadaan enjin hidup menyebabkan pencemaran udara akibat pelepasan asap dari ekzos kenderaan petrol dan diesel. Keadaan ini mewujudkan persekitaran udara yang tidak sihat dan boleh membahayakan kesihatan murid sekolah.
Selain itu, EV menghasilkan kurang haba buangan berbanding kenderaan enjin petrol, sekali gus membantu mengurangkan fenomena pulau haba bandar (urban heat island), iaitu keadaan di mana kawasan bandar mencatatkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, penggunaan EV mempunyai beberapa cabaran seperti masa pengecasan yang lama, kebimbangan terhadap jarak perjalanan (range anxiety), serta infrastruktur pengecasan yang masih belum mencukupi di sesetengah kawasan di Malaysia.
Namun begitu, teknologi bateri dan infrastruktur rangkaian pengecasan EV sedang berkembang dengan pesat. Sebanyak 10,000 stesen pengecasan awam telah disasarkan di seluruh Malaysia, dan sehingga Disember 2025, sebanyak 5,624 unit stesen pengecasan EV telah selesai dipasang.
Walaupun jumlah stesen pengecas awam semakin meningkat, masalah utama masih wujud di kawasan kediaman khususnya di kawasan apartmen. Bagi ramai penduduk bandar yang tinggal di kawasan apartmen, kekurangan kemudahan pengecasan di tempat kediaman menjadi halangan utama.
Bagi menangani cabaran ini, ianya memerlukan usaha bersama antara pihak pemaju, pengurusan bangunan, dan penduduk. Pemasangan panel solar juga perlu digalakkan di kawasan perumahan dan di pejabat sebagai inisiatif untuk pertambahan penyediaan tempat pengecasan EV di tempat-tempat parkir.
Dalam memastikan penggunaan EV berkembang dengan lebih meluas di Malaysia, ekosistem industri EV perlu dirancang secara menyeluruh. Dasar kerajaan serta perancangan strategik jangka panjang yang komprehensif akan menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada penggunaan EV mampu berkembang secara mampan, berterusan dan meluas di Malaysia.
Kerjasama yang lebih kukuh antara industri dan akademia juga amat penting. Sebagai contoh, program-program akademik yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti perlu disuaikan dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan bilangan tenaga mahir untuk pembangunan industri EV di Malaysia, sama ada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana, atau dalam bentuk Sijil Profesional.
Penyelidikan yang dilakukan di universiti juga amat penting dalam membangunkan teknologi dan inovasi yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa. Penyelidikan dalam bidang utama yang menyokong pembangunan EV perlu diberi keutamaan seperti sistem pengurusan haba bateri, reka bentuk motor, pengoptimuman reka bentuk komponen kereta, proses pembuatan termaju seperti pembuatan aditif, dan kecekapan aerodinamik kereta.
Kerjasama yang rapat dan strategik antara sektor industri dan universiti penting dalam melahirkan bakat berkualiti tinggi dan jurutera masa depan yang mampu menerajui transformasi sektor automotif. Pemikiran jauh dan perancangan jangka masa panjang adalah penting dalam memastikan Malaysia mempunyai bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk memacu industri EV.
Cabaran-cabaran ini menunjukkan bahawa peralihan daripada kereta pembakaran enjin dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik bukan sekadar melibatkan perubahan teknologi, tetapi satu transformasi sistemik. Tanpa pendekatan yang holistik dan terancang, peralihan EV berisiko menjadi tidak menyeluruh dan tidak mampan.
Krisis di Asia Barat telah meningkatkan harga minyak dan menimbulkan tekanan ekonomi. Namun di sebalik cabaran ini, terdapat peluang yang besar. Krisis tenaga global wajar dilihat bukan sebagai krisis semata-mata, tetapi sebagai pemangkin kepada transformasi industri automotif negara dan pembangunan ekosistem EV yang lebih mampan di Malaysia.
*Dr Abdul Hadi Azman adalah pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Automotif (CAR), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.