MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kualiti kehidupan impian pekerja
![[KOLUMNIS] Kualiti kehidupan impian pekerja [KOLUMNIS] Kualiti kehidupan impian pekerja](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2023-08/61692933137_PwCsGlobalWorkfor.jpg)
Polisi gaji minimum adalah satu langkah yang baik. Namun, ramai pekerja masih berada di dalam paras kemiskinan dan ini juga tidak membantu untuk menambahbaik kualiti pekerjaan di Malaysia. - Gambar hiasan
KESEIMBANGAN kehidupan dan kerja sering menjadi faktor utama di dalam isu penghijrahan cendekiawan di mana sahaja di dunia ini.
Setiap tahun Malaysia mengeluarkan ratusan ribu pemegang ijazah pertama dan puluhan ribu di peringkat sarjana dan PhD, namun pihak majikan masih mengeluh berkaitan kekurangan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak pasaran dan kos yang tinggi berbanding dengan kualiti yang diperolehi dari pekerja mereka.
Kemuncak kepada pendidikan bagi seorang manusia adalah memperoleh ijazah yang menjadi kunci untuk membuka pintu ke alam pekerjaan.
Ramai yang mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi menanggung pengajian mereka.Kemudahan kewangan PTPTN harus dibayar balik dan ini menjadikan ramai anak muda yang memasuki ke alam pekerjaan di tahap negatif dari segi pendapatan.
Walaupun banyak kemudahan bayaran balik yang diberikan oleh PTPTN, namun desakan untuk membayar balik pinjaman pengajian sering dijadikan alasan untuk graduan menerima apa sahaja gaji yang ditawarkan walaupun tidak setimpal dengan jurusan ataupun skil yang dimiliki. Ini menjadi punca krisis kualiti yang sering dipertikaikan oleh majikan.
Polisi gaji minimum adalah satu langkah yang baik. Namun, ramai pekerja masih berada di dalam paras kemiskinan dan ini juga tidak membantu untuk menambahbaik kualiti pekerjaan di Malaysia.
Selanjutnya langkah-langkah untuk meningkatkan skil dalam kalangan pekerja harus dititikberatkan oleh majikan.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Dana Pembangunan Sumber Manusia menjadi salah satu jalan untuk mengekal atau meningkatkan skil para pekerja.
Di samping skil, tempoh pengalaman bekerja juga menjadi faktor bagi menentukan gaji pekerja.
Dalam mengejar pendapatan yang lebih tinggi, ramai tenaga kerja Malaysia yang memilih untuk berhijrah ke negara asing yang menawarkan gaji dan persekitaran pekerjaan yang lebih memberangsangkan.
Ramai juga graduan Malaysia di negara asing yang ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pendidikan mereka.
Di Australia dan New Zealand misalnya, ramai anak Malaysia, sama ada profesional seperti akauntan, juruaudit, jurutera ataupun pekerja berkemahiran tinggi seperti wartawan foto, jurusembelih di kilang memproses daging halal dan lain-lain, terus menetap di negara tersebut disebabkan tawaran pekerjaan yang menarik bagi mereka.
Walaupun terpaksa melalui proses melibatkan birokrasi imigrasi dan sebagainya, ramai tenaga kerja Malaysia di Australia dan New Zealand berpendapat bahawa pulangan dari segi pendapatan dan gaya hidup adalah berbaloi dengan proses yang dilalui.
Majikan pula menyediakan lapangan pekerjaan samarata yang berdasarkan kepada merit, tanpa mengira samada pekerja asing ataupun pekerja tempatan.
Malah ramai majikan memuji pekerja Malaysia di atas disiplin dan nilai integriti yang tinggi.
Budaya kerja di Malaysia, terutama di dalam organisasi atau syarikat-syarikat besar, juga sering menjadi faktor negatif bagi kakitangan mereka.
Sesetengah pegawai kanan syarikat di Malaysia gemar mengadakan mesyuarat di luar waktu kerja ataupun memaksa kakitangan sama ada secara langsung ataupun tidak, untuk menyelesaikan tugasan tanpa mengira kebajikan pekerja.
Di Australia, undang-undang buruh melarang majikan untuk berhubung dengan pekerja secara elektronik di luar waktu bekerja.
Kemudahan kesihatan, insurans, simpanan persaraan, cuti berbayar, cuti bersalin, rekreasi dan lain-lain, yang dinikmati oleh pekerja-pekerja di sini jauh lebih menarik berbanding pekerja-pekerja di tahap yang sama di Malaysia.
Terdapat rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air merungut berkaitan dengan sistem pendidikan bagi anak-anak mereka.
Kanak-kanak menghadapi masalah yang lebih besar untuk menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan di Malaysia.
Ada juga pekerja yang berpindah keluar dari Malaysia atas alasan untuk memberikan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.
Tidak dinafikan bahawa pekerja Malaysia ini adalah hasil daripada sistem pendidikan Malaysia.
Namun sebagai ibu bapa, mereka sentiasa memilih yang terbaik kepada anak-anak mereka.
Perkara-perkara di atas jelas menunjukkan bahawa gaji bukanlah satu-satunya faktor yang akan memutuskan di manakah seseorang pekerja itu akan menetap.
Keseimbangan kehidupan dan tuntutan pekerjaan, laluan kerjaya, sistem sokongan bagi keluarga, kemudahan infrastruktur, sistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan insurans, pelan persaraan, kemudahan riadah dan banyak lagi faktor kemanusian, sosial dan ekonomi yang sering menjadi faktor penentu dalam pekerjaan.
Ramai diaspora Malaysia di negara asing menegaskan bahawa semangat patriotisme mereka tidak berkurangan sedikit pun dan cinta mereka terhadap Malaysia tetap di tahap yang tinggi tetapi kesimbangan kerjaya dan kehidupan mempengaruhi keputusan hidup mereka.
Sudah tiba masa bagi kerajaan, terutama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia melihat keperluan untuk merangka dasar buruh dan sumber manusia yang lebih menyeluruh, dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) selari dengan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju.
* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami