Perubahan Antartika jejas Malaysia, usaha pemeliharaan perlu dipertingkat - Sultan Mizan

Sultan Mizan berkenan melancarkan Sambutan Hari Antartika pada Majlis Peluncuran Sambutan Hari Antartika dan Penganugerahan Geran Sokongan Penyelidikan Antartika YPASM 2025 di UNITEN hari ini. - Gambar Bernama
KAJANG: Malaysia memikul tanggungjawab moral, ilmiah dan global dalam usaha memelihara Antartika kerana setiap perubahan yang berlaku di benua itu memberi kesan langsung kepada negara ini, titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ringkasan AI
- Sultan Terengganu menekankan tanggungjawab Malaysia sebagai anggota Triti Antartika 1959 untuk menyokong usaha global dalam menangani perubahan iklim dan pemeliharaan bumi.
- Pencairan pelantar ais Antartika akibat pemanasan global menyebabkan kenaikan aras laut sebanyak 7.4 milimeter, menurut Laporan IPCC.
- Malaysia telah memainkan peranan penting dalam diplomasi Antartika dengan inisiatif 'Question of Antarctica' di PBB pada 1982, menegaskan bahawa Antartika adalah warisan bersama manusia yang perlu ditadbir secara telus dan inklusif.
"Sementara itu, Laporan Antarctic Treaty Consultative Meeting 2025 turut memandang serius isu mikroplastik dan mencadangkan penyediaan pelan tindakan segera bagi menangani isu ini," titah baginda pada Sambutan Hari Antartika 2025 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Sultan Mizan turut mengingatkan bahawa Malaysia telah mencipta sejarah dalam diplomasi Antartika pada 1982 melalui inisiatif 'Question of Antarctica' di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), yang memperjuangkan bahawa Antartika adalah warisan bersama manusia dan perlu ditadbir secara telus serta inklusif.
"Legasi ini telah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara terawal memperjuangkan prinsip keadilan dalam diplomasi Antartika," titah baginda yang telah menjejakkan kaki ke benua itu pada 2011 dalam satu lawatan kerja rasmi.
Pada majlis itu, Sultan Mizan selaku Penaung Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPASM) berkenan menganugerahkan Geran Penyelidikan YPASM kepada penyelidik daripada 12 universiti bagi melaksanakan kajian dan projek berkaitan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan iklim.
Baginda turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi antara YPASM dan 12 universiti tempatan bagi Kitaran Ketiga Smart Partnership Initiative untuk tempoh 2026-2030.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


