[KOLUMNIS] Lobi: Strategi memujuk atau pintu kepada jenayah?
![[KOLUMNIS] Lobi: Strategi memujuk atau pintu kepada jenayah? [KOLUMNIS] Lobi: Strategi memujuk atau pintu kepada jenayah?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/41765782386_MohamadTarmizeAbdu.jpg)
Mohamad Tarmize (foto) berkata secara umum, aktiviti melobi tidak menyalahi undang-undang jika dilakukan secara beretika. Melobi yang sah adalah proses menyampaikan maklumat, fakta dan pandangan untuk memaklumkan pembuat dasar.
AKTIVITI melobi selalunya diberikan konotasi negatif. Seolah-olah perbuatan itu adalah jenayah yang mutlak.
Ringkasan AI
- Aktiviti melobi didefinisikan sebagai usaha untuk mempengaruhi pihak berkuasa untuk mendapatkan sesuatu, sama ada dalam bidang politik, perniagaan, atau sosial.
- Risiko aktiviti melobi termasuk pengaruh tidak wajar, persaingan tidak adil, konflik kepentingan, dan keputusan yang tidak tepat.
- Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) mengeluarkan garis panduan untuk mengawal aktiviti melobi dengan menekankan pendaftaran pelobi, pendedahan aktiviti lobi, dan kod etika khusus.
Apakah sebenarnya aktiviti melobi? Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan ‘melobi’ sebagai usaha untuk mempengaruhi pihak yang berkuasa bagi mendapatkan sesuatu.
Aktiviti melobi digunakan secara meluas, sama ada dalam bidang politik, perniagaan, atau sosial.
Pihak yang melaksanakan aktiviti melobi dikenali sebagai ‘pelobi’. Pelobi boleh jadi individu, kumpulan atau syarikat yang diupah oleh pihak yang berkepentingan (syarikat, persatuan dan lain-lain).
Kaedah melobi merangkumi perjumpaan bersemuka, panggilan telefon, komunikasi melalui surat atau e-mel dengan pihak yang mempunyai kuasa.
Melobi juga dilakukan melalui aktiviti sosial seperti makan tengah hari, sukan golf, dan perjumpaan tidak rasmi. Kaedah ini dapat membina hubungan santai, seterusnya membuka pintu perbincangan lanjut pada masa akan datang.
Beberapa contoh melobi adalah: (a) kumpulan pelobi industri rokok bertemu ahli parlimen bagi membantah cadangan undang-undang kawalan tembakau yang lebih ketat.
Mereka berhujah dari sudut kehilangan pekerjaan rakyat dan pengurangan pendapatan cukai negara; (b) pelobi menjemput pengurusan tertinggi sebuah jabatan untuk makan tengah hari, bertujuan memperkenalkan syarikat dan menjelaskan kelebihan syarikat berbanding pesaing.
Seterusnya, memujuk untuk diberikan kontrak jabatan; dan (c) sebuah syarikat besar menaja program CSR seperti membaiki rumah penduduk miskin di kawasan seorang wakil rakyat. Dengan harapan, wakil rakyat tersebut akan menyokong projek komersial syarikat itu pada masa akan datang.
Adakah lobi aktiviti yang salah?
Secara umum, aktiviti melobi tidak menyalahi undang-undang jika dilakukan secara beretika. Melobi yang sah adalah proses menyampaikan maklumat, fakta dan pandangan untuk memaklumkan pembuat dasar.
Melobi menjadi kesalahan sekiranya melibatkan elemen sogokan, tekanan, manipulasi keputusan, konflik kepentingan, atau ganjaran untuk mempengaruhi pihak yang membuat keputusan.
Sebagai contoh, dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiga individu didapati bersalah kerana melobi pihak berkuasa Amerika Syarikat agar menghentikan siasatan terhadap skandal itu.
Mereka adalah bekas pegawai Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, George Higginbotham yang mengaku bersalah pada tahun 2018; tokoh politik dan pengumpul dana Parti Republikan, Elliott Broidy (mengaku salah pada tahun 2020); dan ahli kumpulan rap Fugees, Prakazrel ‘Pras’ Michel (didapati bersalah pada tahun 2023).
Tindakan melobi oleh ketiga-tiga individu tersebut didalangi penjenayah utama skandal 1MDB, Jho Low.
Risiko aktiviti melobi
Aktiviti melobi mempunyai implikasi positif dan negatif. Dari sudut positif, aktiviti ini akan menyediakan informasi, pandangan, kepakaran, dan data yang relevan kepada pembuat keputusan.
Namun begitu, sekiranya aktiviti melobi tidak diuruskan dengan baik, ia berpotensi menimbulkan pengaruh tidak wajar, persaingan tidak adil, dan pembuatan keputusan yang tidak tepat.
Dalam konteks keputusan kerajaan sama ada berkaitan dasar, perolehan awam, pengagihan bantuan, dan pelantikan jawatan utama, aktiviti melobi mempunyai beberapa risiko yang perlu diberi perhatian serius.
Risiko pertama, pihak berkepentingan (contohnya syarikat) menggunakan individu berpengaruh sebagai pelobi, yang boleh memujuk atau memberi tekanan kepada pembuat keputusan (pegawai awam). Akhirnya, keputusan berhubung sesuatu tender atau kontrak dibuat kerana pengaruh pelobi. Risiko ini boleh menyebabkan ketirisan, amalan nepotisme, dan pembaziran dana awam.
Risiko kedua, pelobi memberi hadiah bernilai dan suapan (rasuah) kepada pembuat keputusan. Perkara ini sudah tentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.
Penjawat awam yang mempunyai kedudukan sangat disasarkan oleh pelobi dan terdedah kepada aktiviti lobi. Pelobi tidak beretika bukan sahaja memujuk, tetapi menawarkan habuan tertentu.
Kesalahan menawar, memberi, meminta dan menerima suapan (rasuah) diperuntukkan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).
Sekiranya bersalah, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 (mana yang lebih tinggi).
Menjadi kesalahan juga apabila penjawat awam menerima barang berharga dari pihak yang mempunyai hubungan rasmi. Perkara ini diperuntukkan melalui Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sekiranya bersalah, boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Risiko ketiga, peluang dan akses kepada pembuat keputusan yang tidak seimbang. Contohnya, dalam usaha memperoleh tender kerajaan, syarikat yang mempunyai sumber kewangan dan rangkaian luas, akan menikmati akses dan peluang lebih besar untuk mendekati pembuat keputusan.
Mereka mampu melantik pelobi yang kompeten dan berpengaruh untuk melobi, seterusnya meningkatkan kadar kejayaan untuk memenangi tender tersebut.
Risiko keempat, merujuk kepada fenomena ‘revolving door’, iaitu keadaan di mana bekas pegawai kerajaan (bersara) bertindak sebagai pelobi, tanpa ‘tempoh bertenang’ (cooling off period).
Mereka berpotensi menggunakan maklumat sulit, pengaruh dan hubungan terdahulu untuk memperoleh kelebihan tertentu.
Risiko kelima, wujud konflik kepentingan. Berlaku apabila syarikat melantik pelobi yang mempunyai hubungan keluarga dengan pembuat keputusan. Keadaan ini menyebabkan keputusan tidak dibuat secara profesional dan objektif.
Dengan kata lain, pembuat keputusan tidak lagi bertindak berdasarkan kepentingan awam, tetapi dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan.
Risiko keenam, ketidaktelusan dalam aktiviti melobi. Sebarang pertemuan atau komunikasi antara pembuat keputusan dan pelobi tidak direkodkan dan tidak didedahkan kepada umum.
Perkara ini boleh memberi persepsi negatif masyarakat terhadap kemungkinan berlaku pengaruh tidak wajar dan salah guna kuasa dalam sesuatu keputusan kerajaan.
Bagaimana lobi dikawal selia?
Pada tahun 2010, Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebuah organisasi antarabangsa yang berpusat di Paris, mengeluarkan garis panduan bertajuk OECD Principles for Transparency and Integrity in Lobbying, bertujuan menangani risiko berkaitan aktiviti melobi.
Walaupun tidak mempunyai kuasa undang-undang, dokumen ini menyediakan panduan kepada kerajaan untuk mengawal aktiviti melobi melalui langkah-langkah yang mempromosikan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti.
Secara ringkasnya, melalui dokumen ini, OECD menggalakkan negara mewujudkan rangka kerja untuk mengawal selia aktiviti lobi, sama ada melalui undang-undang, peraturan atau garis panduan.
Elemen utama dalam rangka kerja ini termasuklah pendaftaran pelobi, pendedahan aktiviti lobi yang dijalankan, serta penyediaan kod etika khusus bagi pelobi.
OECD menekankan kepentingan sistem pendaftaran dan pendedahan maklumat berkaitan aktiviti lobi kepada orang awam. Contohnya, maklumat mengenai identiti pelobi dan perkara yang dilobi.
Di samping itu, OECD menggesa negara memperkukuh peraturan dan mekanisme kawalan untuk menguruskan isu konflik kepentingan dalam proses membuat keputusan awam dan menangani isu 'revolving door’.
Dengan langkah-langkah ini, integriti proses pembuatan keputusan awam dapat dipertahankan dan risiko pengaruh tidak wajar dapat diminimumkan.
Melangkah ke hadapan
Banyak negara mempunyai perundangan khusus untuk mengawal selia aktiviti melobi. Contohnya, Amerika Syarikat menguatkuasakan Lobbying Disclosure Act 1995; Taiwan (Lobbying Act 2008); United Kingdom (Lobbying Act 2014), Queensland, Australia (Integrity Act 2009); Jerman (The German Lobbying Register Act 2022); dan Ireland (Regulation of Lobbying Act 2015).
Negara-negara lain yang turut mempunyai undang-undang berkaitan aktiviti melobi adalah Austria, Brazil, Kanada, Chile, Perancis, Georgia, Hungary, Lithuania, Macedonia, Montenegro, Peru, Poland, dan Slovenia.
Melobi bukan jenayah. Tetapi tanpa kawal selia, aktiviti itu membuka ruang luas kepada pengaruh tidak wajar, konflik kepentingan dan amalan rasuah. Di Malaysia, tiada peraturan khusus berkaitan aktiviti melobi.
Oleh itu, sudah tiba masanya negara mempertimbangkan mekanisme kawal selia untuk memastikan aktiviti melobi dilaksanakan secara telus, beretika dan berpaksikan kepentingan awam.
Mohamad Tarmize Abdul Manaf ialah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah definisi aktiviti melobi berdasarkan artikel ini? A: Aktiviti melobi didefinisikan sebagai usaha untuk mempengaruhi pihak berkuasa untuk mendapatkan sesuatu, sama ada dalam bidang politik, perniagaan, atau sosial.
- Q: Apa risiko yang terlibat dalam aktiviti melobi menurut artikel ini? A: Risiko aktiviti melobi termasuk pengaruh tidak wajar, persaingan tidak adil, konflik kepentingan, dan keputusan yang tidak tepat.
- Q: Apakah garis panduan yang dikeluarkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) berkenaan aktiviti melobi? A: OECD mengeluarkan garis panduan yang menekankan pendaftaran pelobi, pendedahan aktiviti lobi, dan kod etika khusus sebagai langkah untuk mengawal aktiviti melobi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

