[KOLUMNIS] Memahami monsun Malaysia, lebih daripada sekadar hujan, banjir
![[KOLUMNIS] Memahami monsun Malaysia, lebih daripada sekadar hujan, banjir [KOLUMNIS] Memahami monsun Malaysia, lebih daripada sekadar hujan, banjir](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41764213927_Banjir.jpg)
Monsun sepatutnya dibaca sebagai peta risiko yang hidup. Kawasan rendah, lembangan sungai dan persisiran pantai bukan sekadar titik di peta. - Gambar hiasan/ Bernama
CUACA di Malaysia tidak bergerak secara rawak. Ia bernafas mengikut ritma alam yang sudah berulang sejak ratusan tahun, melalui sistem monsun yang membentuk pola hujan, angin dan musim kehidupan masyarakat. Namun dalam kesibukan harian, monsun sering dilihat sekadar ramalan hujan, bukan sebagai sistem semula jadi yang memberi isyarat penting tentang ruang, risiko dan kesiapsiagaan negara.
Ringkasan AI
- Cuaca di Malaysia dikawal oleh dua monsun utama iaitu Monsun Timur Laut (MTL) dan Monsun Barat Daya (MBD), yang membawa hujan melimpah atau keadaan yang lebih kering kepada negara, mempengaruhi kehidupan masyarakat secara berulang setiap tahun.
- Fasa peralihan antara dua monsun ini merupakan tempoh yang paling tidak menentu, di mana keadaan cuaca sering berubah secara tiba-tiba, membawa hujan lebat terutamanya bagi penduduk di pantai barat Semenanjung Malaysia.
- Monsun seharusnya dibaca sebagai peta risiko yang hidup, menuntut kesiapsiagaan yang bermula dari pemahaman terhadap corak musim, amaran cuaca berterusan, dan tindakan awal di peringkat komuniti untuk memastikan keselamatan bersama.
Di antara dua monsun ini, hadir fasa peralihan yang sering dipandang remeh tetapi sebenarnya paling tidak menentu. Angin menjadi lemah dan berubah arah, pagi kelihatan tenang, namun petang sering berakhir dengan ribut petir yang hadir tiba-tiba. Bagi penduduk di pantai barat Semenanjung Malaysia, inilah tempoh hujan lebat tempatan paling kerap berlaku, walaupun tanpa kehadiran sistem monsun yang jelas.
Jika ditelusuri lebih jauh, monsun bukan fenomena baharu. Istilahnya sendiri berakar daripada perkataan Arab ‘muasim’ yang bermaksud musim, digunakan oleh pedagang maritim berabad lalu untuk membaca arah angin sebelum belayar merentas Lautan Hindi. Mereka memahami bahawa perubahan angin bukan ancaman, tetapi petunjuk masa, ruang dan strategi.
Dari sudut sains, monsun wujud akibat perbezaan pemanasan antara daratan dan lautan. Ketika daratan Asia menyejuk pada musim sejuk, tekanan udara tinggi terbentuk dan menolak udara sejuk ke selatan sebagai angin timur laut. Apabila sistem ini bertembung dengan kawasan tekanan rendah berhampiran Khatulistiwa, hujan lebat dan laut bergelora menjadi tidak dapat dielakkan. Proses ini berulang setiap tahun, tanpa mengambil kira sama ada manusia bersedia atau tidak.
Di sinilah persoalan sebenar timbul. Sejauh mana kita benar-benar memahami monsun sebagai sistem ruang dan bukan sekadar musim hujan. Setiap tahun, amaran dikeluarkan, nasihat diberikan dan tragedi tetap berulang. Ini menunjukkan bahawa cabaran bukan pada kekurangan maklumat, tetapi pada cara kita menterjemah dan bertindak terhadapnya.
Monsun sepatutnya dibaca sebagai peta risiko yang hidup. Kawasan rendah, lembangan sungai dan persisiran pantai bukan sekadar titik di peta, tetapi ruang yang terdedah secara konsisten kepada kesan cuaca bermusim. Tanpa kesedaran ruang ini, kesiapsiagaan akan sentiasa bersifat reaktif.
Maka, kesiapsiagaan menghadapi monsun tidak boleh bermula hanya apabila hujan turun. Ia bermula dengan memahami corak musim, membaca amaran cuaca secara berterusan dan mengambil langkah awal di peringkat komuniti. Membersihkan saliran, merancang laluan pemindahan dan mematuhi arahan pihak berkuasa bukan tanda panik, tetapi tanda kefahaman terhadap bahasa alam.
Akhirnya, monsun mengajar kita satu perkara asas. Alam sentiasa memberi isyarat. Persoalannya bukan sama ada ia akan datang, tetapi sama ada kita bersedia untuk membaca dan bertindak sebelum isyarat itu bertukar menjadi bencana.
Justeru, usaha berterusan untuk meningkatkan kefahaman awam terhadap sistem cuaca dan monsun oleh pelbagai pihak amat dialu-alukan. Adalah diharapkan, semua pihak termasuk pemegang taruh, media dan masyarakat dapat memanfaatkan maklumat cuaca secara lebih berfikir, berlapik dan bertanggungjawab demi keselamatan bersama.
* Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah pengaruh Monsun Timur Laut terhadap keadaan cuaca di Malaysia? A: Monsun Timur Laut membawa musim hujan paling dominan terutamanya di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak, dan timur Sabah. Hujan turun secara berterusan, menguji keupayaan sungai, sistem saliran, dan ketahanan komuniti setempat.
- Q: Bagaimana keadaan cuaca semasa Monsun Barat Daya di Malaysia? A: Monsun Barat Daya membawa keadaan lebih kering bagi kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia, walaupun hujan masih berlaku dalam jumlah yang lebih rendah dan tidak berpanjangan. Sabah sering kekal lembap disebabkan pengaruh sistem atmosfera serantau.
- Q: Mengapa fasa peralihan antara dua monsun di Malaysia dianggap paling tidak menentu? A: Fasa peralihan antara dua monsun di Malaysia dianggap paling tidak menentu kerana angin menjadi lemah, berubah arah, dan keadaan cuaca sering berubah secara tiba-tiba. Ini juga merupakan tempoh di mana hujan lebat tempatan sering berlaku di pantai barat Semenanjung Malaysia.
- Q: Apakah asal usul istilah "monsun" dan mengapa ia penting dalam sejarah perdagangan maritim? A: Istilah "monsun" berasal daripada perkataan Arab ‘muasim’, digunakan oleh pedagang maritim berabad lalu untuk membaca arah angin sebelum belayar merentas Lautan Hindi. Mereka memahami bahawa perubahan angin memberi petunjuk tentang masa, ruang, dan strategi perdagangan.
- Q: Mengapa penting untuk memahami monsun sebagai sistem ruang dan bukan sekadar musim hujan? A: Penting untuk memahami monsun sebagai sistem ruang kerana ia membawa isyarat tentang risiko cuaca bermusim yang terdedah kepada kawasan tertentu. Tanpa kesedaran ruang ini, kesiapsiagaan terhadap bencana cuaca akan sentiasa bersifat reaktif.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

