MALAYSIA
[KOLUMNIS] Memperkasa hak tanah Orang Asli melalui pendidikan
![[KOLUMNIS] Memperkasa hak tanah Orang Asli melalui pendidikan [KOLUMNIS] Memperkasa hak tanah Orang Asli melalui pendidikan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2023-06/71687753633_OrangAsli.jpg)
Kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan maklumat undang-undang menyebabkan Orang Asli sukar memahami hak tanah mereka, menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi pihak luar. -Gambar fail/Sinar Harian
SELAIN berdepan dengan kemelut kemiskinan, masyarakat Orang Asli di negara kita turut menghadapi cabaran besar dalam menyesuaikan diri dengan arus modernisasi.
Ringkasan AI
- Kemelut Tanah Adat: Masyarakat Orang Asli menghadapi kehilangan tanah adat akibat pembalakan, ladang komersial, dan pembangunan, yang menjejaskan sumber ekonomi, makanan, ubatan herba, air bersih, serta identiti budaya mereka.
- Keterbatasan Akses dan Pendidikan: Kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan maklumat undang-undang menyebabkan Orang Asli sukar memahami hak tanah mereka, menjadikan mereka terdedah kepada eksploitasi dan manipulasi pihak luar.
- Kepekaan Dasar dan Pendidikan: Perlunya dasar menyeluruh dan pendidikan khusus mengenai hak tanah adat melalui kurikulum sekolah, bengkel literasi undang-undang, dan aktiviti berasaskan budaya untuk meningkatkan kesedaran dan keupayaan Orang Asli mempertahankan hak mereka.

Kita sedia maklum yang sumber utama pendapatan Orang Asli berkait rapat dengan alam sekeliling. Kehilangan kawasan hutan dan tanah adat akibat pembalakan, ladang komersial atau pembangunan telah menjejaskan sumber ekonomi, makanan tradisional, ubatan herba, serta akses kepada air bersih.
Hak terhadap tanah bukan sekadar hak pemilikan fizikal, tetapi turut menjamin kelangsungan ekologi yang penting bagi kesejahteraan hidup dan sistem kesihatan semula jadi Orang Asli.
Dalam bahasa mudah, kepinggiran dan kemiskinan yang dialami Orang Asli dalam sektor sosial dan ekonomi turut berakar daripada isu tanah.

Ketiadaan pengiktirafan jelas terhadap hak tanah adat menyebabkan mereka lebih berpotensi terdedah kepada pelbagai cabaran pembangunan, sama ada dalam bentuk buruh murah atau kehilangan peluang ekonomi.
Kehilangan tanah bukan sahaja menyebabkan Orang Asli kehilangan sumber ekonomi tradisional, malah turut kehilangan asas identiti budaya yang menjadi benteng kepada kerakusan pembangunan.
Justeru, tanah bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi simbol keadilan sosial dan hak asasi yang perlu dipertahankan bagi memastikan Orang Asli mampu menyesuaikan diri dengan arus pembangunan dan modernisasi tanpa kehilangan jati diri.
Isu ini turut diakui oleh badan-badan NGO. Laporan rasmi SUHAKAM pada 2013 yang menyentuh isu Orang Asli contohnya menunjukkan bahawa keluasan tanah rizab Orang Asli hanyalah sebahagian kecil berbanding tuntutan tanah adat sebenar, dan sering tidak diwartakan atau dibatalkan.

Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), menunjukkan keluasan rizab Orang Asli yang diwartakan masih lebih kecil berbanding kawasan yang diduduki oleh komuniti ini.
Tambahan pula, status rizab tersebut boleh berubah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, menjadikan kedudukan hak tanah mereka agak tidak stabil.
Keadaan ini memberi isyarat tentang perlunya dasar yang lebih menyeluruh bagi melindungi tanah adat sebagai asas kehidupan masyarakat Orang Asli.
Sumber daripada Center for Orang Asli Concerns (COAC) menerangkan bahawa antara tahun 1990 hingga 2003, sejumlah 1,444.81 hektar tanah rizab Orang Asli telah dibatalkan (degazetted), dan 7,315.47 hektar yang diluluskan untuk diwartakan turut ditarik balik statusnya.
Hasilnya, sekurang-kurangnya 8,760.28 hektar tanah milik Orang Asli terjejas hanya dalam tempoh tersebut.
Lebih membimbangkan, status legal masyarakat Orang Asli yang hanya bertaraf tenant-at-will (bukan pemilik mutlak), menunjukkan keperluan untuk penambahbaikan dasar bagi memastikan perlindungan yang lebih kukuh terhadap hak tanah adat mereka.

Jika difikir secara mendalam, isu tanah adat Orang Asli ini berlaku berpunca daripada dua sudut utama, iaitu yang pertama, kelemahan dalaman masyarakat Orang Asli sendiri.
Sebahagian besar masyarakat Orang Asli masih hidup dalam keadaan terpencil dan kurang mendapat akses kepada pendidikan serta maklumat undang-undang.
Hal ini menyebabkan mereka kurang memahami proses pentadbiran tanah, kerangka undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), atau hak perlembagaan mereka sendiri.
Akibatnya, ramai yang mudah percaya janji pihak luar atau menandatangani dokumen tanpa memahami implikasi jangka panjang.

Kenaifan ini bukanlah kerana kelemahan mereka secara semula jadi, tetapi akibat warisan marginalisasi yang membataskan peluang mereka untuk celik undang-undang, celik politik atau tiada institusi urus tadbir yang amanah untuk mengukuh dan mempertahankan kepentingan masyarakat Orang Asli.
Dari sudut pihak luar, syarikat pemaju, dan pelabur sering melihat tanah adat Orang Asli sebagai aset ekonomi yang boleh dimanfaatkan untuk projek pertanian komersial, pembalakan, ladang kelapa sawit, atau pembangunan bandar. Hal ini kerana tanah adat jarang diwartakan secara rasmi.
Selain itu, pihak luar menggunakan ruang undang-undang yang longgar untuk mengambil alih kawasan tersebut manakala kerajaan negeri pula tiada kemahuan politik untuk menjadi penjaga kepada kepentingan Orang Asli, sama ada melalui projek kerajaan atau konsesi kepada syarikat swasta yang diberi kelulusan itu.
Perkara ini pernah berlaku pada 2019 apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan Kerajaan Kelantan untuk mengetepikan saman difailkan Kerajaan Persekutuan yang mewakili komuniti Orang Asli suku Temiar dalam tuntutan pengiktirafan hak tanah adat di Pos Simpor, Gua Musang yang menuntut hak tanah tradisi seluas 29,000 hektar mereka.
Kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuntutan saman tersebut dengan alasan mereka (Kerajaan Kelantan) mempunyai hak untuk memberi lesen kepada pembalak dan penanaman durian, sebaliknya Orang Asli pula tidak berhak membawa kes itu ke mahkamah.
Apabila digabungkan, kedua-dua faktor ini mencipta lingkaran kelemahan. Kenaifan Orang Asli dalam berurusan dengan undang-undang tanah menjadikan mereka tidak berdaya untuk menentang, manakala pihak luar dan kerajaan negeri sendiri mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengaut keuntungan.

Dalam banyak kes, janji pampasan, pekerjaan, atau pembangunan infrastruktur jarang ditepati, menyebabkan Orang Asli bukan sahaja kehilangan tanah, tetapi juga kehilangan sumber kehidupan tradisional, identiti budaya, dan hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Tahap pengetahuan mengenai hak tanah dalam kalangan masyarakat Orang Asli juga didapati masih rendah.
Situasi ini menzahirkan keperluan untuk memperketat dan memperjelas kerangka undang-undang sedia ada, supaya sebarang pembangunan dapat dilaksanakan dengan memelihara hak dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
Maka, satu implikasi penting daripada isu ini ialah keperluan pendidikan berkaitan hak tanah dan perundangan yang boleh diintegrasikan melalui sekolah dan juga komuniti.
Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli perlu merangka kurikulum dan program khusus yang bukan sahaja memberi pendedahan awal tentang hak tanah adat dan hak asasi, tetapi juga membina kesedaran kritikal dalam kalangan generasi muda Orang Asli untuk mempertahankan warisan mereka.

Satu modul khusus boleh diperkenalkan dalam kurikulum di sekolah-sekolah Orang Asli, yang merangkumi sejarah tanah adat, hak di bawah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), serta hak perundingan dalam pembangunan.
Modul ini boleh disesuaikan dengan peringkat umur pelajar, supaya mereka memahami sejak awal bahawa tanah adat bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi juga identiti budaya dan asas kelangsungan komuniti.
Guru yang ditempatkan di sekolah komuniti Orang Asli perlu diberi latihan khusus mengenai budaya, identiti, dan hak Orang Asli agar mereka dapat menjadi agen pendidikan yang lebih sensitif dan berkesan.
Melalui kerjasama antara universiti, NGO, dan JAKOA, bengkel literasi undang-undang boleh dianjurkan di perkampungan Orang Asli.
Program ini memberi penerangan tentang proses perundangan, cara membuat tuntutan tanah, serta saluran rasmi untuk mendapatkan keadilan seperti mahkamah dan SUHAKAM.
Dengan cara ini, Orang Asli dapat mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan lebih berdaya menuntut hak mereka sendiri.

Selain kurikulum formal, aktiviti berasaskan budaya seperti pementasan cerita rakyat, lukisan mural, atau festival komuniti boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej tentang hak tanah dan hak asasi.
Pendekatan ini lebih dekat dengan jiwa masyarakat Orang Asli kerana ia menggabungkan nilai tradisional dengan mesej pendidikan moden, sekali gus menguatkan kesedaran kolektif dalam kalangan mereka.
Kita juga telah melihat ada dalam kalangan anak Orang Asli yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Lantas, biasiswa khas, latihan kemahiran, dan program pembangunan kapasiti harus ditambah untuk generasi muda Orang Asli agar mereka bukan sahaja sedar tentang hak, tetapi juga berupaya memperjuangkannya secara akademik dan profesional.
Natijahnya, kesedaran masyarakat Orang Asli akan hak tanah mereka yang merupakan nadi kehidupan dan budaya mereka itu sangat perlu.
Kekurangan pendedahan serta pendidikan tentang hak perundangan menjadikan mereka mudah terdedah kepada eksploitasi.
Pendidikan yang bersepadu di sekolah dan komuniti boleh menjadi kunci untuk membuka mata Orang Asli tentang kepentingan mempertahankan tanah adat.
Dengan kesedaran yang lebih baik, Orang Asli mampu mempertahankan hak mereka serta terus maju tanpa kehilangan jati diri dan seterusnya dapat menongkah arus sama seperti bangsa lain di dalam membina bangsa Malaysia yang progresif.
Muhd Rizq Abdul Aziz berkelulusan undang-undang (LLM, LLBS, LLB). Beliau dan Dr Abdul Mutalib Embong merupakan Pensyarah, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami