[KOLUMNIS] Menuju 2026: PETRA terus perkasa kemampanan sektor air dan tenaga negara
![[KOLUMNIS] Menuju 2026: PETRA terus perkasa kemampanan sektor air dan tenaga negara [KOLUMNIS] Menuju 2026: PETRA terus perkasa kemampanan sektor air dan tenaga negara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/51766113998_ProjekSolarTerapun.jpg)
Melangkah ke 2026, PETRA terus menjadi tonggak penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan negara, khususnya dalam sektor air dan tenaga. - Foto fail/BERNAMA
ROMBAKAN Kabinet yang diumumkan baru-baru ini mencuri tumpuan ramai, namun kesinambungan kepimpinan turut menjadi isyarat penting kepada hala tuju negara.
Beberapa wajah baharu dibawa masuk ke dalam barisan Kabinet bagi memperkukuh jentera pentadbiran Kerajaan MADANI. Pelantikan ini dilihat sebagai usaha menyuntik tenaga segar, serta perspektif baharu dalam mendepani cabaran ekonomi, sosial dan geopolitik yang semakin kompleks.
Dalam konteks itu, Datuk Seri Fadillah Yusof terus diberikan kepercayaan untuk mengemudi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), mencerminkan keyakinan terhadap prestasi dan pencapaian kementerian tersebut sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.
Di bawah pentadbiran Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri, PETRA terus memperkukuh sektor air dan tenaga melalui pembangunan dasar bersepadu, penyelidikan saintifik, pengukuhan infrastruktur kritikal, pengembangan tenaga boleh baharu, transformasi pasaran tenaga serta peningkatan keselamatan bekalan air dan elektrik negara.
Dua kerangka utama iaitu Pelan Hala Tuju Air Negara (AIR2040) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjadi pemacu strategik ke arah masa depan Malaysia yang lebih selamat, stabil dan mampan.
Sektor Air: Keselamatan, Kelestarian dan Inovasi

Foto BERNAMA
Menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) pada 2026, landskap pentadbiran dan pembangunan negara dijangka berdepan cabaran baharu yang lebih mencabar dan berlapis.
Dalam kerangka ini, pencapaian PETRA sepanjang 2025 menjadi penanda aras penting, bukan sahaja sebagai ukuran keberkesanan dasar dan pelaksanaan semasa, malah sebagai asas kesiapsiagaan kementerian itu untuk menyokong agenda RMK13 yang menekankan kemampanan, daya tahan sistem dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Bagi sektor air, PETRA menyelaras tujuh agensi utama yang masing-masing memainkan peranan kritikal dalam rantaian keselamatan air negara. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperluaskan Water Efficiency Product Labelling Scheme (WEPLS), yang membolehkan penjimatan sehingga 85 peratus penggunaan air melalui produk cekap air, sekali gus menyokong sasaran pengurangan penggunaan air per kapita.
Indah Water Konsortium (IWK) pula mengekalkan prestasi operasi tinggi dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus melalui lebih 7,000 loji rawatan kumbahan.
Pelaksanaan Program Fats, Oils and Grease (FOG) mengurangkan gangguan aliran kumbahan di kawasan komersial, manakala inisiatif Solar LRK membantu mengurangkan kos tenaga sehingga 15 peratus serta menyokong agenda hijau.
Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mencatat pencapaian keselamatan kerja membanggakan dengan dua juta jam kerja tanpa Lost Time Injury (LTI).
Pendekatan kejuruteraan hijau melalui Multi-Pond Constructed Wetland System (MPCWS) dan Projek Papan bukan sahaja memenangi anugerah inovasi, malah direkodkan dalam Malaysia Book of Records, menonjolkan keupayaan Malaysia membangunkan sistem pembetungan lestari untuk komuniti luar bandar.
Dalam aspek mitigasi bencana dan kelestarian sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan lebih 149 projek tebatan banjir yang melindungi hampir 1.8 juta penduduk, di samping membangunkan Denai Sungai Kebangsaan dan pemuliharaan ribuan kilometer sungai bagi memulihkan keseimbangan ekologi.
Usaha memperkukuh bekalan air di kawasan terjejas turut dipacu oleh Jabatan Bekalan Air (JBA), khususnya melalui penyiapan projek kritikal di Sabah dan Labuan.
Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pula menjadi tulang belakang infrastruktur air negara dengan penambahan kapasiti loji rawatan, penggantian ribuan kilometer paip uzur serta penyiapan projek mega Langat 2 Fasa 1.
Pada masa sama, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) memperkasa penyelidikan air termasuk kajian mikroplastik, bahan pencemar baharu dan sistem ramalan banjir berasaskan analitik masa nyata.
Keseluruhan usaha ini diperkukuh melalui inisiatif AIR2040, pindaan akta berkaitan air serta program pembangunan vendor PAAB yang membina ekosistem industri tempatan lebih mampan dan berdaya saing.

Foto Facebook Fadillah Yusof
Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654), misalnya membuka ruang kepada model pembiayaan baharu dan meningkatkan keberkesanan pengawalseliaan industri.
Di peringkat korporat, PAAB melaksanakan dua program strategik utama iaitu Vendor Financing Program dan Vendor Development Program.
Memorandum Persefahaman (MoU) pertama telah ditandatangani antara PAAB dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 6 November 2025 dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta bagi 2026, dan beberapa institusi kewangan lain dijangka menyertai program ini.
Sektor Tenaga: Peralihan Berperingkat dan Berdaya Tahan
Dalam sektor tenaga, fokus PETRA adalah memastikan peralihan tenaga berlaku secara tersusun tanpa menjejaskan kebolehpercayaan bekalan.
MyPOWER Corporation (MyPOWER) berjaya melengkapkan kesemua 10 inisiatif Future-Proofing Malaysia Electricity Supply Industry (FP MESI), manakala Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada lebih 3,400 MW dan mencatat penjimatan tenaga yang signifikan.
Suruhanjaya Tenaga pula melaksanakan tender Large Scale Solar 5+ berskala besar, membangunkan Battery Energy Storage System (BESS) nasional serta mengurus eksport elektrik hijau pertama Malaysia ke Singapura - satu pencapaian bersejarah dalam diplomasi tenaga serantau.
Melalui pembaharuan tarif Regulatori Keempat (RP4), PETRA memastikan keseimbangan antara kemampuan pengguna, daya saing industri dan keperluan pelaburan masa depan.
Penurunan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) ke paras sekitar 37 minit mencerminkan peningkatan kebolehpercayaan sistem elektrik negara.
Media tempatan melaporkan Malaysia berjaya mencapai 32 peratus kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu setakat tahun ini, melebihi sasaran awal sebanyak 31 peratus.
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, Mareena Mahpudz berkata, sasaran itu akan dipertingkatkan kepada 35 peratus menjelang 2030, selaras dengan ketetapan di bawah RMK13.
Di samping itu, sektor tenaga negara turut menerima pengiktirafan apabila SEDA diiktiraf melalui penganjuran International Sustainable Energy Summit (ISES 2024), manakala Suruhanjaya Tenaga mencatat sejarah dengan kejayaan eksport tenaga hijau pertama Malaysia.
Melangkah ke 2026, PETRA terus menjadi tonggak penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan negara, khususnya dalam sektor air dan tenaga.
Walaupun pencapaian PETRA amat memberangsangkan, terdapat ruang untuk penambahbaikan. Dalam sektor air, cadangan termasuk memperluas lagi penggunaan teknologi pintar untuk pengurusan air bersepadu, meningkatkan kesedaran komuniti mengenai penjimatan air, dan mempercepatkan penyelesaian projek kritikal di kawasan luar bandar.
Bagi sektor tenaga, penekanan kepada penyelidikan tenaga boleh baharu tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada sumber fosil perlu dipergiatkan, selain memastikan tarif elektrik tetap mampu milik tanpa menjejaskan pelaburan masa depan.
Kesemua usaha ini bukan sahaja memperkukuh daya tahan negara, malah meletakkan asas kukuh untuk menyokong agenda RMK13, sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju masa depan yang lebih selamat, stabil, dan mampan.
* Hasimi Muhamad merupakan Wartawan Kanan Penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


