DUNIA
[KOLUMNIS] Pemimpin Arab tunggang isu Palestin untuk populariti
![[KOLUMNIS] Pemimpin Arab tunggang isu Palestin untuk populariti [KOLUMNIS] Pemimpin Arab tunggang isu Palestin untuk populariti](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/51749677703_IsraelPalestinians.jpg)
Ketika dunia bertumpu kepada perang Israel-Iran sejak 12 Jun lalu, pemimpin negara Arab masih leka, Zionisme semakin menguasai mereka. - Gambar fail/AP
ISU Palestin akan terus menjadi agenda masyarakat antarabangsa selama mana penjajah Zionis tidak menggembalikan tanah yang dirampas dan dijajah daripada yang hak lebih 70 tahun lalu.
Berbeza dengan Tebing Barat yang bersempadan dengan Jordan, wilayah Gaza yang berkeluasan 365 kilometer persegi dengan kepadatan lebih dua juta penghuni terkepung dengan Israel dan Mesir, kini menjadi perlambangan kepada sebuah perjuangan kemanusiaan yang merentas sempadan fikiran, agama, mazhab dan politik.
Siri perang demi perang secara terbuka dengan Israel sejak Hamas menguasainya melalui pilihanraya sah pada 2006 membuka banyak pekung pemimpin Arab terhadap pilihan yang dibuat penduduk wilayah itu yang menolak Fattah kerana dikatakan mengkhianati perjuangan mereka untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Mahmoud Abbas, selaku Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadibir di Tebing Barat, selamanya akur dengan apa juga permintaan dan tekanan yang dibuat Zionis wal hal semakin hari lebih banyak tanah orang Arab dirampas pendatang haram Yahudi, seperti yang berlaku di Shaikh Jarrah.Bahkan selepas serangan pada 7 Oktober 2023, ketika mengadakan pertemuan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Antony Blinken ke Asia Barat yang melawat bagi meredakan ketegangan serantau akibat perang Israel-Palestin, tanpa perancangan yang konkrit beliau menyuarakan komitmen untuk melakukan reformasi bagi menyatukan semula Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel di bawah kepimpinannya.
Mahmoud Abbas bagi penduduk Gaza, hanya satu sosok yang dianggap mengkhianati perjuangan mereka dan antara figura yang dibenci di sana.
Berbeza dengan Allahyarham Ismail Haniyeh yang mati dibunuh ketika berada di Tehran, Iran dan penggantinya Yahya Sinwar yang melawan senjata Zionis sampai ke penghujung nyawa kedua-duanya antara menjadi idola perjuangan anak-anak muda yang ingin melihat wujud sebuah negara Palestin yang berdaulat seperti negara Arab lain.
Realiti yang perlu diterima perseteruan kerana idealogi berlainan telah melemahkan tuntutan Palestin membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Israel dan hari ke hari suara mereka semakin sayup kedengaran kerana dilitupi jubah-jubah pemimpin Arab yang dilobi Yahudi.
Namun begitu, serangan Hamas pada 7 Oktober membuka mata dunia dalam pelbagai perspektif tentang nasib mereka khususnya penduduk Gaza.
Selepas memasuki 20 bulan dengan kemusnahan berskala besar dan angka kematian melebihi 50,000 nyawa, negara Arab tidak mempedulikan dan seakan menghukum penduduk wilayah itu yang sehidup semati dengan perjuangan Hamas.
Ketika mana suara kemanusiaan bergema di serata dunia termasuk negara yang sebelum ini menunjangi penubuhan Israel, seperti Britain dan Perancis, pemimpin Arab seperti Jordan, UAE, Maghribi dan Mesir tidak menurunkan taraf diplomatik apatah lagi memutuskan hubungan yang dijalin.
Berdekad, mereka dikhianati dan hanya menjadi alat untuk propaganda pemimpin sebangsa untuk menjadi hero dunia Arab.
Di Mesir, suatu ketika Presiden Anwar Saddat diangkat sebegai wira kerana berjaya dalam perang Yom Kippur atau Perang Ramadan pada 1973 yang berjaya menguasai semula Semenanjung Sinai daripada penjajahan Israel namun dibunuh pada 6 Oktober 1981, semasa menghadiri perarakan sempena ulang tahun kelapan permulaan perang oleh tentera Islam yang marah dengan tindakan beliau berunding dengan Israel termasuk perjanjian Rundingan Damai Kem David 1979.
Begitu juga dengan Hosni Mubarak, seorang autokrat yang banyak yang dikatakan mempromosi hubungan rapat dengan kuasa Barat (AS) dan menjaga keamanan Mesir dengan Israel sehingga mengenepikan kepentingan Palestin.
Langkah mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel oleh Mesir kemudian dijejaki Jordan, satu lagi negara Arab yang mana hampir separuh 10 juta penduduknya berketurunan Palestin.
Lobi yang dimainkan pemimpin Zionis dengan negara Arab untuk menormalisasi hubungan diplomatik semakin rancak selepas Perjanjian Oslo pada 13 September 1993.
Walhal, lebih ramai rakyat Palestin ditangkap dan dibunuh, pergerakan mereka disekat dan dizalimi dengan pelbagai cara termasuk perniagaan serta tanah mereka dirampas sehingga hanya tinggal 20 peratus dari bumi Palestin yang asal diduduki oleh rakyat Palestin.
Pemimpin Arab yang dijinakkan Barat melalui gula-gula dari Israel, kini tidak bersuara apatah lagi menggertak ketika keadaan di Gaza semakin kritikal.
Ketika dunia bertumpu kepada perang Israel-Iran sejak 12 Jun lalu, pemimpin negara Arab masih leka, Zionisme semakin menguasai mereka.
Rakyat Palestin di wilayah itu yang dulu tidak sebulu dengan Tehran atas faktor mazhab kini melihatnya sebagai talian hayat untuk meneruskan sebuah perjuangan bermaruah.
Suka atau tidak, itulah harapan yang mereka ada untuk membela nasib dan darah syuhada yang gugur.
* Razali Awang adalah Perunding Media Alkhair Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami