MALAYSIA
Institut Audit Oman mahu jalin kerjasama strategik dengan SPRM

SAI adalah badan bebas yang melapor terus kepada Sultan Oman dan diberi tanggungjawab untuk pengawasan kawalan kewangan serta pentadbiran. - Gambar Facebook SPRM
KUALA LUMPUR: Institut Audit Negara (SAI) Oman menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus.
Menurut SPRM dalam kenyataan perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Audit bagi Pihak Berkuasa, Pelaburan dan Syarikat SAI Oman, Zahra Mohamed Al Lawati yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.
"SAI adalah sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Sultan Oman dan diberi tanggungjawab untuk pengawasan kawalan kewangan serta pentadbiran merangkumi audit, pemantauan prestasi, pengurusan pelaburan dan pemantauan pelanggaran kewangan.
"Institusi ini telah mencatat peningkatan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024, menunjukkan hasil positif daripada usaha tadbir urusnya," menurut kenyataan itu.Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Duta Besar Kesultanan Oman ke Malaysia, Sheikh Al-Abbas Al Harthi dan Ketua Pengarah Audit bagi Pelaburan dan Syarikat SAI, Mohammed Abdullah Al Harthy.
Azam berkata, kerjasama rentas negara penting dalam memerangi rasuah malah pertukaran ilmu dan pengalaman membolehkan kedua-dua agensi memperkukuh sistem integriti serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.
"Melalui latihan bersama, pertukaran data strategik dan penglibatan dalam forum antarabangsa, kedua-dua agensi berharap dapat terus menegakkan integriti dan ketelusan dalam institusi awam masing-masing melebihi batas geografi dan budaya," katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami