[KOLUMNIS] Pendekatan “Makmal Hidup” berkesan jayakan Projek Transformasi Changlun
![[KOLUMNIS] Pendekatan “Makmal Hidup” berkesan jayakan Projek Transformasi Changlun [KOLUMNIS] Pendekatan “Makmal Hidup” berkesan jayakan Projek Transformasi Changlun](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/71765603651_tbPenanamancilisec.jpg)
Penanaman cili secara fertigasi mampu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti Changlun dan dipilih sebagai salah satu projek perusahaan sosial yang dapat menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi peserta.
PELAKSANAAN Projek Transformasi Changlun atau Changloon Transformation Project (CTP) sejak Januari tahun ini, telah menyerlahkan lagi peranan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Hampir genap setahun dilaksanakan, pendekatan Makmal Hidup atau Living Labs sebagai rangka kerja CTP menunjukkan impak seperti disasarkan, dalam usaha memperkasa masyarakat menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran progresif.
Empat bidang utama di bawah Projek Transformasi Changlun
Projek-projek rintis di bawah 4 bidang utama CTP iaitu Transformasi Sisa, Transformasi Pengetahuan, Transformasi Pelancongan dan Transformasi Sosial telah berjaya dilaksanakan menerusi penglibatan agensi kerajaan, pemain industri, komuniti Changlun, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO)) dan usahawan mikro yang bergabung tenaga dengan UUM untuk mengenal pasti projek-projek berpotensi memberi impak besar kepada komuniti.
Transformasi Sisa bertujuan menambahbaik pengurusan sisa untuk mengurangkan penggunaan tanah sebagai tempat pembuangan sampah, meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk untuk menjana pendapatan sampingan dan menjadikan alam sekitar lebih bersih.
Bagi bidang Transformasi Pengetahuan pula, Changlun disasarkan menjadi hab pendidikan dan inovasi yang selari dengan Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
Di bawah Transformasi Pelancongan, CTP mahu membangunkan sektor ekopelancongan Changlun sebagai salah satu penjana pendapatan utama kepada komuniti.
Bidang Transformasi Sosial merupakan satu usaha menangani cabaran sosial pada hari ini selain memperkasa komunikasi melalui pelaksanaan program-program strategik untuk meningkatkan kualiti kehidupan kumpulan tidak bernasib baik, meningkatkan sokongan komuniti dan keterlibatan dalam isu sosial dan menyediakan penyelesaian berkesan terhadap masalah seperti penagihan dadah dan sebagainya di Changlun.
Keberkesanan pendekatan Makmal Hidup jayakan CTP
CTP merupakan projek jangka panjang bagi mengubah komuniti dan bandar kecil Changlun menjadi bandar yang mampan, berdaya saing dan berteraskan inovasi dalam masa 10 tahun.
Bagi tahun pertama hingga lima, rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan, keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.
Fasa pertama ini melibatkan usaha-usaha mengenal pasti program yang sesuai dengan komuniti dan bandar Changlun selain mampu meningkatkan sosioekonomi secara meluas.
Manakala, tahun keenam hingga sepuluh pula, CTP akan memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changlun.
Bagi peringkat ini, usaha terarah kepada pelaksanaan semua program yang telah dikenal pasti mempunyai potensi besar bagi menjayakan CTP dan penggunaan teknologi serta inovasi untuk meningkatkan lagi impak projek.
Oleh itu, CTP memerlukan satu pendekatan rangka kerja yang efektif iaitu menjadikan Changlun sebagai sebuah Makmal Hidup dan UUM sebagai penggerak utama kepada inisiatif ini.
Secara ringkas, pendekatan Makmal Hidup membolehkan sesiapa sahaja, tidak kira mahasiswa, pensyarah, komuniti, NGO, usahawan, pusat pengajian dan sebagainya yang mempunyai idea untuk membangunkan Changlun, boleh bekerjasama dengan UUM bagi melaksanakan projek rintis.
Setiap projek rintis itu dapat diuji dalam persekitaran sebenar kerana transformasi tidak boleh berlaku hanya di atas kertas, tetapi mesti dibina bersama komuniti dan seterusnya ditambah baik berdasarkan impak sesuatu projek.
Sebagai contoh, CTP memilih projek penanaman cili secara fertigasi yang telah diusahakan oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM kerana ia telah terbukti memberi impak ditetapkan.
Projek perusahaan sosial itu dinamakan sebagai Pembangunan Komuniti Pertanian Moden (D’MAC), terbukti dapat meningkatkan pendapatan selain menyumbang kepada keterjaminan makananan negara jika dilaksanakan dalam skala besar.
Projek rintis itu juga mendapat kerjasama Kementerian Kewangan, pada mulanya melibatkan 20 peserta dari Mukim Temin dan Mukim Sungai Laka di Kubang Pasu yang menerima sistem fertigasi lengkap untuk menanam 300 polibeg tanaman cili untuk menjana RM750 sebulan.
Pasukan penyelidik memantau projek tersebut sehinggalah ia disahkan stabil dan mampu memberi hasil memberangsangkan selaras dengan matlamat SDG global iaitu menghapuskan kemiskinan, menangani masalah kekurangan makanan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Selain pemindahan teknologi pertanian moden kepada kumpulan sasaran, pembangunan komuniti turut melibatkan pemindahan ilmu pengurusan kewangan dan pengurusan pemasaran digital.
Satu lagi projek mampu meningkatkan pendapatan adalah Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti (PEKA) yang memperkenalkan sistem akuaponik inovatif.
Seramai 30 keluarga dari sekitar Changlun menyertai projek rintis pertanian organik moden dan mampu memperoleh sehingga RM500 sebulan hasil penternakan ikan dan penanaman sayur secara akuaponik.
Jadi, projek ini sangat relevan untuk CTP kerana berlaku pemindahan ilmu yang komprehensif yang mampu diamalkan oleh peserta dan komuniti yang sekaligus dapat memastikan kelangsungan projek selain mencapai objektif membina komuniti pertanian moden di Changlun.
Program lain yang berjaya disenarai di bawah inisiatif CTP adalah pengurusan kewangan kepada penjaja kecil diketuai oleh Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG) yang bermatlamat memindahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan kepada usahawan kecil sekitar Changlun.
Penjaja kecil diberi pendedahan dan kemahiran untuk menguruskan aspek kewangan perniagaan supaya lebih bersistematik kerana setiap perniagaan yang ingin berkembang memerlukan pengurusan kewangan yang berkesan.
Satu lagi contoh adalah usaha mewujudkan satu produk pelancongan baharu Changlun oleh Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Event Management Training, Research, Activities and Consultancy (EMTRAC), Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) bersama komuniti Kampung Tradisi, Changlun.
Hasilnya, Festival Tradisi diuji sebagai projek rintis, dilihat sesuai dijadikan produk pelancongan dan dianjurkan secara tahunan sebagai salah satu program di bawah Transformasi Pelancongan.
Festival Tradisi mengintegrasikan elemen akademik, budaya, keusahawanan dan kerohanian untuk menjadi agen perubahan komuniti menerusi pendidikan yang transformatif dan bersifat holistik.
Penganjuran pertama festival mendapat sokongan komuniti dan ia mampu memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat Changloon melalui penganjuran acara berasaskan komuniti.
CTP mahu setiap lapisan masyarakat dilibatkan dalam proses transformasi dan program rintis turut mengambil kira keperluan melahirkan generasi muda berkemahiran.
Salah satu projek rintis yang terpilih bagi CTP adalah Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives anjuran Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Institut Penyelidikan & Inovasi Zakat (IPIZ UUM).
Satu lagi program yang menumpukan kepada pembangunan murid-murid sekolah adalah Love to Read yang diadakan secara berkala di 2 buah sekolah di Changlun.
Setiap perkembangan projek ini boleh dinilai dan ditambahbaik di bawah amalan Makmal Hidup yang diterapkan untuk transformasi Changlun dan ini memberikan satu kelebihan strategik.
Ini kerana, setiap program perlu melalui fasa pertama selama satu hingga tiga bulan melibatkan penelitian ke atas skop, dana, pasukan terlibat dari UUM dan komuniti serta proses merangka pelan tindakan.
Projek rintis lain yang telah melalui proses penilaian adalah car boot sales oleh Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dijalankan setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan bagi membina platform menjana pendapatan menerusi jualan barangan terpakai dan sebagainya selain mewujudkan ruang sosial yang konsisten untuk komuniti Changlun.
Ia mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan NGO yang membuka kaunter perkhidmatan untuk kemudahan penduduk bandar yang sedang mengalami transformasi ini.
Makmal Hidup membolehkan idea, prototaip dan ilmu pengetahuan diuji secara realistik dalam komuniti sasaran yang membolehkan penambahbaikan dibuat berdasarkan impak sesuatu projek rintis itu.
Selain itu, konsep berkenaan menanam semangat pemilikan bersama terhadap sesuatu memandangkan pelaksanaan melibatkan bukan hanya komuniti tetapi pelbagai pihak yang turut membantu menjayakan proses transformasi.
Makmal Hidup mengumpul data secara waktu sebenar dan responsif terhadap maklum balas komuniti membolehkan CTP sentiasa menyesuaikan dan menambah baik setiap program secara berterusan sekaligus mengurangkan isu birokrasi.
Seterusnya, pendekatan Makmal Hidup membolehkan penyelesaian terhadap sesuatu perkara itu dibuat berdasarkan keunikan Changlun dari segi sosial, norma masyarakat, ekonomi dan kedudukan sebagai bandar berhampiran sempadan bagi memastikan setiap projek atau program itu sesuai dan diterima sepenuhnya oleh komuniti Changlun.
Apabila sesuatu projek melibatkan pelbagai pihak, pendekatan Makmal Hidup lebih sesuai kerana membolehkan sumber, pembiayaan dan kepakaran dikongsi bersama menjadikan kerjasama lebih erat dalam kalangan pemegang taruh untuk CTP.
Rumusan
CTP bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi satu perubahan paradigma dari pelbagai aspek dalam usaha memperkasa Changlun dalam tempoh 10 tahun.
Gandingan kepakaran UUM, sokongan industri dan penyertaan aktif komuniti Changlun mampu mengangkat CTP sebagai model contoh untuk transformasi sebuah bandar kecil dan mungkin boleh diperluas ke seluruh negara sebagai model rujukan bagi pembangunan menyeluruh.
Menerusi CTP, UUM mengukuhkan lagi peranan sebagai pemangkin perkembangan sosioekonomi wilayah.
* Artikel ini tulisan Prof. Madya Dr. Masnita Misiran, Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengetuai inisiatif Projek Transformasi Changlun.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


