Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Isu Rohingya: Kebencian bukan penyelesaian

81681304314_RohingyaMyanmar.jpg
Menurut penulis, Malaysia tidak perlu memilih antara keselamatan dan kemanusiaan kerana kedua-duanya boleh bergerak seiring melalui dasar yang berasaskan fakta, keadilan dan kebijaksanaan. - Gambar hiasan

1 Muharam 1448, satu Malaysia menyambut cuti umum sempena memperingati peristiwa besar yang mengubah syiar dan sejarah umat Islam yang telah menjadi detik penyatuan kaum Muhajirin yang bersama Rasulullah SAW dan pengikut Baginda dari kota Makkah menuju ke kota Madinah yang disambut dengan penuh bermakna oleh kaum Ansar yang terdiri daripada puak Aus dan Khazraj.

Penghijrahan Baginda berjaya mematikan semangat jahiliyah yang taksub kepada puak dan keturunan masing-masing dengan menghidupkan semangat persaudaraan yang kukuh dan kemudian menjadi faktor utama kerancakan perkembangan Islam ke zaman-zaman seterusnya.

Namun untuk permulaan 1448 tahun, di Malaysia khususnya, semangat itu sedang diuji dengan isu pelarian Rohingya sejak kebelakangan ini menjadi ‘trending’ di media sosial dengan dikaitkan dengan semua benda negatif  dengan pelbagai dakwaan, tuduhan dan sentimen negatif yang akhirnya membentuk persepsi bahawa komuniti Rohingya merupakan punca kepada pelbagai masalah sosial dan keselamatan dalam negara.

Kebencian nampaknya semakin membuak-buak seperti salah satu visual yang viral di Terengganu yang mana seorang lelaki dewasa yang waras mengejar kanak-kanak pelarian Rohingya.

Kejadian itu mengingatkan saya situasi harian yang dialami anak-anak Palestin di Tebing Barat yang menjadi mangsa tentera Israel dan pendatang haram Yahudi.

Melihat kepada visual di negeri yang dikategori paling bahagia di Malaysia dan struktur masyarakat yang bersendikan syarak, ia menjadikan tanda tanya kerana di dalam meratib isu kemanusiaan mengenai kezaliman dan hak kemanusiaan, ia hanya bersifat sentimen bukan kepada penghayatan.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila wujudnya penunggang tidak terkecuali pempengaruh yang menjadikan isu pelarian Rohingya untuk melariskan jualan, menambah pengikut dan sebagainya tanpa memahaminya.

Apa yang mereka tahu, kebencian adalah sentimen yang boleh menguntungkan!

Kenyataan tidak bertanggungjawab telah mencetuskan apa yang diistilah ilmu sosiologi sebagai ‘moral panic’  iaitu keadaan apabila sesuatu kumpulan atau komuniti digambarkan sebagai ancaman besar kepada nilai, keselamatan dan ketenteraman masyarakat sehingga menimbulkan ketakutan yang melampaui realiti sebenar.

Di dalam situasi ini, beberapa insiden terpencil sering diperbesar-besarkan sehingga mewujudkan persepsi bahawa keseluruhan kumpulan berkenaan berbahaya.

Akibatnya, masyarakat mula melihat setiap isu sosial, jenayah atau konflik melalui lensa yang sama walaupun fakta tidak semestinya menyokong tanggapan itu.

Fenomena ini sering disertai dengan proses othering, iaitu tindakan membezakan sesuatu kelompok sebagai ‘orang luar’ yang tidak termasuk dalam lingkungan masyarakat yang diterima (Rohingya gelap dan dilabel pengotor berbeza dengan pelarian dari Syria, Iraq, Yemen yang mempunyai bentuk fizikal menarik).

Apabila seseorang dilihat sebagai orang lain, mereka lebih mudah dipersalahkan, dipinggirkan dan dinafikan hak kemanusiaan yang sepatutnya.

Lebih membimbangkan ialah kemunculan budaya scapegoating atau menjadikan sesuatu kumpulan sebagai kambing hitam kepada pelbagai masalah masyarakat.

Di dalam sejarah dunia, banyak konflik etnik dan kemanusiaan bermula apabila kumpulan minoriti dipersalahkan secara kolektif terhadap masalah ekonomi, sosial atau keselamatan yang sebenarnya berpunca daripada faktor yang jauh lebih kompleks.

Atas sebab itu, perbincangan mengenai Rohingya perlu berasaskan data, fakta dan analisis yang objektif, bukan semata-mata emosi atau persepsi yang dibentuk oleh media sosial.

Dalam tradisi Islam, isu pelarian tidak boleh dilihat hanya daripada satu sudut semata-mata.

Ia mengiktiraf keperluan menjaga keamanan negara, namun pada masa yang sama menuntut pembelaan terhadap golongan yang dizalimi.

Konsep fiqh al-tamkin menekankan keperluan sesebuah negara memastikan kestabilan politik, keselamatan sempadan, kedaulatan undang-undang dan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks Malaysia, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengawal kemasukan migran, membanteras sindiket pemerdagangan manusia dan memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Namun prinsip tersebut perlu diseimbangkan dengan fiqh al-amn wa al-salam, iaitu pendekatan yang menekankan keamanan sosial, pencegahan konflik dan pembinaan hubungan harmoni sesama manusia. Islam tidak menggalakkan penghukuman secara kolektif terhadap sesuatu kelompok hanya kerana kesalahan yang dilakukan oleh segelintir individu.

Al-Quran menegaskan:
"Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa." (Surah al-Ma'idah: 8)

Prinsip ini menjadi asas penting dalam menangani isu Rohingya.

Kesalahan individu hendaklah dipertanggungjawabkan kepada individu tersebut, bukannya kepada keseluruhan komuniti.

Lebih jauh daripada itu, maqasid syariah turut memberikan kerangka yang seimbang dalam mengurus isu pelarian. Antara objektif utama syariah ialah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Pendekatan yang terlalu longgar sehingga mengancam keselamatan negara bercanggah dengan maqasid syariah.

Namun pendekatan yang terlalu keras sehingga menafikan maruah manusia, mengabaikan nasib kanak-kanak, wanita dan golongan rentan juga bertentangan dengan maqasid yang sama.

Justeru, pendekatan yang lebih tepat ialah mencari titik keseimbangan antara keperluan menjaga kedaulatan negara dengan tanggungjawab kemanusiaan terhadap golongan yang teraniaya.

Inilah jalan pertengahan yang selari dengan semangat Islam sebagai agama yang membawa rahmah kepada seluruh alam.

Hakikatnya, Malaysia tidak perlu memilih antara keselamatan dan kemanusiaan kerana kedua-duanya boleh bergerak seiring melalui dasar yang berasaskan fakta, keadilan dan kebijaksanaan.

Cuma yang menjadi tanda tanya siapa di sebalik ini semua kerana secara tiba-tiba isu pelarian Rohingya meledak di media sosial.

Jangan lupa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin dekat! Mungkin ada yang ketandusan isu untuk menjadikan isu pelarian untuk mendapat sokongan. Renung-renungkanlah!


  • Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
     

Must Watch Video

Advertisement