DALAM dunia akademik global, kecemerlangan diukur melalui penerbitan di jurnal berimpak tinggi. Namun, penyelidik di negara berkembang seperti Malaysia sering menghadapi cabaran terselindung.

Kayu ukur kecemerlangan ahli akademik sesebuah universiti boleh dilihat melalui pelbagai dimensi, antaranya keunggulan penyelidikan.

Ini penting kerana penyelidikan  dikatakan sebagai satu seni untuk menyingkap  pengetahuan (the art of discovery).


Ilmu yang baharu ini perlu disampaikan kepada masyarakat dan untuk membantu mereka memahami dan seterusnya menyelesaikan sesuatu masalah.

Bagi memastikan penyelidikan berimpak dan berintegriti, ahli akademik perlu memastikan hasil penyelidikan boleh dirujuk oleh masyarakat melalui sumber yang berwibawa.

Idea dan maklumat ini perlu disampaikan melalui laporan yang jelas sama ada melalui konferensi, seminar atau pun penerbitan seperti buku ilmiah, jurnal ataupun artikel penyelidikan yang boleh dipercayai kesahihannya.

Jurnal berimpak merupakan jurnal yang berpengaruh di dalam sesuatu bidang atau perkara. Elemen pengaruh ini diukur melalui keupayaan menjana rujukan atau situasi.

Jurnal berimpak turut mempunyai indikator nilai faktor impak (impact factor). Maklumat jurnal yang berimpak dilaporkan secara tahunan oleh Journal Citation Reports (JCR) terbitan Clarivate Analytics.

Kajian menunjukkan penerbit komersial seperti Elsevier, Springer Nature, Wiley dan Taylor & Francis menghasilkan artikel jurnal berimpak tertinggi dengan bilangan purata di antara 75,000 sehingga 400,000 artikel setahun.

Sebuah universiti bereputasi tinggi di Malaysia contohnya mewajibkan setiap ahli akademiknya yang mendapat geran penyelidikan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga buah artikel berindeks Web of Science bagi bidang sains dan jumlah yang sama berindeks Scopus bagi bidang sains sosial, sastera dan kemanusiaan.

Yuran penerbitan artikel atau Article Processing Fee/Charge (APC) pula merupakan bayaran perkhidmatan penerbitan yang perlu ditanggung oleh institusi, penaja, atau penyelidik apabila hendak menerbitkan artikel mereka.

Bayaran APC ini kebiasaannya ditetapkan oleh penerbit bagi menanggung kos perkhidmatan kajian setara (peer review), penerbitan jurnal, pengurusan penerbitan, dan arkib dalam talian.

Semuanya tidaklah murah. Sebagai contoh, Elsevier merupakan salah satu pangkalan data membina maklumat saintifik, teknikal dan perubatan.

Teknologi yang dibangunkan pada tahun 1880 itu menetapkan bayaran minimum AS$200 (kira-kira RM960) bagi setiap artikel penyelidikan yang ingin diterbitkan.

Sebuah lagi pangkalan data yang diminati para penyelidik, Scopus umumnya menetapkan sekitar AS$500 (kira-kira RM2,390) sehingga AS$5000 (kira-kira RM23,950) bagi setiap artikel yang akan dikeluarkan.

Namun, bagi penyelidikan berbentuk klinikal, APC nya lebih tinggi. Sebagai contoh Journal Cell Stem Cell (ISBN 1934-5909 ) mengenakan bayaran AS$9,350 (kira-kira RM44,790), Journal Current Biology (ISBN 0960-9822) AS$7,030 (kira-kira RM33,670), dan Critical Reviews in Food Science and Nutrition Online (ISBN 1549-7852) pula AS$10,520 (kira-kira RM50,390) bagi setiap artikel yang dkeluarkan.

Taylor & Francis yang berpangkalan di England mengeluarkan beribu journal dan mencakupi pelbagai bidang penyelidikan.

Bagi para penyelidik yang menjalankan kajian pendidikan, mereka perlu membayar AS$13,737 atau RM65,800 bagi sebuah artikel yang diterbitkan di Journal Education Research (ISBN 0092-8674), atau AS$11,161.00 (kira-kira RM53,460) bagi Journal Early Child Development and Care (ISBN 0300-4430).

Rekod tertinggi untuk bayaran sebuah jurnal bagi tahun 2024 adalah AS$23,078 bagi Journal of Co-ordination Chemistry (ISBN 0095-8972). Jika ditukarkan kepada ringgit, nilai ini bersamaan RM110,550.

Natijahnya, itulah nilai sebuah ilmu yang terkandung di dalam senaskhah artikel yang ketebalannya dari 10 hingga 12 helai; nilai yang menyamai harga sebidang tanah di kampung.

Pada masa sama, terdapat juga jurnal berimpak mengenakan kadar yang rendah, sekitar RM1,000-RM2,000 bagi setiap artikel.

Selain itu, terdapat juga jurnal berimpak tinggi yang percuma. Contohnya Big Data Research, Asian Journal of Social Science dan Cognitive Systems Research.

Namun, tidak kesemua jurnal yang dihantar akan diterbitkan. Sudah menjadi asam garam para penyelidik di mana hasil kerja mereka gagal diterbitkan kerana tidak menepati tapisan dan kriteria yang ditetapkan.

Antaranya kelemahan dalam gaya dan kemampuan penyampaian bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa utama bagi jurnal-jurnal berimpak tinggi.

Selain itu, penyelidik terpaksa menunggu masa lama untuk penerbitan artikel yang boleh mengambil  sehingga dua atau tiga tahun, selain daripada pembetulan demi pembetulan yang perlu dilakukan atas saranan penilai.

Maka tidak hairanlah, kebanyakan ahli akademik mengambil keputusan untuk mengeluarkan wang bagi APC penerbitan jurnal.

Bagi sesebuah universiti yang kaya dan mempunyai alumni dan sumber kewangan yang kukuh, ia bukan isu besar.

Sebagai contoh, Laporan Tahunan 2023 National University of Singapore, universiti yang terunggul di rantau ASEAN telah memperuntukkan sejumlah SG$11 juta bagi kerja-kerja penyelidikan.

Universiti Harvard yang menduduki tangga  ke-4 universiti dunia tahun 2023 menyalurkan jumlah pembiayaan bernilai AS$2.2 bilion bagi tahun sama berbanding Universiti Oxford dengan £856.1 juta atau AS$1.0 bilion bagi  tahun kewangan 2021/22.

Bagi negara kita, ringgit yang susut nilai memberi impak kepada dana penyelidikan. Ia memberi kekangan kepada penyelidik untuk menjalankan kajian dan seterusnya menaikkan nama negara di bidang akademik.

Hal yang sama turut mewarnai landskap pendidikan apabila ahli akademik perlu menghadiri konferensi, seminar, sangkutan industri ataupun latihan sabatikal di negara-negara maju yang mengenakan yuran dalam AS dolar.

Secara keseluruhannya, penyusutan nilai ringgit jelas memberi kesan kepada bidang penyelidikan tanah air. Kekangan ini sekali gus boleh membantutkan usaha penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan penyelidik muda.
 


Dr Abdul Mutalib Embong dan Nurul Ain Chua merupakan tenaga pengajar di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.