MALAYSIA
[KOLUMNIS] Peranan Raja-Raja Melayu dalam menghadapi kemunduran, ancaman kepada umat Islam
![[KOLUMNIS] Peranan Raja-Raja Melayu dalam menghadapi kemunduran, ancaman kepada umat Islam [KOLUMNIS] Peranan Raja-Raja Melayu dalam menghadapi kemunduran, ancaman kepada umat Islam](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-08/41724733293_IstanaNegara.jpg)
Institusi Raja adalah satu-satunya institusi Islam yang masih dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat. - Gambar hiasan
KEMUNDURAN dan pelbagai ancaman yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia hari ini bukan sekadar isu individu atau politik semata-mata, tetapi merupakan satu realiti sosial yang memerlukan tindakan kolektif dan kepimpinan yang berwibawa.
Dalam konteks ini, Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri mempunyai peranan yang sangat signifikan untuk menjadi pemimpin moral, pelindung keadilan dan penyatu umat dalam menghadapi cabaran ini.
Kedudukan Raja-Raja dalam Perlembagaan
Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja bagi sesebuah negeri adalah Ketua Agama Islam bagi negerinya.Bagi Wilayah Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan ini.
Jadual Kesembilan pula memperuntukkan bahawa hal ehwal Islam berada di bawah kuasa negeri.
Ini bermakna, Raja-Raja mempunyai tanggungjawab langsung terhadap pentadbiran Islam, termasuk pelantikan mufti, pengurusan zakat, wakaf, baitulmal, pendidikan agama dan penguatkuasaan undang-undang syariah.
Namun, tanggungjawab ini tidak boleh difahami sekadar dari sudut pentadbiran, tetapi perlu ditafsir dalam kerangka tanggungjawab moral dan strategik demi kesejahteraan umat.
Realiti kemunduran dan ancaman umat
Umat Islam di Malaysia kini berdepan dengan pelbagai bentuk kemunduran - dari segi pemikiran, ekonomi, akhlak dan perpaduan.
Budaya taklid buta menggantikan budaya ilmu, integriti pentadbiran agama sering dipersoal dan fahaman Islam yang progresif disempitkan oleh retorik sempit.
Institusi-institusi agama pula kadangkala dilihat tidak responsif, malah terlalu terikat dengan politik semasa.
Lebih membimbangkan, penyusupan ideologi ekstremis dan liberal mutlak, pengaruh budaya hedonistik, serta perpecahan dalaman umat Islam menjadikan masyarakat Islam semakin rapuh.
Generasi muda pula semakin menjauh daripada agama kerana kecewa dengan pendekatan agama yang dilihat menghukum, bukan mendidik.
Raja sebagai pemimpin moral dan penyatu umat
Dalam suasana inilah Raja-Raja Melayu perlu tampil sebagai penyatu umat dan pemimpin moral yang bebas daripada kepentingan politik kepartian.
Institusi Raja adalah satu-satunya institusi Islam yang masih dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Ini memberikan peluang yang besar untuk Raja memainkan peranan sebagai pemimpin islah - pembaharuan yang berpandukan maqasid syariah, keadilan dan hikmah.
Raja boleh menggunakan kuasanya untuk menilai semula keberkesanan pentadbiran institusi agama, memastikan integriti pelaksanaannya, serta menyokong wacana intelektual Islam yang terbuka dan membina.
Di bawah naungan Raja juga, satu majlis atau sidang ulama bebas boleh ditubuhkan untuk memberikan
nasihat dasar dan arah tuju Islam yang bersesuaian dengan cabaran semasa.
Penggunaan kuasa Perlembagaan secara progresif
Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan adalah satu institusi tertinggi yang menghimpunkan semua Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.
Ia mempunyai kuasa untuk membincangkan dasar negara dan hal ehwal agama Islam (Perkara 38(5)).
Oleh kerana majlis ini bebas daripada pengaruh politik kepartian, ia wajar dijadikan platform syura tertinggi untuk membincangkan kemaslahatan umat Islam.
Majlis Raja-Raja boleh menyelaras dasar Islam antara negeri, memberi nasihat kepada kerajaan dalam isu-isu sensitif, dan menaungi wacana ilmuwan Islam yang bebas dan berpandangan jauh.
Kuasa Raja-Raja di bawah Perkara 11(4) juga membolehkan kawalan terhadap penyebaran ajaran menyeleweng. Namun, kawalan ini mestilah disertai galakan kepada budaya ilmu, pembacaan al-Quran secara berfikir, dan pendidikan Islam yang membentuk jati diri berteraskan kebenaran dan hikmah.
Raja-Raja juga boleh menasihati kerajaan terhadap dasar-dasar populis yang mungkin bertentangan dengan maqasid syariah.
Dalam hal ini, institusi Raja sebagai kuasa moral perlu menjadi suara yang menyeimbangkan antara agama, rakyat dan negara.
Selain itu, Majlis Raja-Raja juga boleh berperanan sebagai penapis dan pengimbang terhadap pengaruh fahaman atau golongan agama tertentu yang cuba mengawal minda umat Islam secara sempit atau bertentangan dengan semangat al-Quran dan sunnah.
Dalam hal ini, kuasa yang diberi di bawah Perkara 38(5) dan Perkara 11(4) membolehkan Raja-Raja, secara kolektif, mengawasi dan menyekat penyebaran fahaman yang memecah belah umat, bersifat ekstrem atau menyesatkan, sama ada ia datang daripada pendakwah bebas, institusi rasmi mahupun pengaruh luar.
Kawalan ini bukan bertujuan membisukan pandangan, tetapi untuk memastikan bahawa ajaran Islam yang diajarkan kepada rakyat adalah seimbang, berasaskan ilmu yang sahih, dan mengarah kepada perpaduan serta kemajuan ummah, bukan kepada taksub dan perpecahan.
Raja-Raja boleh memainkan peranan aktif dalam menegur atau menyemak kembali pendekatan institusi agama negeri yang dilihat menyempitkan ruang ijtihad atau menyekat perbezaan pandangan yang dibenarkan dalam Islam.
Perlu diperkasakan dengan ilmu dan hikmah
Sudah tiba masanya institusi Raja bukan hanya menjadi simbol, tetapi menjadi institusi kepimpinan yang dinamik, dihormati dan diyakini rakyat.
Untuk ini berlaku, Raja perlu dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang berilmu, bebas dan berwawasan.
Raja juga perlu mendekati suara rakyat, terutamanya golongan muda, dan menjadi penaung kepada usaha memperkasa umat secara intelektual, sosial dan ekonomi.
Penutup: Harapan kepada institusi Raja
Umat Islam hari ini memerlukan harapan. Dalam kekeliruan yang melanda, mereka memerlukan pemimpin yang boleh dipercayai.
Raja-Raja Melayu, yang telah lama menjadi pelindung agama dan budaya, harus kembali memainkan peranan tersebut dengan lebih tegas dan berkesan.
Sebagaimana Raja-Raja Melayu dahulu pernah menjadi tonggak masyarakat Islam ketika zaman penjajahan dan kemerdekaan, maka kini institusi Raja mesti menjadi tonggak kepada kebangkitan semula umat Islam - bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kebijaksanaan, keadilan dan kasih sayang.
“Daulat Tuanku” bukan sekadar ungkapan protokol - ia adalah harapan umat kepada kebangkitan kepimpinan Islam yang benar dan membina.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami