Pekerja balak maut diserang gajah liar spesies "Elephas maximus" di Gua Musang

Allahyarham Saidi Jahari ditemukan maut dipercayai diserang gajah liar berhampiran rumah kongsi kawasan pembalakan di Aring 8 di Gua Musang malam Rabu lepas.
GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan pekerja pembalakan yang ditemukan maut berhampiran rumah kongsi di Aring 8, Rabu lepas, diserang gajah liar daripada spesies Elephas maximus.
Ringkasan AI
- Perhilitan sahkan pekerja pembalakan maut diserang gajah liar spesies Elephas maximus di kawasan ladang baharu di Hutan Simpan Kekal Lebir, Aring 8, Kelantan.
- Kawasan ladang dan rumah kongsi baru dibuka oleh syarikat terbabit, tanpa rekod aduan konflik hidupan liar sebelum ini; kumpulan gajah dianggarkan sekitar 30 ekor.
- Sejak 2023 hingga 2025, Perhilitan telah memindahkan 64 ekor gajah konflik di Kelantan, dengan lokasi kerap berlaku konflik termasuk Kampung Belia, Kampung Miak dan Kampung Pasir Linggi.
"Hasil siasatan di lokasi kejadian mengenal pasti kesan hidupan liar yang menyerang mangsa adalah daripada spesies berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan rekod aduan konflik hidupan liar, Perhilitan tidak pernah menerima aduan daripada Ladang Alam Jaya Industri Sdn Bhd sebelum ini.
Mohamad Hafid berkata kawasan hutan ladang dan penempatan rumah kongsi berkenaan baru dibuka dan dibina oleh syarikat itu.
"Untuk makluman sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, Perhilitan telah menangkap dan memindahkan 64 ekor gajah konflik di negeri ini.
"Gajah liar yang sering menimbulkan konflik manusia-gajah di kawasan itu adalah daripada kumpulan gajah yang berasal dari Hutan Simpan Lebir yang dianggarkan lebih kurang 30 ekor," katanya.
Beliau berkata gajah daripada kumpulan itu juga sering menimbulkan konflik di beberapa lokasi seperti Kampung Belia, Kampung Miak, Kampung Pasir Linggi, Kampung Rahmat, Kampung Sungai Bayu, Kampung Sungai Lakit, Kampung Kenangan dan Kampung Mutiara.
Pada Rabu lepas, seorang lelaki tempatan ditemukan maut selepas diserang gajah liar berhampiran rumah kongsi kawasan pembalakan di Aring 8 di sini, pada tengah malam Rabu lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


