MALAYSIA
[KOLUMNIS] Peristiwa subuh 28 Mei – Fajar keamanan melalui sinema
![[KOLUMNIS] Peristiwa subuh 28 Mei – Fajar keamanan melalui sinema [KOLUMNIS] Peristiwa subuh 28 Mei – Fajar keamanan melalui sinema](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2020-10/71604036559_CinemaHall.jpg)
Filem dan kandungan kreatif dilihat bukan hanya sebagai komoditi budaya tetapi juga berpotensi menjadi medium diplomasi dan perdamaian antara kedua negara. -Gambar hiasan/gsc.com.my
SEDANGKAN lidah lagi tergigit.
Ringkasan AI
- Kemboja mengarahkan penggantungan semua tayangan filem dan kandungan Thailand bermula 13 Jun 2025 sebagai respons terhadap cadangan nasionalis Thailand untuk memutuskan bekalan elektrik dan internet ke wilayah Kemboja.
- Ketegangan ini berpunca daripada insiden pertempuran tentera di sempadan Preah VihearUbon Ratchathani pada 28 Mei 2025, yang menghidupkan semula konflik lama berkaitan isu persempadanan dan pengiktirafan Kuil Preah Vihear.
- Pengharaman kandungan Thailand memberi kesan besar kepada industri kreatif dan budaya di Kemboja, namun filem juga dilihat berpotensi menjadi medium perdamaian dan diplomasi antara kedua negara dalam semangat ASEAN.
Pagi semalam, tanggal 13 Jun 2025, satu kenyataan dibuat oleh kerajaan negara Kemboja.
Secara rasmi arahan dikeluarkan untuk semua pihak di Kemboja menghentikan tayangan filem, dan program televisyen daripada Thailand di negara tersebut, berkuat kuasa hari yang sama.

Ia sebagai respons terhadap ancaman serta cadangan sebahagian nasionalis Thailand supaya kerajaan Thailand memutuskan bekalan elektrik dan internet ke sebahagian wilayah Kemboja yang bergantung kepada bekalan daripada Thailand.
Ketegangan Phnom Penh dan Bangkok ini memuncak bermula dari peristiwa subuh 28 Mei yang lalu – hanya sehari setelah Persidangan ASEAN 2025 selesai gah berlangsung di Kuala Lumpur.
Pada hari tersebut, sekitar jam 5.30 pagi, telah berlaku pertempuran tentera selama lebih kurang 10 minit di kawasan sempadan kedua negara, wilayah Preah Vihear di Kemboja dan Ubon Ratchathani di Thailand.
Pertembungan yang mungkin kecil skalanya, namun telah melenyapkan ketenangan tanpa pertumpahan darah yang sudah dicapai hampir 14 tahun di kawasan tersebut.
Menyusur kembali sejarah ketegangan di kawasan tersebut, ia adalah konflik tradisi sejak sekian lama.
Sebelum kewujudan negara bangsa serta sempadan politik, Angkor dan Ayutthaya sebagai dua buah empayar utama di kawasan tersebut menguasai wilayah tanpa garis sempadan yang jelas.
Di bawah pemerintahan barat kemudiannya, beberapa kawasan di kawasan tersebut pernah beberapa kali bertukar tangan dan diserah bahagi -- mengikut percaturan pemerintah semasa -- termasuklah ketika perang dunia ke-2.
Hinggalah garis sempadan yang disepakati dalam Perjanjian Perancis-Siam 1907 diguna pakai sebagai asas persempadanan kini.
Namun, meski sudah beberapa kali dibawa dan diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), masih terdapat banyak isu persempadanan yang tidak jelas dan tidak dirungkaikan, membawa ketegangan berterusan dari masa ke masa.
Ia menjadi lebih lebih panas apabila Kemboja mendapatkan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Kuil Preah Vihear pada tahun 2008, yang mendapat tentangan kuat sebahagian nasionalis Thailand.
Kita kembali dalam konteks filem dan sinema.
Isu berkenaan penguasaan filem dan kandungan Thailand dalam pasaran Kemboja pula sememangnya sudah menjadi antara perdebatan sejak puluhan tahun lalu.
Kemboja kini merupakan antara pasaran luar negara utama kepada filem dan kandungan Thailand.
Situasi ini di mana filem, kandungan, dan budaya Thailand dilihat terlalu dominan hingga mempengaruhi pelbagai aspek dalam kalangan masyarakat Kemboja -- hingga ia kurang disenangi banyak pihak -- meskipun terdapat sesetengah pihak pula meraikannya sebagai suatu bentuk kebebasan dalam dunia terbuka masa kini.
Antara yang dilihat menjadi faktor dominasi ini berlaku adalah kekuatan ekonomi Thailand khususnya dalam industri kreatif – didorong lagi persamaan budaya antara kedua negara yang akrab.
Malah, drama bersiri Thailand yang menjadi antara tontonan utama masyarakat Kemboja sejak sekian lama – sudah menjadi sebahagian sebahagian budaya kontemporari masyarakat.
Jadi, beberapa laporan media melihat langkah pengharaman sementara filem dan kandungan Thailand di Kemboja ini mempunyai implikasi yang besar -- bukan sahaja impak kepada pengeluar industri filem dan sinema Thailand -- tetapi juga rantaiannya kepada konsumerisme dan rutin harian masyarakat; termasuklah ekosistem pempameran dan penyiaran di Kemboja.
Beberapa jam setelah kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan Kemboja – rangkaian pawagam utama Kemboja iaitu Legend Cinema – dan juga Major Cineplex Cambodia iaitu rangkaian pawagam yang dimiliki konglomerat Thailand menyusul dengan kenyataan rasmi memaklumkan pematuhan serta menghormati ketetapan yang telah dibuat.
Penyusunan serta kuratorial tayangan akan diolah serta-merta bagi disesuaikan dengan ketetapan semasa tersebut.
Tindakan Kemboja menghentikan tayangan dan import filem sebagai respons terhadap ancaman menghentikan bekalan elektrik dan internet ke negara itu memperlihatkan betapa signifikan filem dalam hubungan ekonomi dan budaya kedua negara.
Malah, situasi ini memperlihatkan bagaimana betapa penting peranan dunia sinema dan perfileman dalam pelbagai aspek -- malah melangkaui sekadar debat dalam konteks komoditi ekonomi mahu pun refleksi budaya.
Tanpa mahu mencampuri urusan dalaman mahu pun sensitiviti kedaulatan kedua-dua negara – namun harapan saya yang mungkin harapan kita semua – agar satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam mempertahankan sekali gus menambah baik keamanan yang ada.
Sebagai salah seorang penggiat yang mempunyai hubungan baik bukan sahaja kepada rakan-rakan pembikin – malah pentadbir industri di kedua-dua negara – harapan saya pastinya ketegangan itu tidak lama dan akan segera mereda.
Sebagai pihak berkecuali juga, tidak banyak yang boleh saya ucapkan selain harapan bahawa pembikin kedua-dua negara mengekalkan hubungan yang telah terbina.
Meski ketetapan dasar luar negara telah diputuskan dan rundingan antara kerajaan melalui Thailand–Cambodia Joint Boundary Commission (JBC) sedang berjalan, namun penggiat dan pembikin kedua-dua negara boleh memain peranan diplomasi dalam menenangkan suasana.
Malah ia boleh menjadi titik permulaan semula dalam mewujudkan senario yang lebih seimbang dan mesra kedua-dua negara – serta saling membantu ke arah perkembangan bersama.
Tidak dinafikan filem dan sinema merupakan medium pemangkin nasionalisme mahu pun platform kritikan yang berkesan.
Tetapi yang pasti – dalam situasi ini – yang perlu diberikan perhatian adalah bagaimana ia juga mampu menjadi pencetus persefahaman.
Oleh itu, tidak mustahil filem juga mampu dimanfaatkan semula sebagai medium perdamaian yang menjadi jambatan antara kedua-dua negara.
Peristiwa subuh 28 Mei sudah pun berlaku – dan masa tidak mampu diputarkan semula. Seperti menarik benang dalam tepung, kita berharap fajar yang bakal terbit pada subuh hari-hari yang mendatang membawa sinar kedamaian buat kita semua dalam keluarga ASEAN.
Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami