MALAYSIA
[KOLUMNIS] Pilihan Raya Negeri Sabah: Antara budaya lompat parti dan harapan baharu
![[KOLUMNIS] Pilihan Raya Negeri Sabah: Antara budaya lompat parti dan harapan baharu [KOLUMNIS] Pilihan Raya Negeri Sabah: Antara budaya lompat parti dan harapan baharu](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41748914860_pilihanrayaSabah.jpg)
Sebagai sebuah negeri dengan multietnik yang besar, Sabah mempunyai jumlah parti politik yang terbanyak dan membentuk gabungan politik bagi tujuan pembentukan kerajaan negeri.
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada penghujung September ini atau dibubarkan oleh Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) pada bila-bila masa di atas permohonan Ketua Menteri bagi membolehkan dan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) diadakan, untuk memilih 73 wakil rakyat baharu.
Pilihan raya adalah lambang demokrasi utama, di mana rakyat mempunyai kuasa penuh untuk memilih calon yang pada pandangan mereka boleh membawa suara dan inspirasi mereka ke dalam proses pembikinan undang-undang, polisi dan pentadbiran negeri demi kesejahteraan rakyat.
PRN Sabah menarik perhatian umum kerana landskap politik di Negeri Bawah Bayu adalah rumit dan amat bergantung kepada politik kawasan atau daerah, isu-isu etnik, budaya politik tempatan, sifat peribadi tokoh-tokoh politik setempat dan juga pergolakan politik di peringkat nasional.
Antara persoalan utama adalah ‘sejauh manakah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat mempertahankan kedudukan sebagai parti memerintah selepas PRN17?’Sebagai sebuah negeri dengan multietnik yang besar, Sabah mempunyai jumlah parti politik yang terbanyak dan membentuk gabungan politik bagi tujuan pembentukan kerajaan negeri.
Menarik untuk diperhatikan bahawa terdapat parti-parti yang bergabung di peringkat nasional tetapi bertembung di peringkat negeri.
Di samping pertembungan di antara parti, isu dan masalah dalaman parti juga menyebabkan parti-parti politik di Sabah kelihatan goyah menjelang PRN.
Kekuatan personaliti-personaliti politik di Sabah sering menjadi perhatian kerana golongan ini adalah ‘warlords’ atau panglima perang yang mempunyai pengaruh yang tinggi untuk menentukan hala tuju parti-parti politik di dalam PRN Sabah.
Seperkara lagi yang menarik berkaitan gabungan parti politik di Sabah adalah hampir kesemua parti pernah pada suatu ketika menjadi sebahagian daripada gabungan parti memerintah di peringkat negeri.
Fakta ini membolehkan pengundi Sabah membuat penilaian parti manakah yang layak dipilih untuk menjadi wakil bagi membentuk kerajaan selepas PRN17.
Sudah menjadi lumrah di Sabah selepas setiap pilihan raya berlaku percaturan dalam kalangan parti politik untuk membentuk kerajaan negeri.
Aktiviti lompat parti bukanlah perkara baharu dan sering menimbulkan kesan negatif terhadap keyakinan pengundi terhadap keputusan pilihan raya.
Isu integriti dan moraliti dalam kalangan ahli-ahli politik sering dipersoalkan apabila berlakunya percaturan di luar gabungan semasa pilihan raya.
Di dalam setiap pilihan raya, isu-isu negara, negeri dan setempat akan digembar-gemburkan sebagai bahan untuk menarik sokongan pengundi.
Isu-isu berkaitan hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri, hasil bumi negeri, bantuan kerajaan persekutuan kepada rakyat Sabah, projek-projek infrastruktur akan menjadi topik utama kempen pilihan raya.
Kesemua pihak akan menjanjikan bulan dan bintang sekiranya dipilih sebagi wakil rakyat.
Namun, pengundi haruslah mempunyai fikiran yang terbuka dan memilih calon boleh memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka sekiranya dipilih.
Setakat April 2025, terdapat 1,767,267 pengundi berdaftar di Sabah termasuk lebih 200,000 rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung sebagai penuntut ataupun bekerja.
Mengikut proses pilihan raya sedia ada, menetap di luar kawasan mengundi tidak melayakkan pengundi tersebut mendapat kemudahan undi pos.
Pengundi Sabah yang berada di Semenanjung harus pulang ke kawasan mengundi masing-masing untuk mengundi.
Pengundi akan menghadapi kos pengangkutan yang tinggi dan juga tempoh perjalanan yang lama.
Kerumitan ini akan menyebabkan ramai pengundi memilih untuk tidak pulang ke kawasan mengundi mereka.
Perjalanan dan proses pilihan raya adalah bergantung sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang.
Sebagai pihak pengurusan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada ataupun memperkenalkan peraturan pilihan raya yang baharu bagi membolehkan rakyat Sabah menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi sebagaimana yang dijanjikan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Memberi akses kepada pusat pengundian ataupun kaedah pengundian yang mudah tanpa sebarang kos terhadap pengundi adalah tanggungjawab utama SPR.
Perkembangan dan kecanggihan teknologi harus diguna pakai untuk kemudahan rakyat, tertakluk kepada jaminan integriti yang tinggi ke atas sistem dan perjalanan pilihan raya.
Membuka pusat mengundi di Kuala Lumpur dan tempat-tempat strategik yang menjadi tumpuan pengundi Sabah di Semenanjung, boleh menjadi sebagai salah satu penyelesaian masalah pengundi luar kawasan bagi PRK Sabah.
SPR boleh melaksanakan cadangan ini sekiranya tatacara mengundi diperhalusi berdasarkan undang-undang sediada atau pindaan terhadap peraturan perjalanan pilihan raya.
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya telah mengemukakan 49 cadangan termasuk kemudahan mengundi kepada rakyat.
Cadangan-cadangan tersebut boleh dilaksanakan bagi menambaik amalan sistem demokrasi di negara ini.
* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami