MALAYSIA
[KOLUMNIS] PMX dan KSN: Daya tahan dua tiang negara - Refleksi kepimpinan MADANI
![[KOLUMNIS] PMX dan KSN: Daya tahan dua tiang negara - Refleksi kepimpinan MADANI [KOLUMNIS] PMX dan KSN: Daya tahan dua tiang negara - Refleksi kepimpinan MADANI](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81754930601_Anwar.jpg)
PMX tidak lari. KSN tidak tunduk. Mereka berdiri bukan untuk disanjung, tetapi untuk memastikan negara terus tegap. - Gambar Astro AWANI
MEMASUKI bulan Ogos 2025, Malaysia mulai meraikan bulan kemerdekaan yang ke-68.
Kali ini temanya Malaysia MADANI - Rakyat disantuni. Di celah deretan bendera dan laungan patriotik, serta keriuhan dan kerancakan program kemerdekaan, tersembunyi persoalan yang mendalam.
Apakah yang menyatukan dan mempertahankan negara ini? Apakah jiwa yang menjadi perisai negara sepanjang 68 tahun perjalanan ini?
Tahun 2025 muncul sebagai medan yang menggoncang jantung negara. Di sinilah dasar mula dicabar, nilai digegar oleh keresahan zaman, institusi diasak dari segenap penjuru dan kepemimpinan didesak untuk tidak sekadar bertahan, tetapi membuktikan keteguhan sebenar.Sama ada negara ini melangkah tegak atau terhuyung rebah semuanya ditentukan dalam ujian yang luar biasa ini.
Tahun ini, dua sosok utama terserlah sebagai tiang peneguh negara; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan sokongan padu barisan jemaah menterinya dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (KSN) dengan pasukan barisan ketua jabatan dan ketua perkhidmatannya.
PMX dan KSN tidak hanya menggalas jawatan, tetapi berfungsi sebagai dwi-teras daya tahan negara, seorang di medan politik dan geopolitik, seorang lagi sebagai penjaga institusi dan jentera pentadbiran negara.
PMX sudah lama diuji dengan ranjau politik, pemenjaraan, pemecatan, fitnah dan kebangkitan semula. Namun tahun 2025 terus menguji keupayaan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.
Bermula dengan tekanan ekonomi, pasca pandemik dan ketidaktentuan global (ada yg menyebut era BANI - akronim bagi Brittle, Anxious, Nonlinear, Incomprehensible) ditambah pula dengan polemik subsidi, tekanan kos sara hidup, serta demonstrasi jalanan yang menyasar beliau secara peribadi. PMX tidak hanya berdepan cabaran retorik, tetapi realiti pentadbiran yang perlu dijawab dengan dasar dan ketenangan.
Dalam lapan bulan tahun 2025, beliau mengharungi cabaran dan ujian. Terbaharu, demonstrasi 'Turun Anwar' yang menghimpunkan rakyat, provokasi oleh kelompok pembangkang yang bermain naratif kejatuhan moral, ekonomi dan politik kerajaan.
Namun, di tengah-tengah gegak gempita tersebut, PMX memilih bukan untuk menyerang balik, sebaliknya beliau melancarkan pengumuman khas pada bulan Julai; satu pakej bantuan yang bersifat empati dan strategik, termasuk penyaluran bantuan tunai tambahan, penurunan harga petrol, pemberian cuti umum khas, serta langkah penstabilan harga barangan asas.
Tindakan ini tidak sekadar meredakan dan mengurus kemarahan, tetapi menjadi bukti bahawa kerajaan bukan lesu terhadap suara dan denyut nadi rakyat.
PMX juga tidak bergantung kepada populariti jangka pendek. Beliau melancarkan Rancangan Malaysia atau RMK-13 (2026- 2030) satu blueprint besar untuk masa depan dengan membawa peruntukan paling besar dalam sejarah negara sebanyak RM1.39 trilion, merangkumi RM430 bilion untuk pembangunan dan RM960 bilion untuk perbelanjaan mengurus.
Pelan ini mencerminkan tekad Malaysia untuk melonjak ke hadapan sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030. Ia turut menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan buruh kepada 45 peratus daripada KDNK, satu langkah penting ke arah pengagihan kekayaan yang lebih adil.
Di bawah naungan Ekonomi MADANI, RMK-13 menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Antara komitmen utama ialah penyertaan wanita dalam tenaga kerja ditingkatkan kepada 60 peratus, pengukuhan perlindungan sosial, pendigitalan sektor awam dan swasta, serta memastikan defisit fiskal kekal di bawah 3 peratus. Ini menggambarkan hasrat kerajaan untuk bukan sahaja memulihkan ekonomi, tetapi membina negara yang lebih adil, cekap dan inklusif untuk semua.
Pada April 2025, lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia memperkukuh lagi hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1974, menggambarkan era keemasan. Dalam majlis rasmi yang dihoskan Anwar, kedua-dua pemimpin menzahirkan komitmen mendalam untuk terus memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang digambarkan sebagai “kukuh seperti batu” dan “seteguh bintang di langit".
Lawatan ini juga menyaksikan termeterainya 31 memorandum persefahaman (MoU) merangkumi bidang strategik seperti kecerdasan buatan, ekonomi digital, pelancongan, pendidikan, pertanian dan keselamatan makanan, selain pengecualian visa timbal balik bagi pemegang pasport biasa dan rasmi.
Dalam konteks sejarah dan geopolitik semasa, hubungan Malaysia-China telah berkembang dari sekadar perdagangan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif sejak 2013 dan terus berkembang walaupun dunia berdepan ketegangan perdagangan global.
Malaysia mengambil pendirian terbuka dan seimbang dengan semua kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat dan berperanan penting sebagai Pengerusi ASEAN serta penyelaras hubungan ASEAN–China.

Selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, PMX memainkan peranan aktif dalam menenangkan ketegangan antara Kemboja dan Thailand. PMX tampil sebagai pemimpin pendamai, mempengerusikan rundingan yang membawa kepada perjanjian bersama untuk meredakan konflik tanpa campur tangan kuasa luar.
Di luar rantau, nama PMX turut disebut oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memuji diplomasi PMX. Ini merupakan pengiktirafan yang membawa makna besar, menggambarkan kepercayaan Barat terhadap pendekatan progresif dan seimbang yang dibawa oleh Malaysia.
Dengan langkah diplomasi yang cermat, matang dan berprinsip, Malaysia tidak lagi menjadi penonton kepada perubahan dunia tetapi kembali menjadi suara yang didengari, dihormati dan dirundingi.
Namun kecekapan politik sahaja tidak cukup. Di sebalik setiap kerajaan yang stabil, mesti ada jentera pentadbiran yang mantap. Di sinilah letaknya kelebihan KSN, Tan Sri Shamsul Azri.
Beliau memikul amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara dalam suasana yang tidak mudah. Ketika kerajaan perpaduan terbentuk pasca PRU15, penjawat awam menjadi sasaran tuduhan berat sebelah, tidak berkecuali, diperalat dan dipesong. KSN tidak tampil secara populis, tetapi bekerja secara senyap.
Beliau memperkukuh semula integriti perkhidmatan awam. Penekanan terhadap disiplin, neutraliti dan prestasi diperbaharui.
Dalam beberapa peristiwa panas termasuk isu perhimpunan jalanan, KSN tampil dengan kenyataan yang menyejukkan suhu politik menegaskan bahawa penjawat awam mesti kekal dalam kerangka etika dan amanah perkhidmatan.
Di bawah kepimpinan beliau juga, pelbagai inisiatif pembaharuan tadbir urus diperkenal. Contohnya sehingga April 2025, 160 projek atau proses Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) berjaya dilaksanakan, dengan objektif utama meningkatkan kecekapan kerajaan, memperkukuh daya saing, memudahkan urusan perniagaan, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ini mencerminkan kemampuan penjawat awam untuk memberi perkhidmatan terbaik secara konsisten.
Sebagai langkah susulan, kerajaan menyasarkan untuk menambah baik 200 proses kerja sepanjang tahun ini, selari dengan kelulusan Rang Undang‑Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 oleh Dewan Rakyat.
Antara PMX dan KSN, terbentuk satu simbiosis; PMX menetapkan hala tuju, KSN memastikan pelaksanaannya berlaku dengan kemas, tepat dan berintegriti. Gabungan ini tidak bergantung pada publisiti, tetapi kepada “trust capital” modal keyakinan yang mereka bina secara senyap melalui keputusan dan hasil.
Sememangnya tidak semua bersetuju dengan PMX. Ada yang mengatakan beliau terlalu lambat, terlalu idealis, tidak popular. Tetapi mari kita bertanya secara jujur; apakah beliau gagal? Atau kita sendiri yang terlalu terbiasa dengan retorik tanpa pelan?
Realitinya, dua indikator besar yang meyakinkan bahawa Malaysia sedang meningkatkan keyakinan pelaburan ialah lonjakan kelulusan pelaburan asing berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, tertinggi dalam sejarah negara dan peningkatan 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-23 terbaik sejak 2020.
Kedua-dua pencapaian ini berlaku dalam persekitaran ekonomi yang stabil; ringgit mengukuh ke sekitar RM4.22/USD antara lima mata wang Asia terbaik, kadar pengangguran jatuh ke 3 peratus terendah dalam sedekad dan lebihan akaun semasa serta aliran masuk dana asing kekal kukuh.
Semua ini memberi isyarat jelas kepada pelabur global bahawa Malaysia bukan sahaja bersedia menerima modal baharu, malah mampu mengekalkan kestabilan makroekonomi sambil mempercepat reformasi birokrasi.
Manfaatnya kepada rakyat adalah nyata, pelaburan besar ini sedang dan akan diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan gaji, pembangunan infrastruktur moden dan perkhidmatan awam yang lebih cekap.
Namun, untuk memastikan momentum ini berterusan, negara perlu mengawasi tiga perkara utama;
1) Memastikan kelulusan pelaburan benar-benar direalisasikan dengan pantas
2) Melindungi kestabilan harga sambil mengurus normalisasi subsidi.
3) Terus memperkukuh daya saing melalui bakat, logistik, serta tenaga boleh diperbaharui.
Dengan disiplin fiskal, kepastian dasar dan naratif pelaburan yang konsisten, Malaysia mampu mengekalkan pacuan pertumbuhan ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama Asia dalam tahun-tahun mendatang.
Di sebalik segala pelaksanaan dasar yang berjaya, KSN pula memainkan peranan utama. Beliau mengukuhkan dasar disiplin dan merit dalam penjawat awam.
Tidak banyak pentadbir negara yang mampu berdiri teguh dalam suasana tekanan politik, tetapi KSN kekal sebagai penjaga institusi. Dalam era pasca kebenaran, integriti dan ketenangan adalah senjata yang paling berkesan dan itu yang beliau bawa.
KSN terus memperlihatkan kepimpinan yang bukan sekadar berasaskan prosedur pentadbiran, tetapi digerakkan oleh semangat reformasi menyeluruh yang kini diperkasakan melalui dua mandat kecekapan:-#RANCAKKAN MADANI dan #MADANIBEKERJA.
Melalui #RANCAKKANMADANI, KSN menyerlahkan pendekatan pentadbiran yang lebih dinamik, inklusif dan tangkas menolak kelambatan birokrasi serta mendorong penjawat awam agar lebih berani merintis, berfikir ke hadapan dan mempercepat tindakan dasar.
Manakala #MADANIBEKERJA mengangkat nilai kerja keras, integriti dan keberhasilan sebagai paksi utama.
Ia komitmen harian seluruh penjawat awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang benar-benar menyentuh rakyat.
Gabungan kedua-dua mandat ini memperlihatkan wajah baharu perkhidmatan awam Malaysia bukan lagi hanya melaksana, tetapi memimpin perubahan. KSN, sebagai peneraju utama, sedang meletakkan landasan kukuh agar seluruh jentera pentadbiran bangkit dengan pesona, prestasi dan prinsip. Inilah wajah MADANI yang rancak dan bekerja bukan dengan gema kata, tetapi dengan jejak tindakan.
Tahun 2025 akan dikenang sebagai tahun cabaran politik, sosial dan ekonomi. Tetapi juga tahun kebangkitan semula apabila Malaysia tidak tumbang walau diasak dari kiri dan kanan.
Dalam suasana itu, PMX dan KSN menjadi tiang-tiang yang menahan runtuhnya struktur. Ada yang secara santai kata 2025 “tahun emas”, “tahun perak”, “tahun gangsa”. Tetapi bagi tahun ini, 2025, tiada satu pun sesuai. Ini bukan tahun keindahan luaran. Ini adalah tahun tekanan, geseran dan ketahanan.
Inilah tahun titanium
Titanium bukan berkilau, tetapi tidak berkarat. Ia tidak selembut emas, tetapi tahan segala tekanan. Ia mungkin tidak mempesona, tetapi ia menyelamatkan struktur daripada runtuh.
PMX tidak lari. KSN tidak tunduk. Mereka berdiri bukan untuk disanjung, tetapi untuk memastikan negara terus tegap. Dalam dunia yang semakin rapuh, mereka kekal sebagai dua tiang utama negara - satu di medan dasar, satu di medan tadbir urus.
Kini, pada Ogos 2025, kita harus buat refleksi siapa yang bertahan, siapa yang merancang, siapa yang mengemudi ketika badai datang. Dan dari situ, kita harus jujur; PMX dan KSN telah menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi pelindung kestabilan nasional.
Perjuangan Malaysia belum berakhir. Masih banyak perlu dibaiki. Namun Malaysia tidak runtuh. Ia tidak hancur. Ia tidak menjadi republik jalanan. Ia kekal kerana ada dua tiang yang bertahan; PMX dan KSN.
Maka, menjelang 31 Ogos 2025, jangan hanya melaungkan “Merdeka!”. Kalungkan juga Order of Resilience in Adversity - Pingat Ketahanan Negara MADANI kepada dua sosok ini.
Bukan kerana mereka sempurna. Tetapi dalam dunia yang cepat menyerah, daya tahan adalah kemewahan paling jarang. Untuk Perdana Menteri yang tidak goyah, dan Ketua Setiausaha Negara yang tidak rebah mereka adalah 'Dua tiang-Satu negara'.
Selamat menyambut hari kelahiran PMX pada 10 Ogos dan tahniah buat KSN yang berkhidmat genap setahun pada 12 Ogos - Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-66.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami