PANDEMIK COVID-19 benar-benar telah meletakkan negara di dalam situasi sukar sehingga menjadikan tatanan ekonomi negara terutamanya berada pada tahap yang agak kritikal.

Walau bagaimanapun, usaha ke arah pemulihan negara sedang giat dijalankan dan vaksinasi skala gadang perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Kelewatan proses vaksinasi hanya akan menyebabkan negara berada di gerbang kemelesetan sehingga memungkinkan kualiti kehidupan masyarakat berada di tahap yang lebih parah.

Pengumuman oleh Kerajaan Malaysia berkaitan penerimaan sumbangan vaksin COVID-19 baru-baru ini ternyata membantu mengurangkan keresahan rakyat Malaysia yang ternanti-nanti giliran untuk divaksinasi.

Penerimaan vaksin tambahan ini dapat membantu Kerajaan memperhebatkan lagi usaha negara mencapai nilai ambang seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kejayaan untuk mencapai nilai ambang ini penting dalam usaha membolehkan negara untuk terus berdaya saing di masa hadapan.

Pemberian vaksin secara sistematik dan berkesan merupakan salah satu kunci kepada kejayaan sesebuah negara membentuk imunisasi berkelompok.

Segala usaha keras kerajaan untuk mendapatkan vaksin akan menjadi sia-sia sekiranya ‘last-mile delivery’ vaksin ini menemui kegagalan.

Justeru, dalam usaha memastikan pengagihan vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia berjaya, usahasama secara kolektif perlu digembleng secara bersinergi.

Usaha ini tidak seharusnya ditumpukan hanya kepada beberapa kementerian utama sahaja, namun sokongan dan sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh agensi-agensi kerajaan yang lain sangat penting dalam usaha untuk membantu negara untuk mencapai kejayaan menewaskan pandemik COVID-19.

Pengumuman oleh Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Yang Berhormat Datuk Seri Noraini Ahmad, baru-baru ini untuk menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada 41 merupakan satu pengumuman yang tepat pada masanya.

Pengumuman ini juga secara tidak langsung meredakan keresahan masyarakat kerana semakin banyak PPV memberikan erti semakin cepat proses pemberian vaksin akan dijalankan oleh pihak kerajaan.

Kesediaan KPT untuk menawarkan fasiliti-fasiliti kesihatan dan juga menggerakkan tenaga kerja kesihatan di universiti awam dijangka dapat meringankan dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh fasiliti dan tenaga kerja di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setakat 21 Jun 2021, PPV di IPT telah berjaya mengagihkan vaksin kepada 200,016 orang. Jumlah ini adalah suatu jumlah yang agak tinggi.

Diharap bilangan pengagihan vaksin ini akan terus meningkat selaras dengan peningkatan dos vaksin yang diterima oleh pihak Kerajaan.

Selain menjadikan PPV di IPT sebagai pusat pengagihan vaksin, peranan strategik pusat ini juga boleh dikembangkan melalui pemberian nilai tambah khususnya melalui usaha penyelidikan.

Apatah lagi antara fungsi utama IPT adalah untuk menjalankan penyelidikan bagi membawa kebaikan kepada masyarakat dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh, PPV boleh memainkan peranannya sebagai Pusat Data (Data Center) untuk mengumpul maklumat-maklumat berkaitan permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh masyakat setempat yang hadir ke pusat itu.

Melalui kaedah-kaedah yang sesuai dan tidak mengganggu pengunjung, maklumat-maklumat yang penting ini boleh disimpan di dalam sebuah pangkalan data berpusat.

Pangkalan data ini boleh dijadikan sebagai kajian kes untuk para penyelidik di seluruh IPT merangka polisi dan solusi yang boleh dicadangkan kepada pihak Kerajaan.

Usaha serampang dua mata ini penting untuk membantu kerajaan menghadapi cabaran pasca COVID-19 dengan lebih terarah dan berkesan.

Selain itu, melalui maklumat daripada pangkalan data ini, pihak IPT boleh membuat analisis terhadap keperluan guna tenaga terhadap pasaran semasa.

COVID-19 telah menyebabkan berlakunya penguncupan ekonomi negara secara drastik.

Maka ia memerlukan pihak pemain industri membuat intervensi terhadap pelan perniagaan masing-masing dalam usaha menjamin kelangsungan perniagaan.

Tindakan ini dijangka akan memberi kesan kepada landskap guna tenaga negara.

Keupayaan IPT untuk memahami perubahan awal ini penting dalam memastikan graduan yang disediakan adalah relevan dan sedia digunakan oleh pasaran. 

Usaha ini dapat membantu pihak IPT menjamin kebolehpasaran graduan dan mengelak daripada peningkatan kadar pengangguran negara yang ketika ini sedang meningkat, natijah pandemik COVID-19 ini.

Kebaikan PPV di IPT juga, pakar-pakar di IPT boleh menyediakan perkhidmatan konsultasi secara percuma kepada mereka yang terkesan dengan COVID-19.

Sebagai permulaan kaunseling berkaitan kesihatan mental secara atas talian menggunakan teknologi realiti maya boleh ditawarkan kepada masyarakat umum yang memerlukannya.

Melalui teknologi ini pakar-pakar kesihatan di IPT boleh melakukan pradianogsis dan konsultasi kepada mereka yang terlibat.

Namun konsultasi ini tidak seharusnya terbatas kepada permasalahan berkaitan kesihatan semata-mata, malah ia boleh meliputi aspek-aspek lain, terutamanya di dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi dan lain-lain.

Khidmat masyarakat ini adalah salah satu usaha untuk memasyarakatkan IPT awam di Malaysia agar tidak lagi bersifat eksklusif.

Oleh itu, usaha penubuhan PPV di IPT ini merupakan usaha yang sangat baik oleh kerajaan dalam mengatasi ancaman COVID-19 daripada terus bermaharajalela.

Namun, pelaksanaannya tidak hanya terbatas sebagai pusat pengagihan vaksin semata-mata.

Kerajaan seharusnya mengkaji nilai tambah yang boleh dibawa melalui pelaksanaan pusat ini.

Kelangsungan dan jaya-gagal negara terletak kepada keupayaan kerajaan menggembleng segala sumber yang ada melalui koordinasi agensi-agensi di bawah seliaan mereka.

Semoga usaha dan iltizam ampuh dapat disinergikan secara holistik agar pandemik COVID-19 ini berjaya dihapuskan dari bumi Malaysia.

Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita bersama.



*Prof Madya Dr. Kamarul Faizal Hashim adalah Pensyarah Kanan di Universiti Dubai, Emiriah Arab Bersatu manakala Hisyam Basabah adalah Penganalisis sosial dan Penulis bebas.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.