HARI pengundian sebenar akan berlangsung pada Sabtu ini.

Kerajaan Pusat mengumumkan cuti khas selama dua hari mulai Jumaat ini. Ini kali pertama dua hari cuti khas diberikan.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya satu hari iaitu pada hari pengundian yang jatuh pada hari kerja biasa, pada pertengahan minggu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula memberikan cuti umum khas selepas pilihan raya berlangsung iaitu Khamis dan Jumaat, dan disusuli dengan cuti biasa mingguan pada hari Sabtu dan Ahad.

Pemberian cuti seumpama itu sudah pasti menggembirakan pengundi dalam kalangan pekerja kerana ia menyediakan persekitaran kondusif untuk keluar mengundi.

Cuti khas bukan satu bentuk tawaran tetapi ia dilihat penting bagi para pekerja yang layak untuk mengundi menunaikan tanggungjawab dan hak mereka.  Khususnya bagi mereka yang mengundi di kawasan luar tempat tinggal mereka.

Di sebalik pengumuman cuti khas seperti itu, saya sebenarnya telah menantikan kesatuan sekerja dan badan-badan mewakili pekerja akan mengemukakan tuntutan ataupun permintaan agar nasib para pekerja akan dijamin dan terus dipertahankan.

Di sebalik kerancakan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU), yang dianggotai lebih 100 kesatuan sekerja, mengetengahkan enam tuntutan untuk dipenuhi oleh calon-calon pilihan raya kerusi.

Mereka mengemukakan tuntutan agar hak dan kebajikan lebih 15 juta pekerja dipertahankan dan ditambah baik.

Daftar pemilih semasa mempunyai lebih 21 juta pengundi, meningkat lebih 50 peratus berbanding PRU14.

Di bawah sistem pendaftaran secara automatik, setiap pekerja, sama ada yang formal ataupun sebaliknya, merupakan pengundi yang berdaftar dan layak untuk mengundi pada Sabtu ini.

Setakat ini, CAMU, sebuah gabungan tidak formal, merupakan satu-satunya pergerakan kesatuan sekerja yang meletakkan tuntutan atau permintaan secara formal menjelang pilihan raya kali ini.

Kita tidak dapat menafikan bahawa isu pekerja merupakan salah satu komponen penting dalam mana-mana pilihan raya. Ia selari dengan peranan dan status pekerja sebagai pengundi, yang merupakan antara lebih satu dozen pemegang taruh landskap pilihan raya demokrasi.

Mengumumkan tuntutan mereka Jumaat lalu, Pengerusi CAMU, Rudy Rusly menekankan bahawa memandangkan wujudnya eksploitasi dan diskriminasi yang berterusan terhadap pekerja-pekerja sejak 65 tahun lalu, pihaknya menuntut para calon menyokong enam tuntutan dan perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memenangi plihan raya.

Antara lain, CAMU yang dibentuk pertengahan tahun ini sebagai entiti tidak formal untuk membantah pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang diluluskan beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan bulan lalu, mahu rang undang-undang itu, yang belum dibawa ke Dewan Negara, ditarik balik dan mengadakan perbincangan lanjut bersama kesatuan sekerja.

Tuntutan-tuntutan lain termasuklah:

• Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan hendaklah mengarahkan majikan-majikan melaksanakan Formula Gaji Minimum Kementerian Sumber Manusia supaya jurang ketidakseimbangan pendapatan akan dikurangkan.

• Majikan dihukum jika memecat pemimpin dan ahli kesatuan yang mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan berikutan pertikaian perusahaan.

• Para pekerja digalak untuk menyertai kesatuan yang sedia ada dan apabila pengiktirafan kesatuan diadakan dalam persekitaran bukan kesatuan, majikan hendaklah mengiktiraf kesatuan tunggal dalam kategori yang sama.

• Undi rahsia yang dijalankan oleh kerajaan yang memerlukan persetujuan pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja hendaklah dimansuhkan.

• Demi melindungi para pencarum, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hendaklah mengadakan mesyuarat agung tahunan secara teratur dan menjemput pencarum sebagai pihak berkepentingan bersama-sama membincangkan aktiviti dan laporan-laporan kewangan bagi mencapai ketelusan dan akauntabiliti.

Setakat semalam hampir 30 calon dikatakan telah menyatakan sokongan secara bertulis kepada CAMU.
"CAMU akan sokong calon yang memberikan sokongan kepada CAMU," kata Rudy, mantan timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sambil menambah, CAMU hanya mengadakan pertemuan mencari sokongan dengan calon individu, dan bukannya parti.

PRU15 mencatatkan rekod paling ramai calon bertanding, iaitu 945 orang, mewakili pelbagai parti, gabungan dan juga mereka yang bertanding secara bebas.

Pada sidang media CAMU Jumaat lalu, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon menjelaskan, pihaknya yakin calon-calon individu boleh mempengaruhi pendirian parti masing-masing dalam menjaga kebajikan pekerja.

“Kami percaya (kepimpinan parti politik) mempunyai peranan sendiri. Oleh itu, calon-calon yang bertanding boleh menentukan hala tuju parti mereka dalam isu-isu pekerja,” kata beliau yang juga Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

Tawaran parti politik

Meskipun tiada tuntutan terbuka daripada pekerja ataupun badan-badan mewakili pekerja, tetapi beberapa gabungan dan parti individu menggariskan janji dan tawaran masing-masing.

Antaranya, Pakatan Harapan (PH), gabungan pertama mengumumkan manifesto kali ini, menzahirkan komitmen akan memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan kurangkan beban penjawat awam.

Di bawah teras menjamin kebajikan pekerja, PH menggariskan lima inisiatif iaitu pelan dasar gaji minimum yang tersusun, menangani halangan diskriminasi, jaminan keselamatan sosial, elaun khas kehilangan pekerjaan, dan menangani kemiskinan persaraan.

Barisan Nasional (BN) antara lain berjanji akan memberi potongan cukai pendapatan dua peratus khusus kepada kumpulan B40, meningkatkan cakupan had gaji kelayakan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) daripada RM5,000 ke RM8,000, mengiktiraf sumbangan pekerja dengan cuti bergaji pada hari lahir pekerja serta menggalakkan majikan memperkenalkan program 'reskilling’.

Bahkan, BN juga  berhasrat menubuhkan Kumpulan Wang Pengekalan Kerja, memperkenalkan program Perantisan Nasional, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengekalkan kadar pengangguran di bawah empat peratus.

Tidak ketinggalan memperkenalkan dasar pekerja asing yang mengutamakan kemahiran, skim gaji dan imbuhan yang setimpal dan sistem keselamatan insan dan mengecualikan sepenuhnya cukai pendapatan selama lima tahun kepada wanita yang kembali ke alam pekerjaan setelah berehat daripada kerjaya.

Perikatan Nasional (PN), yang turun sebagai gabungan rasmi buat julung dalam pilihan raya umum pula, mahu memperkasakan Majlis Pekerjaan Negara dalam usaha meningkatkan penciptaan pekerjaan yang melibatkan pelbagai sektor, insentif khas pekerja gig bernilai RM1,000 bagi melanjutkan pengajian, menjana satu juta pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi digital dan masa hadapan dalam tempoh lima tahun.

Gabungan itu juga dalam manifestonya mahu mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing bagi sektor kritikal, menggalakkan majikan membenarkan pekerjaan secara fleksibel mengikut waktu dan lokasi yang bersesuaian bagi menepati takrif kerja penuh 45 jam seminggu dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dan belia sebagai tenaga kerja.

Parti Sosialis Malaysia antara lain memfokus usaha ke arah “hak pekerja dan upah sara hidup yang baik.”

Salah satu teras manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang pertama kali turun gelanggang PRU15 sebagai pakatan politik baharu, ialah menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat Sarawak.

Teras itu menggariskan enam inisiatif.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ditanya mengenai penyediaan manifesto berkata, pihaknya “tunggu siapa yang akan membentuk kerajaan baharu” selepas Sabtu ini.

Kata beliau: “Keyakinan pekerja terhadap parti politik tidak begitu kuat sekarang. Sebab itu runtuhnya ekonomi dan pecah belah berlaku. Kita baharu mula pulih daripada COVID-19, dan kena ada program pemulihan yang kukuh.”

Menurut pemimpin veteran itu, kini penekanan kesatuan sekerja adalah bagaimana kerajaan baharu boleh menstabilkan ekonomi dan kos sara hidup.

“Itu saja... kami akan kemukakan tuntutan kami, mana-mana kerajaan baharu perlu kembalikan maruah pekerja,” kata beliau sambil menambah, “keadaan sekarang seolah-olah indah khabar dari rupa”.

Beliau yang sudah terlibat dalam kesatuan lebih 50 tahun menambah, pekerja Malaysia memerlukan RM2,500 sebagai gaji sara hidup.

“Bukan lagi gaji minimum. Perkataan gaji minimum sudah tidak relevan lagi. Kesempurnan gaji mesti RM2,200 atau RM2,500. Jangan bercakap mengenai gaji minum.”

Shafie merumuskan golongan pekerja kini ‘merana’ kerana harga barang naik tanpa kawalan dan kos sara hidup meningkat dengan mendadak.

Beliau mengakui “manifesto semua parti politik kali ini menjanjikan... bercakap mengenai kos sara hidup.”
“Yang penting janji itu perlu ditunaikan dengan holistik dan serius, dan kembali memulihkan maruah pekerja.”

Secara tidak langsung pemimpin MTUC, CAMU dan yang lain mahu kebajikan dan hak pekerja dijaga.

Tiada tuntutan formal

MTUC tidak mengetengahkan tuntutan formal. Bagaimanapun, Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani memberitahu penulis, beliau mahu parti-parti politik komited untuk menyediakan tadbir urus baik, mewujudkan pengasingan kuasa, kerajaan dan syarikat mesti melakukan semua yang boleh bagi mengubah pemikiran dan amalan “pecah dan perintah”.

Juga perlu disediakan undang-undang bagi memastikan semua pekerja boleh memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah, hak pekerja mesti dipatuhi dan kebebasan untuk menubuhkan kesatuan sekerja dipelihara, manakala Perkeso memainkan peranan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial untuk semua.

Kita perlu menerima hakikat bahawa pekerja merupakan komponen penting dalam setiap pilihan raya.

Dalam PRU15, hampir tiga perempat pengundi terdiri daripada kalangan pekerja.

Pekerja, tidak kira formal ataupun sebaliknya, dan sama ada kerajaan mahupun swasta, tidak termasuk mereka yang sudah pun bersara, mempunyai kuasa besar dalam menentukan jatuh bangun satu-satu parti politik.

Mereka ada kekuatan luar biasa dalam menentukan kerajaan baharu.

Janji atau tawaran manifesto parti politik dan beberapa calon bebas membawa impak secara langsung dan tidak langsung ke atas kehidupan komuniti pekerja.

Setiap parti dan calon sedang bekerja keras untuk memikat sokongan dan undi, sekali gus mengakhiri garisan penamat Sabtu ini.

Pada pandangan Datuk Abdul Halim Mansor, mantan presiden MTUC, sepatutnya badan induk kesatuan seperti MTUC mengemukakan tuntutan dan permintaan kepada parti-parti politik yang bertanding atas kapasiti mewakili kepentingan pekerja.

“Kami (MTUC) pernah lakukan sebelum ini. Kali ini tidak ada. Saya tidak pasti apa sebabnya,” kata beliau yang turut menekankan bahawa parti-parti politik juga tidak melihat “kewujudan pekerja sebagai pemegang taruh penting dalam setiap pilihan raya.”

“Itu sebabnya kepentingan pekerja tidak mendapat perhatian mereka yang bertanding (walaupun ada manifesto). Ini termasuklah sikap calon dan parti tidak mengadakan pertemuan dengan wakil pekerja dan badan-badan yang mewakili pekerja,” tambah beliau.

Daripada 15 juta pekerja pada hari ini, kata beliau, 50 peratus merupakan pekerja yang dikategorikan sebagai “individu teroganisasi” kerana sebahagian mereka menjadi ahli kesatuan, selain merupakan pencarum badan-badan berkanun termasuk Perkeso dan KWSP.

Bilangan pekerja yang menjadi ahli kesatuan adalah dalam lingkungan enam peratus. Saiz kakitangan awam, yang diwakili oleh Cuepacs sebagai badan induk, dianggarkan sekitar 1.7 juta orang.

Mengulas mengenai kuasa kakitangan awam sebagai pengundi dan manifesto,  Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat memberitahu bahawa kongres itu lazimnya tidak mengemukakan tuntutan pilihan raya.

“Cuepacs akan membawa tuntutan kepada kerajaan yang memerintah mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kepentingan penjawat awam, bukannya ketika musim pilihan raya,” kata beliau sambil menambah, penjawat awam bebas untuk membuat keputusan masing-masing apabila melangkah ke peti mengundi.

Sambil mengakui penjawat awam juga merupakan penentu kemenangan dalam PRU15, beliau menambah, penjawat awam tahu membuat penilaian yang terbaik untuk menerajui kerajaan.

“Perkembangan sepanjang empat tahun lalu akan menjadi kayu ukuran untuk pengundi membuat pilihan mereka,” kata beliau yang turut mengharapkan agar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,800 sebulan.

Datuk Abdul Rahman, bekas Setiausaha Agung Cuepacs juga mengakui pekerja sebenarnya merupakan kuasa penentu.

“Bukan sahaja penjawat awam, tetapi juga para pesara sektor awam seramai 850,000 orang, tidak termasuk ahli keluarga mereka, boleh menentukan undian menyokong parti pilihan mereka.

“Bagaimanapun kesatuan-kesatuan sekerja dan persatuan pesara tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik, tetapi boleh berbuat demikian secara individu,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia dan Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia.

Pekerja merupakan penentu besar dalam menentukan wakil rakyat baharu bagi lima tahun akan datang.

“Pekerja juga perlu faham dan sedar akan kekuatan mereka (dalam menentukan kemenangan calon bertanding). Begitu juga calon-calon yang bertanding,” kata Abdul Halim lagi.

Pekerja tidak mahu janji atau perubahan luar biasa. Sebaliknya, mereka hanya mahukan penambahbaikan kualiti kehidupan mereka yang yang munasabah, yang tidak sukar untuk dilaksanakan, dikotakan dan direalisasikan.

Salah satunya, mereka hanya mahu pendapatan yang bermaruah sebagai pekerja untuk menyara hidup mereka dan keluarga mereka.

Pekerja merupakan nadi pembangunan dan kemajuan negara. Mereka juga merupakan tiang seri dalam proses penentuan mandat baharu.

Calon dan parti politik yangt bertanding perlu menggunakan strategi tersusun lagi berkesan untuk memikat 15 juta pengundi.



* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.