MALAYSIA
[KOLUMNIS] #RANCAKKAN MADANI: Bangsa gagah berdiri bila wataknya tersusun
![[KOLUMNIS] #RANCAKKAN MADANI: Bangsa gagah berdiri bila wataknya tersusun [KOLUMNIS] #RANCAKKAN MADANI: Bangsa gagah berdiri bila wataknya tersusun](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/81752231549_penjawatawamksn.jpg)
Cinta pada negara tidak boleh diajar dalam satu seminar, ia mesti dibina melalui nilai, ditanam dalam sistem dan dicontohkan dari atas. - Gambar hiasan
“Bekerjalah bukan untuk pangkat, tetapi untuk keberkatan. Setialah bukan kerana takut, tetapi kerana cinta kepada negara.” - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
DALAM dunia pasca-pandemik yang penuh keretakan, ketidaktentuan dan gangguan nilai, Malaysia berdiri pada satu ambang sejarah antara peluang untuk memperbaharui jiwanya atau terperangkap dalam kepincangan lama. Dalam konteks inilah, MADANI muncul bukan sekadar sebagai rangka watak nasional.
Namun, gagasan ini tidak akan hidup hanya dengan pelancaran. Ia mesti dirancakkan, disuntik ke dalam urat nadi bangsa, dari pemimpin ke rakyat, dari dasar ke budaya, dari slogan ke tindakan. Maka lahirlah seruan #RANCAKKAN MADANI untuk menyusun semula watak negara agar mampu berdiri dengan gagah, bukan sekadar bergerak tanpa arah.
1. Bangsa tanpa watak adalah bangsa yang goyah
Watak bangsa adalah cerminan akhlak kolektif, bagaimana kita memimpin, bekerja dan bermuamalah. Ia terpancar bukan dalam papan tanda atau ucapan rasmi, tetapi dalam kejujuran penjawat awam, dalam belas ihsan terhadap yang tertindas, dalam keberanian berkata benar bila mudah untuk berdiam.
Tan Sri Shamsul mengingatkan kita: “Setialah bukan kerana takut, tetapi kerana cinta kepada negara.”
Ini bukan hanya nasihat moral - ia adalah asas kepemimpinan berprinsip. Ia menyeru agar perkhidmatan awam dan kepimpinan negara tidak beroperasi atas ketakutan atau kepentingan peribadi, tetapi atas cinta, amanah dan keberkatan.
Cinta pada negara tidak boleh diajar dalam satu seminar, ia mesti dibina melalui nilai, ditanam dalam sistem dan dicontohkan dari atas.
2. Apakah misi dan visi MADANI? Mengapa perlu dirancakkan?
MADANI bukan sekadar program pentadbiran, tetapi sebuah projek kenegaraan yang menyeluruh. Namun seperti yang sering ditekankan dalam perbincangan strategik, misi dan visi tanpa pelaksanaan adalah ilusi. Oleh itu, perlu disambut dengan #RANCAKKAN MADANI agar ia;
• Disemai dalam dasar
• Dihidupkan dalam budaya kerja penjawat awam
• Diperkasa dalam komuniti
• Diterjemah dalam sistem pendidikan, ekonomi dan media.
Barulah misi MADANI bukan hanya cita-cita, tetapi watak bangsa yang mampu bertahan dalam zaman yang penuh ketidaktentuan.
MADANI ialah kerangka nilai kenegaraan berasaskan keadilan, ihsan, hormat, kasih sayang, kebebasan dan keberlanjutan. Ia bukan slogan, tetapi tawaran untuk membina semula jiwa bangsa.
Namun seperti benih yang tidak tumbuh tanpa air dan cahaya, MADANI tidak akan berkembang tanpa kerancakkan kolektif;
• Rancakkan dalam pemikiran penjawat awam: dari birokrasi kepada solusi
• Rancakkan dalam budaya kerja: dari compliance kepada purpose
• Rancakkan dalam pimpinan dasar: dari populariti kepada prinsip
Setiap penjawat awam, setiap rakyat, perlu menjadi ejen kepada nilai ini, bukan sekadar penyebutnya.
3. Kerja sebagai wakaf: Work with purpose
Dalam tradisi Islam, wakaf ialah pemberian abadi untuk manfaat manusia dan ganjaran akhirat. Dalam konteks MADANI, kerja kita juga boleh menjadi wakaf jika dilakukan dengan niat yang ikhlas, amanah dan memberi manfaat.
Wakaf dunia: apabila kerja kita menyumbang kepada kesejahteraan negara dan pembinaan sistem yang adil.
Wakaf akhirat: apabila kerja dilakukan dengan penuh integriti, seolah-olah kita menjawab bukan kepada bos, tetapi kepada Tuhan.
Bayangkan sebuah negara di mana;
• Penjawat awam melihat kerjanya sebagai ibadah
• Pemimpin membuat keputusan dengan hikmah, bukan tekanan
• Rakyat jujur walaupun tanpa pengawasan
Inilah wajah sebenar MADANI. Sebuah negara yang dibina atas nilai dan bernafas dengan jiwa.
4. Mengapa kita perlu #RANCAKKAN MADANI di era BANI
Kita kini dalam era BANI - singkatan kepada;
• Brittle (rapuh): Institusi mudah goyah jika tiada nilai teras
• Anxious (cemas): Masyarakat tertekan akibat maklumat dan ketidaktentuan
• Nonlinear (tidak linear): Sebab-akibat tidak lagi mudah dijangka
• Incomprehensible (sukar difahami): Realiti menjadi kabur, makna jadi bercelaru
Dalam era seperti ini, satu-satunya kekuatan sebenar ialah watak.
Ekonomi boleh merudum, politik boleh berubah, teknologi boleh lapuk - tapi jika watak bangsa tersusun, negara tetap akan bertahan.
#RANCAKKAN MADANI ialah perisai dalam era dunia BANI. Ia adalah antibodi nilai yang melindungi bangsa dari keruntuhan moral dan kehilangan arah.
5. Merancakkan nilai, bukan sekadar dasar
#RANCAKKAN MADANI bukan kempen bermusim ,ia dihidupkan secara sistemik dan emosional;
• Apabila guru mengajar dengan penuh amanah, dia merancakkan MADANI
• Apabila pegawai membuat keputusan berasaskan hikmah, dia merancakkan MADANI
• Apabila rakyat menolak rasuah dan menegakkan kebenaran, mereka sedang merancakkan MADANI
Kerajaan boleh mewujudkan dasar, tetapi hanya rakyat boleh menghidupkan semangatnya.
Penutup: Negara boleh dibina, tetapi watak bangsa harus dihidupkan
Bangunan boleh dibina dengan kontraktor. Sistem boleh digubal oleh teknokrat. Tetapi watak bangsa tidak boleh dibeli atau diimport. Ia mesti disemai, dipupuk dan dirancakkan dari dalam.
#RANCAKKAN MADANI ialah seruan untuk;
• Menyusun semula cara kita bekerja
• Menghidupkan semula rasa cinta kepada negara
• Menyemai semula harapan dalam jiwa rakyat
Kerana bangsa hanya akan berdiri dengan gagah apabila wataknya tersusun, dan watak itu bermula hari ini, bermula dengan kita.
#RANCAKKAN MADANI - kerja sebagai wakaf, kepimpinan sebagai amanah, dan negara sebagai ladang nilai.
Ayuh kita semarakkan demi Malaysia yang bermaruah, bertahan dan bermakna.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami