UNIVERSITI tidak diasaskan untuk mengejar angka dan memenuhi metrik pengiktirafan semata, tetapi untuk membina sebuah ketamadunan.
Ia sepatutnya menjadi pemangkin kesejahteraan masyarakat dan penjaga kelestarian masa depan negara.
Advertisement
Dalam kerangka inilah peluncuran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM) perlu difahami sebagai seruan untuk pendidikan tinggi kembali kepada asas penubuhannya.
Apabila meneliti teras dan lonjakan strategik yang digariskan dalam RPTM, jelas bahawa pendidikan tinggi negara sedang digerakkan ke arah melahirkan insan yang lebih bersepadu dari segi ilmu, nilai, kemahiran dan tanggungjawab sosial.
Penekanan kepada pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, penyelidikan dan inovasi yang bertanggungjawab, kelestarian bumi, serta tadbir urus yang bingkas menunjukkan kesedaran bahawa universiti tidak boleh lagi berfungsi secara terpisah daripada realiti masyarakat dan alam sekitar.
Sebagai ahli akademik dalam bidang sains dan konservasi marin, saya melihat pelan ini mempunyai keserasian yang ketara dengan kerangka pemikiran Ekonomi Biru sebagaimana yang diperkenalkan oleh Gunter Pauli.
Ekonomi Biru bukan hanya tentang memanfaatkan sumber lautan untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi tentang meniru kebijaksanaan sistem semula jadi yang cekap, meminimumkan pembaziran, membina nilai tempatan, serta memastikan manfaat pembangunan diagihkan secara adil kepada masyarakat setempat.
Dalam erti kata lain, ia menggabungkan pertumbuhan dengan tanggungjawab sosial dan ekologi.
Malaysia sebagai sebuah negara maritim memiliki garis pantai yang panjang, komuniti pesisir yang ramai, serta ekonomi yang sebahagian besarnya bergantung kepada aktiviti maritim, termasuk perikanan, pelancongan pantai dan pulau, pengangkutan laut, serta industri luar pesisir.
Sektor perikanan sahaja menyediakan pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat, manakala aktiviti ekonomi berkaitan lautan secara keseluruhannya menyumbang secara signifikan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Namun demikian, pada tahap pembudayaan dan pemikiran masyarakat, lautan masih dilihat bukan sebagai masa depan mereka.
Di sinilah pendidikan tinggi mempunyai tanggungjawab membentuk gaya fikir generasi muda tentang hubungan antara manusia dan lautan, tentang peluang kerjaya dalam bidang maritim yang semakin berkembang, serta tentang tanggungjawab menjaga ekosistem yang menjadi asas kepada kesejahteraan ekonomi jangka panjang.
Tanpa perubahan cara fikir ini, agenda Ekonomi Biru berisiko tinggal sebagai slogan dasar yang tidak benar-benar berakar dalam masyarakat.
Satu dimensi penting yang sering kitya terlepas pandang dalam perbincangan mengenai pembangunan maritim ialah isu keadilan sosial.
Kawasan pesisir dan pulau contohnya sering menjadi lokasi tumpuan pelbagai aktiviti ekonomi, termasuk pelancongan, pembangunan infrastruktur dan eksploitasi sumber.
Namun begitu, komuniti setempat tidak semestinya menikmati manfaat yang setimpal.
Dalam banyak keadaan, mereka berdepan dengan tekanan kos sara hidup, persaingan sumber, serta risiko alam sekitar seperti hakisan pantai dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem.
Namun, isu keadilan dalam pembangunan maritim dan komuniti pesisir sering berpunca daripada kekurangan modal insan yang benar-benar dilatih untuk memahami dimensi sosial, etika dan keadilan dalam pengurusan sumber laut.
Ramai profesional dalam sektor maritim dilatih dari sudut teknikal, ekonomi atau kejuruteraan, tetapi tidak semestinya didedahkan kepada persoalan siapa mendapat manfaat, siapa menanggung risiko, dan bagaimana keputusan dibuat.
Apabila dimensi keadilan (equity) tidak menjadi sebahagian daripada kerangka latihan, pembangunan berasaskan laut mudah terjerumus kepada apa yang disebut sebagai krisis Blue Justice.
Konsep Blue Justice menegaskan bahawa ekonomi biru yang gagal mengambil kira keadilan sosial akan cenderung menguntungkan pihak yang sudah mempunyai kuasa modal dan politik, manakala komuniti pesisir yang bergantung secara langsung kepada laut terus terdedah kepada tekanan sumber, konflik ruang dan ketidakpastian masa depan.
Dalam erti kata lain, ketidakadilan dalam ekonomi biru bukan hanya kegagalan dasar ekonomi, tetapi juga kegagalan dasar pendidikan dalam membentuk generasi pemikir dan pengamal yang peka terhadap dimensi kemanusiaan pembangunan maritim.
Di sinilah RPTM perlu dilihat bukan sekadar pelan akademik, tetapi sebagai instrumen strategik pembinaan modal insan untuk masa depan maritim negara.
Jika RPTM benar-benar mahu melahirkan insan seimbang, beretika dan bertanggungjawab, maka dimensi kelestarian sosial dan keadilan sumber perlu diterapkan dengan jelas dalam kurikulum, penyelidikan dan latihan profesional.
Ini bermaksud kita berhasrat melahirkan jurutera marin yang memahami hak komuniti pesisir, pegawai perikanan yang peka terhadap konflik sumber, serta usahawan pelancongan yang melihat komuniti tempatan sebagai rakan kongsi, bukan sekadar tenaga kerja murah.
Dalam konteks ini, sektor pendidikan tinggi berfungsi sebagai pembina bangsa bukan sekadar melalui penerbitan ilmiah, tetapi melalui pembentukan kerangka fikir nasional tentang bagaimana laut harus dibangunkan.
Universiti perlu menjadi ruang di mana konsep seperti blue justice, hak komuniti pesisir, tadbir urus inklusif dan pengurusan sumber berasaskan bukti dibahaskan secara kritikal dan diterjemahkan kepada tindakan.
Tanpa dimensi intelektual ini, ekonomi biru berisiko kekal sebagai wacana semata-mata, bukan agenda pembangunan yang adil.
Universiti Malaysia Terengganu kini berada dalam kedudukan yang amat strategik untuk menyumbang kepada agenda ini.
Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, UMT berkembang sebagai institusi yang berakar pada realiti pesisir dan maritim.
Lokasinya yang berdekatan dengan komuniti nelayan, pulau-pulau peranginan, kawasan pendaratan penyu, terumbu karang dan ekosistem pesisir memberikan kelebihan yang sukar ditawarkan oleh institusi lain.
Keadaan ini membolehkan pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat berjalan secara bersepadu.
Pelajar tidak hanya mempelajari teori dalam bilik kuliah, tetapi terlibat dalam kerja lapangan, program komuniti dan projek konservasi sebenar.
Pengalaman seperti ini membentuk kefahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antara sains, dasar dan kehidupan masyarakat.
Dalam konteks RPTM yang menekankan pembelajaran fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat dan penyampaian yang responsif, model berasaskan lapangan seperti ini amat bertepatan.
Selain itu, penekanan RPTM terhadap TVET termaju dan pembangunan bakat berprestasi tinggi membuka ruang besar untuk memperkukuh pendidikan maritim merentasi pelbagai laluan.
Bidang seperti teknologi perikanan moden, kejuruteraan marin, keselamatan maritim, pelancongan lestari, serta pemantauan alam sekitar memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga memahami dimensi sosial dan ekologi pekerjaan mereka.
Sinergi antara universiti, institusi TVET dan industri maritim boleh menjadi pemacu utama kepada pembentukan ekosistem bakat yang lebih menyeluruh.
Dalam masa yang sama, penyelidikan dan inovasi perlu digerakkan dengan orientasi yang lebih jelas terhadap keperluan negara.
Penyelidikan dalam bidang konservasi marin, perubahan iklim, keselamatan makanan laut dan pengurusan sumber pesisir mempunyai implikasi langsung kepada dasar awam dan kesejahteraan rakyat.
Apabila RPTM menekankan pembudayaan penyelidikan yang bertanggungjawab, ia membawa mesej bahawa kecemerlangan akademik perlu disertai dengan kesedaran tentang impak sosial dan alam sekitar.
Golongan pelajar pula tidak wajar dilihat sebagai penerima pasif sistem pendidikan. Mereka berpotensi menjadi agen perubahan yang penting dalam mengangkat agenda kelestarian dan keadilan sosial.
Aktivisme pelajar dalam konteks maritim boleh mengambil tindakan yang konstruktif seperti program literasi lautan, kempen pengurangan pencemaran, inisiatif keusahawanan sosial yang memberi manfaat kepada komuniti pesisir.
Melalui pendedahan dan bimbingan yang sesuai, pelajar boleh berkembang menjadi warga yang peka terhadap isu lautan dan bersedia memainkan peranan dalam proses pembentukan dasar pada masa hadapan.
Perbincangan tentang RPTM dan Ekonomi Biru sebenarnya membawa kita kepada persoalan yang lebih mendasar, iaitu apakah identiti jangka panjang negara sebagai sebuah negara maritim.
Jika kita menerima bahawa masa depan ekonomi, keselamatan makanan, kestabilan iklim dan kesejahteraan sosial Malaysia berkait rapat dengan lautan, maka pembudayaan maritim perlu menjadi agenda nasional.
Pendidikan tinggi ialah salah satu saluran paling berkesan untuk memulakan pembudayaan ini secara sistematik dan berterusan.
Dalam kerangka tersebut, institusi seperti UMT wajar diberikan perhatian kerana boleh berperanan sebagai makmal hidup untuk pendekatan pembangunan maritim yang lebih seimbang, berasaskan bukti dan berorientasikan masyarakat.
Sumbangan ini tidak seharusnya dilihat sebagai kelebihan institusi semata-mata, tetapi sebagai aset strategik negara.
Dengan memanfaatkan pengalaman lapangan, jaringan komuniti dan kepakaran akademik yang sedia ada, pendidikan tinggi Malaysia berpeluang menjadi peneraju serantau dalam membangunkan model Ekonomi Biru yang berteraskan keadilan sosial dan kelestarian alam.
Anjakan paradigma ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesediaan untuk menilai semula keutamaan, merapatkan jurang antara disiplin, serta mendengar suara komuniti yang selama ini kurang mendapat perhatian.
Namun, dengan hala tuju yang jelas melalui RPTM dan komitmen berterusan daripada institusi, ahli akademik, pelajar dan masyarakat, masa depan maritim negara boleh dibentuk dengan lebih yakin, adil dan lestari.
- Artikel ini ditulis oleh Prof Madya Mohd Uzair Rusli. Beliau merupakan Ketua Pusat Konservasi Marin, Universiti Malaysia Terengganu.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.