[KOLUMNIS] Signifikan lawatan bersejarah Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi
![[KOLUMNIS] Signifikan lawatan bersejarah Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi [KOLUMNIS] Signifikan lawatan bersejarah Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61762461841_SultanIbrahimSulta.jpg)
Lawatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara Islam yang berkongsi akidah, nilai, dan visi bersama terhadap masa depan dunia Islam. -Gambar fail/Jabatan Penerangan Malaysia
LAWATAN negara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini bukan sekadar satu acara diplomatik rutin.
Ringkasan AI
- Lawatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara Islam yang berkongsi akidah, nilai, dan visi bersama terhadap masa depan dunia Islam.
- Pertemuan Sultan Ibrahim dengan Putera Mahkota Arab Saudi memperkukuh hubungan dua hala, menekankan kepentingan kestabilan dasar, hubungan antarabangsa, serta peluang pelaburan.
- Kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi meliputi bidang perdagangan, pertahanan, tenaga, kesihatan, dan teknologi pertahanan, membuktikan hubungan yang semakin erat dan berfokus.
Sepanjang tempoh itu, Malaysia dan Arab Saudi membina rangkaian kerjasama yang meluas — daripada perdagangan dan pertahanan, hinggalah ke bidang agama, kebudayaan dan politik.
Pertemuan antara Sultan Ibrahim dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Al-Yamamah menjadi detik bersejarah yang memperkukuh lagi hubungan dua hala.
Suasana mesra dan saling hormat dalam perbincangan tersebut menggambarkan keakraban antara dua pemimpin serta penghargaan Malaysia terhadap kepemimpinan dinamik Putera Mahkota dan pelaksanaan Wawasan 2030 — satu agenda besar untuk membina ekonomi pelbagai dan masa depan lestari bagi rantau Arab.
Sultan Ibrahim turut menegaskan pentingnya kestabilan dasar dan hubungan antarabangsa dalam membina keyakinan serta menarik pelaburan.
Pandangan ini selari dengan hala tuju Arab Saudi yang kini menjadi contoh kepada banyak negara Asia Timur. Ia menunjukkan betapa Malaysia dan Arab Saudi berkongsi pandangan bahawa kestabilan dan kerjasama global adalah kunci kepada kemakmuran bersama.
Menariknya, dalam tempoh hanya 10 bulan, kedua-dua negara telah mencatat 12 lawatan peringkat tinggi — sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah hubungan dua hala ini.
Nilai perdagangan yang kini mencecah hampir RM45 bilion turut menobatkan Arab Saudi sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah serta rakan global ke-14 secara keseluruhan.
Sektor tenaga, kesihatan dan teknologi pertahanan menjadi antara tumpuan utama kerjasama strategik.
Lawatan Seri Paduka Baginda ke Saudi Arabian Military Industries (SAMI) memperlihatkan minat Malaysia untuk mempelajari pendekatan baharu dalam industri pertahanan dan teknologi ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, juga menegaskan bahawa Malaysia meneliti model yang digunakan oleh Arab Saudi bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Tidak kurang menarik, kunjungan Baginda ke ibu pejabat Saudi Arabian Oud Company melambangkan hubungan budaya dan ekonomi yang semakin akrab — mempertemukan dua bangsa yang berkongsi rasa halus terhadap seni dan warisan Islam.
Lawatan diraja ini jelas membuka lembaran baharu dalam hubungan Riyadh–Kuala Lumpur, menyambung kesinambungan kerjasama yang semakin erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tidak dilupakan, lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Arab Saudi sebaik dilantik dahulu juga memperlihatkan penghormatan tinggi Malaysia terhadap kedudukan istimewa negara itu dalam dunia Arab dan Islam.
Kini, dengan penubuhan Majlis Penyelarasan Saudi–Malaysia yang bermesyuarat buat kali pertama di Riyadh pada Disember 2024, hubungan strategik kedua-dua negara semakin tersusun dan berfokus.
Lebih menarik, usaha kedua-dua negara turut menjadi jambatan yang menghubungkan ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN–GCC pertama pada tahun 2023, manakala Malaysia menjadi tuan rumah edisi kedua pada tahun ini.
Malah, Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China di Kuala Lumpur pada Mei lalu menandakan pertemuan tiga tamadun besar dengan kekuatan ekonomi gabungan lebih USD24 trilion dan populasi melebihi 2.1 bilion.
Ia membuka tirai era baharu dalam keseimbangan ekonomi global — dan Malaysia berada di tengah-tengah gelanggang diplomasi itu.
Lawatan ini juga mengimbau memori lawatan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia pada tahun 2017, yang turut mencatat sejarah tersendiri dalam hubungan dua hala.
Kesinambungan ini membuktikan bahawa kerjasama Malaysia–Arab Saudi bukan sekadar hubungan politik sementara, tetapi satu ‘takdir bersama’ yang diasaskan atas semangat persaudaraan, keikhlasan dan visi sepunya terhadap masa depan dunia Islam.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, hubungan erat antara dua negara Islam yang berpengaruh ini memberi isyarat bahawa diplomasi yang berteraskan kepercayaan dan hormat mampu melahirkan kestabilan, peluang ekonomi dan keamanan sejagat.
Malaysia dan Arab Saudi kini melangkah seiring, bukan sekadar sebagai rakan dagang, tetapi sebagai dua bangsa serumpun akidah yang sama-sama memikul tanggungjawab membina masa depan umat.
Dr Mohammed Gharawi ialah penulis dan penyelidik Arab Saudi berpangkalan di Malaysia
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


