MALAYSIA
[KOLUMNIS] Sistem ranking universiti, di manakah kita?
![[KOLUMNIS] Sistem ranking universiti, di manakah kita? [KOLUMNIS] Sistem ranking universiti, di manakah kita?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-05/71714633537_UTP.jpg)
Universiti di Malaysia menyertai ranking QS dan THE untuk mengukur prestasi global, menarik pelajar antarabangsa, memperkukuh reputasi, dan menyokong dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi. -Gambar fail/Bernama
MENURUT data dikeluarkan QS World University Rankings 2025, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dari Amerika Syarikat terus mengekalkan keunggulannya sebagai universiti terbaik dunia untuk tahun ke-13 berturut-turut tahun ini.
Ringkasan AI
- MIT kekal universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2025, diikuti oleh Imperial College London dan University of Oxford, manakala University of Oxford mendahului dalam Times Higher Education (THE) Rankings.
- QS memberi penekanan kepada reputasi akademik dan kebolehpasaran graduan, manakala THE fokus kepada pengajaran, penyelidikan dan impak industri, menjadikannya lebih mencabar untuk universiti muda.
- Universiti di Malaysia menyertai ranking QS dan THE untuk mengukur prestasi global, menarik pelajar antarabangsa, memperkukuh reputasi, dan menyokong dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.
National University of Singapore (NUS) merupakan satu-satunya universiti dari Asia, berada dalam 10 kelompok terbaik dunia iaitu pada kedudukan kelapan.
Sebuah lagi sistem penarafan universiti, Times Higher Education (THE) meletakkan University of Oxford di tempat pertama dunia, diikuti oleh MIT, Harvard University, Princeton University, dan University of Cambridge.
Universiti Malaya (UM) pula kekal sebagai universiti terbaik negara pada kedudukan ke-60 dunia mengikut QS World University Rankings 2025.
Ia diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-138, Universiti Sains Malaysia (USM) -146, Universiti Putra Malaysia (UPM) -148, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-181.
Sementara itu, Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 meletakkan Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada kedudukan tertinggi, berada dalam kelompok 201–250 dunia diikuti Universiti Malaya (UM), dalam kelompok 251–300, manakala UKM, USM, dan UTM yang masing-masing berada dalam kelompok 401–500 dunia.
Mungkin ramai yang tidak arif akan sistem THE dan QS World University Rankings.
QS World University Rankings merupakan sistem penarafan universiti yang berpangkalan di United Kingdom. QS terkenal dalam kalangan pelajar kerana memberi penekanan kepada reputasi akademik dan kebolehpasaran graduan.
Penekanan kepada aspek global dan keterlihatan universiti (visibility) menjadikan QS sangat popular, terutamanya bagi institusi yang berhasrat untuk menonjol di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Times Higher Education (THE) pula menilai pencapaian universiti berdasarkan lima bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, impak penyelidikan, nama universiti pada peringkat antarabangsa dan sumbangan kepada industri.
Berbanding QS, THE lebih menekankan kualiti pengajaran dan penyelidikan jangka panjang. Ini menjadikannya lebih mencabar dalam kalangan universiti muda atau kecil untuk bersaing bagi mendapat ranking yang tinggi.
Secara keseluruhannya, kedua-dua QS dan THE menyediakan perspektif berbeza dalam menilai kejayaan dan reputasi sesebuah institusi pengajian tinggi.
QS lebih digemari oleh pelajar dan majikan, manakala THE pula lebih dihargai oleh ahli akademik dan penyelidik.
Soalan seterusnya, kenapa universiti di Malaysia turut giat mengejar ranking yang dikeluarkan oleh QS mahu pun THE?
Jawapannya mudah: Sistem ranking seperti QS dan THE digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai penanda aras kualiti sesebuah institusi pendidikan tinggi.
Kedudukan universiti dalam ranking ini lazimnya dinilai berdasarkan kriteria seperti yang dijelaskan, membolehkan universiti-universiti di Malaysia mengukur prestasi mereka bukan sahaja pada peringkat lokal malah global.
Dengan menyertai ranking antarabangsa, universiti di Malaysia dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan institusi mereka serta merancang strategi penambahbaikan.
Penarafan ini juga memberi ruang buat universiti tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan menghasilkan graduan serta penyelidikan yang bermutu tinggi.
Seterusnya, sistem ranking ini selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi melalui pelbagai dasar dan pelan tindakan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025.
Antaranya, menyasarkan sekurang-kurangnya satu universiti tempatan berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Maka penyertaan dalam ranking QS dan THE merupakan landasan yang tepat bagi mencapai matlamat ini.
Justeru, universiti perlu melaburkan sumber yang besar bagi aspek-aspek yang dinilai seperti penyelidikan, jaringan antarabangsa, dan penerbitan.
Ia bukan sahaja mencerminkan komitmen universiti terhadap dasar kerajaan, tetapi juga memperkukuh reputasi negara di persada pendidikan antarabangsa dan seterusnya dapat menarik kemasukan pelajar luar yang menjadikan ranking sebagai rujukan utama dalam memilih destinasi pendidikan mereka.
Malaysia, yang sedang membina imej sebagai hab pendidikan antarabangsa, amat bergantung pada prestasi universiti dalam ranking untuk menarik pelajar sedemikian.
Kita menduduki tempat ke-9 di Asia dan tempat ke-17 di peringkat antarabangsa sebagai negara yang mempunyai pelajar antarabangsa tertinggi, suatu pencapaian yang boleh dibanggakan.
Rekod 2024 menunjukkan jumlah pelajar antarabangsa yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara sudah mencecah 167,000 orang.
Kedudukan dalam ranking berfungsi sebagai satu bentuk pencapaian yang membina imej positif sesebuah institusi di mata masyarakat, industri, dan akademik.
Universiti yang berada dalam kelompok terbaik sering kali dianggap berprestij, berinovatif, dan mempunyai standard pendidikan tinggi yang mantap.
Imej ini boleh memberi kesan langsung terhadap kebolehpasaran graduan dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut.
Malah, dalam pemilihan projek penyelidikan atau geran, institusi yang tersenarai dalam ranking lebih diyakini oleh pihak pembiaya atau penaja, seterusnya mengukuhkan ekonomi dan kedudukan sosial institusi berkenaan.
Kriteria utama dalam penilaian ranking turut melibatkan kuantiti dan kualiti penerbitan akademik serta jumlah citation.
Ia mendorong universiti di Malaysia untuk meningkatkan penyelidikan dan menggalakkan pensyarah menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang bereputasi tinggi.
Ini membantu membudayakan penyelidikan sebagai teras utama dalam perkembangan akademik universiti.

Kertas pembentangan yang berimpak tinggi pada sesebuah persidangan konferen atau seminar turut menjadi kayu ukur kepada sistem ranking IPT negara.
Universiti juga perlu menyediakan insentif, latihan, dan sokongan khusus kepada para pensyarah untuk meningkatkan produktiviti penyelidikan.
Hasilnya, kita dapat melihat peningkatan ketara dalam jumlah penyelidikan yang didaftarkan, jumlah paten dan bilangan kolaborasi dengan institusi luar.
Dalam mengorak langkah mengejar rating, dana dari luar sangat diperlukan bagi tujuan penyelidikan, membiayai biasiswa pelajar serta pembaikan infrastruktur kampus.
Dana endowmen Universiti Havard contohnya bernilai AS$50.7 bilion pada tahun semasa manakala University of Texas System mendapat $42.9 bilion. Endowmen ini diperoleh daripada derma alumni, korporat dan yayasan luar.
Di Asia, kebanyakan universiti masih bergantung kepada peruntukkan kerajaan dan dana penyelidikan nasional.
Bagi tahun 2017 contohnya, jumlah endowmen bagi 20 universiti awam di negara ini ialah sebanyak RM1.85 billion dengan endowmen tertinggi dicatat Universiti Malaya iaitu sebanyak RM1.6 bilion dan kedua tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia sebanyak RM71 juta.
Natijahnya, penglibatan banyak pihak itu perlu bagi memahat nama Malaysia di dalam sistem ranking ini.
Langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meletakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara dalam kelompok ranking utama dunia wajar dipuji.
Ia satu usaha jangka panjang untuk melonjakkan reputasi pendidikan tinggi Malaysia ke persada antarabangsa.
Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI), IPT di Malaysia perlu bersedia menjadi pemangkin inovasi dengan memperkukuh ekosistem penyelidikan, memperhebat kolaborasi rentas sempadan, dan merangka kurikulum yang selari dengan keperluan masa depan.
Hanya dengan keseimbangan antara pencapaian kuantitatif yang dapat diukur seperti sistem ranking dan nilai kualitatif, iaitu impak sosial, kelestarian dan pembangunan insan, kedudukan IPT kita pasti dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan institusi luar.
Seterusnya ia akan membentuk satu institusi yang berwibawa dan dapat menyumbang kepada kemajuan Malaysia negara yang kita cintai.
Dr Abdul Mutalib Embong dan Muhammad Mursyid Mohd Zaini ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami