MALAYSIA
[KOLUMNIS] Sokongan psikososial bantu pulihkan trauma tragedi
![[KOLUMNIS] Sokongan psikososial bantu pulihkan trauma tragedi [KOLUMNIS] Sokongan psikososial bantu pulihkan trauma tragedi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/41752280704_kaunselorumt.jpg)
Kaunselor universiti awam dan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) aktif turun padang berikan bantuan psikososial.
TRAGEDI yang berlaku secara mengejut seperti kemalangan jalan raya sering kali membawa kesan fizikal dan emosi yang mendalam, bukan hanya kepada mangsa, tetapi juga kepada ahli keluarga terdekat.
Kehilangan orang tersayang akibat kemalangan merupakan satu pengalaman traumatik yang boleh meninggalkan kesan berpanjangan kepada ahli keluarga.
Walaupun secara zahirnya mereka kelihatan redha, kesedihan yang tersimpan jauh di dalam jiwa boleh mengambil masa bertahun untuk benar-benar pulih.
Oleh itu, pengurusan emosi yang efektif dan sokongan kaunseling profesional amat penting dalam membantu mereka menjalani proses pemulihan emosi secara sihat dan berkesan.Di sinilah bantuan psikososial memainkan peranan penting dalam membantu keluarga mangsa menguruskan tekanan, kesedihan dan trauma yang dialami.
Bantuan psikososial merujuk kepada sokongan yang diberikan untuk menjaga kesejahteraan emosi, sosial dan psikologi individu selepas mengalami krisis atau trauma.
Ia merangkumi pelbagai bentuk sokongan seperti Kaunseling individu atau keluarga, bimbingan spiritual atau agama, sokongan komuniti dan aktiviti pemulihan psikologi.
Perkhidmatan ini sebaiknya dijalankan oleh kaunselor professional atau terlatih kerana intervensi ini melibatkan aspek emosi, psikologi dan sosial manusia yang sangat sensitif dan kompleks.
Ramai yang menyangka bahawa apabila seseorang kelihatan tenang atau mengatakan mereka “sudah redha”, itu bermakna mereka telah pulih sepenuhnya.
Namun, realitinya, kesedihan selepas kehilangan yang melibatkan kemalangan sering melalui beberapa fasa emosi, iaitu yang pertama adalah penafian dan kejutan.
Pada fasa ini keluarga masih belum dapat menerima realiti kehilangan dan mungkin mereka kelihatan tenang, tetapi itu hanyalah reaksi psikologi untuk melindungi diri daripada kejutan mendadak.
Fasa seterusnya ialah kemurungan dan rasa bersalah yang mana perasaan kehilangan menjadi lebih nyata.
Ahli keluarga mungkin menyalahkan diri sendiri atau menyesali perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan bersama si mati.
Ahli keluarga juga akan berdepan dengan fasa marah dan kekeliruan yang mana gangguan emosi seperti kemarahan terhadap takdir, marah kepada pihak yang menyebabkan kemalangan, atau terhadap sistem yang dianggap gagal memberi keadilan, sering timbul tanpa diduga.
Namun begitu, lama kelamaan mereka akan mula ke arah fasa penerimaan dan penyesuaian iaitu di mana ‘redha’ sebenar mulai terbentuk. Pada tahap ini juga mereka belajar untuk hidup dengan kehilangan itu meskipun sukar dan mengambil masa yang lama.
Maka bantuan psikososial sangat diperlukan bagi membantu mangsa serta keluarga mangsa yang terkesan khusus untuk mengelakkan mereka mengalami kejutan, tidak percaya, ketakutan dan rasa bersalah.
Di sini, para kaunselor berperanan membuka ruang untuk ahli keluarga mangsa meluah dan rasa didengari kerana dalam keadaan sedih dan trauma, tidak semua orang dapat meluahkan perasaan kepada orang sekeliling.
Melalui sesi sokongan ini juga membolehkan mereka meluahkan emosi dan dengan bimbingan kaunselor atau petugas terlatih, ahli keluarga mangsa dapat mengurus tekanan dengan lebih baik, menangani emosi anak-anak yang turut terkesan dan membangun semula harapan serta kepercayaan diri.
Dalam tragedi kemalangan yang menyayat hati melibatkan pelajar di universiti awam (UA) baru-baru ini, kaunselor terlatih dalam kalangan UA dan Majlis Kaunseling Universiti Malaysia atau MAKUMA telah turun padang memberikan perkhidmatan kaunseling dan bantuan psikososial kepada keluarga mangsa agar terus kuat dan tabah menjalani kehidupan mendatang.
Bagi mangsa pelajar yang cedera dalam kemalangan pula, selain sokongan fizikal dan emosi, mereka juga memerlukan bantuan dari sudut akademik agar proses pembelajaran dapat diteruskan dan mereka kembali pulih untuk pulang ke kampus semula.
Kaunselor atau mentor boleh memainkan peranan dalam menyelaras bantuan psikososial akademik sambil menyokong kesihatan mental pelajar yang merangkumi penetapan semula matlamat akademik, pengurusan tekanan belajar dan membangunkan semangat serta motivasi belajar selepas mereka mengalami trauma.
Kecederaan akibat kemalangan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kejayaan akademik pelajar kerana bantuan akademik yang sistematik dan berempati, pelajar boleh kembali pulih dan meneruskan pengajian dengan lebih yakin.
Secara kesimpulannya, bantuan psikososial bukan sekadar layanan simpati, tetapi satu intervensi profesional yang berkesan dalam menyantuni emosi dan memulihkan kesejahteraan mental mangsa dan keluarga mangsa kemalangan.
Dengan adanya jaringan sokongan ini, kita bukan sahaja menyelamatkan mangsa, tetapi juga membantu jiwa-jiwa yang terluka untuk bangkit semula dengan lebih kuat.
* Hainany Idayu Yazid ialah Ketua Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM)
Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami