SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin kerap menjadi sasaran kritikan dalam wacana politik negara. Kritikan tersebut datang daripada beberapa pemimpin dan penyokong parti tertentu, antaranya DAP, dan sering tertumpu kepada kepimpinan tertinggi agensi tersebut.
Pada permukaannya, kritikan ini dipersembahkan sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang dalam sebuah demokrasi. Dalam sistem politik yang sihat, institusi penguatkuasaan sememangnya tidak terkecuali daripada pengawasan awam.
Advertisement
Namun dalam politik, sesuatu naratif jarang muncul secara kebetulan. Ia biasanya berkembang seiring dengan konteks politik dan perkembangan semasa yang lebih luas.
Jika dilihat secara menyeluruh, beberapa perkembangan penting dalam arena penguatkuasaan dan politik negara mungkin membantu menjelaskan mengapa isu ini semakin menonjol.
Salah satu faktor ialah perkembangan kes rasuah berkaitan projek terowong Pulau Pinang yang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Kes tersebut kini berada pada tahap akhir perbicaraan. Lim Guan Eng pula masih merupakan tokoh yang berpengaruh dalam DAP sebagai penasihat parti.
Dalam sejarah politik di banyak negara, apabila sesuatu kes berprofil tinggi menghampiri keputusan mahkamah, naratif awam sering mula memberi tumpuan kepada kredibiliti institusi yang menjalankan siasatan.
Fenomena ini bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia; ia adalah pola politik yang dapat diperhatikan dalam banyak sistem demokrasi.
Pada masa yang sama, SPRM juga sedang menjalankan beberapa operasi penguatkuasaan terhadap industri yang sebelum ini jarang disentuh secara agresif.
Antara yang paling ketara ialah operasi terhadap aktiviti haram berkaitan e-waste, scrap metal dan pelupusan sisa plastik. Industri ini diketahui mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, tetapi juga sering dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar serta aktiviti pengubahan wang haram.
Apabila tindakan penguatkuasaan mula menyentuh sektor ekonomi yang besar, ia hampir pasti memberi kesan kepada rangkaian perniagaan tertentu.
Dalam konteks politik, tidak mustahil bahawa tindakan tersebut turut menimbulkan tekanan kepada aktor politik yang mungkin mempunyai hubungan dengan jaringan ekonomi berkenaan.
Menariknya, walaupun banyak aduan penduduk mengenai kesan pencemaran daripada aktiviti ini, sokongan politik secara terbuka terhadap tindakan penguatkuasaan tersebut tidak begitu ketara.
Sejak awal pentadbiran kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, agenda reformasi institusi dan usaha memerangi rasuah telah diberi penekanan yang jelas.
Pendekatan ini diterjemahkan melalui tindakan penguatkuasaan yang semakin tegas oleh SPRM. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, siasatan telah melibatkan pelbagai pihak tanpa mengira kedudukan atau status.
Antara yang disiasat termasuk pemimpin-pemimpin politik, tokoh korporat, penjawat awam, pegawai kanan kerajaan serta individu berprofil tinggi termasuk dalam institusi pertahanan negara.
Pendekatan penguatkuasaan tanpa memilih ini secara langsung dan tidak langsung menyentuh kepentingan politik dan ekonomi yang luas.
Dalam keadaan sedemikian, tidak menghairankan jika institusi penguatkuasaan turut menjadi sasaran kritikan dalam pergelutan naratif politik. Selain itu, Pulau Pinang juga terus menjadi tumpuan beberapa isu berkaitan pembangunan hartanah bernilai tinggi.
Baru-baru ini, sekumpulan penduduk telah membuat laporan kepada SPRM berkaitan dakwaan kemungkinan berlaku salah guna kuasa atau rasuah dalam pemberian tanah bagi projek kondominium berskala besar di Bandar Gelugor.
Walaupun siasatan masih di peringkat awal dan tiada kesimpulan dibuat setakat ini, perkembangan tersebut meningkatkan sensitiviti politik kerana ia melibatkan pentadbiran negeri yang telah lama diterajui oleh DAP.
Siasatan berkaitan pembangunan hartanah lazimnya sensitif kerana melibatkan nilai ekonomi yang besar serta kepentingan korporat yang luas.
Dalam mana-mana sistem demokrasi, pembiayaan dana politik sering menjadi isu yang sensitif. Tanpa rangka kerja undang-undang yang jelas dan telus, hubungan antara dunia perniagaan dan politik mudah menimbulkan spekulasi.
Dalam beberapa siasatan yang dijalankan di Pulau Pinang, terdapat petunjuk kemungkinan wujud hubungan rapat antara rangkaian syarikat korporat tertentu dengan aktor politik tempatan.
Dalam banyak kes di seluruh dunia, pembiayaan politik jarang dinyatakan secara terbuka dalam penyata kewangan syarikat. Sebaliknya, ia boleh disalurkan melalui mekanisme kewangan yang lebih kompleks seperti tuntutan perbelanjaan palsu, penggunaan syarikat perantara, invoicing companies atau manipulasi transaksi perdagangan.
Beberapa syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian ini turut dikaitkan dengan dana yang dipercayai berasal daripada skim pelaburan haram “ponzi scheme” MBI yang dikendalikan oleh Teddy Teow. Dana tersebut didakwa telah digunakan dalam beberapa projek pembangunan hartanah bernilai tinggi di Pulau Pinang.
Tindakan agensi bersama PDRM, SPRM, LHDN dan Bank Negara telah menjejaki, menyekat dan menyita aliran wang haram bernilai berbilion ringgit dan Teddy Teow telah diekstradisi ke negara China.
Pada masa yang sama, serangan terhadap institusi seperti SPRM tidak terhad kepada satu parti atau kelompok sahaja. Kita juga melihat ahli keluarga kepada Allayarham Tun Daim Zainuddin yang berhadapan pertuduhan turut lantang mengkritik SPRM, selain individu seperti Albert Tei serta Datuk Seri Rafizi Ramli yang selepas kekalahan dalam pemilihan parti dan berdepan siasatan turut mengambil pendekatan menyerang institusi.
Corak ini menunjukkan bahawa apabila individu atau kelompok tertentu berhadapan tekanan penguatkuasaan, naratif mempertikaikan kredibiliti institusi sering dijadikan reaksi balas, sekali gus menguatkan lagi hujah bahawa sebahagian daripada serangan yang berlaku hari ini perlu dilihat dalam kerangka kepentingan dan survival politik, bukan semata-mata prinsip.
Pertarungan Persepsi Di Medan Politik
Dalam politik moden, pertarungan tidak hanya berlaku di mahkamah atau melalui proses penguatkuasaan undang-undang. Ia juga berlaku di ruang persepsi awam.
Apabila tindakan penguatkuasaan anti-rasuah menjadi semakin tegas dan mula menyentuh kepentingan ekonomi dan politik yang besar, reaksi balas hampir pasti akan berlaku.
Reaksi tersebut boleh muncul dalam pelbagai bentuk - daripada tekanan politik, kempen persepsi, sehinggalah kritikan terbuka terhadap institusi dan agensi yang menjalankan siasatan.
Dalam konteks ini, polemik yang melibatkan SPRM mungkin tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu dalaman institusi. Sebaliknya, ia juga mencerminkan pertembungan antara agenda penguatkuasaan anti-rasuah dengan kepentingan politik dan ekonomi yang terjejas.
Seperti yang sering berlaku dalam politik, pertempuran yang paling sengit bukan hanya mengenai fakta, tetapi mengenai naratif yang membentuk persepsi awam.
Dr Azmi Hassan ialah Felo Majlis Profesor Negara.
Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.