GEMPAR seorang bomoh muda tertangkap semasa sedang menjalankan amalan ritual sihir dan yang menakutkan adalah gambar-gambar wanita yang bertebaran yang menjadi mangsa sihir.

Situasi ini adalah bomoh tertangkap secara tidak sengaja akibat dari ritualnya yang menggunakan api dan bomba dihubungi untuk memadamkan api.

Hakikatnya, mungkin ada banyak lagi ritual sihir yang sebenarnya yang tidak diketahui yang merosakkan akidah umat Islam dan membuat khianat kepada mangsa.

Ia umpama isu yang tidak pernah ada jalan penyelesaian jika aktiviti pengamal ilmu hitam terus berleluasa.

Amalan ini sepatutnya dibendung daripada berterusan menjadi pilihan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sudah tiba masanya pengamal ilmu hitam didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.

Sihir menurut perundangan Islam

Sesetengah ulama berpandangan bahawa jenayah sihir adalah merupakan jenayah hudud kerana impak dari kesalahan tersebut termasuk di dalam kategori jenayah hudud.

Sebagai contoh sihir yang digunakan untuk tujuan membunuh, mencuri atau merompak merupakan kesalahan-kesalahan yang dikategorikan sebagai jenayah hudud.

Maka, ulama sepakat menyatakan bahawa pengamal sihir patut dihukum melalui hukuman qisas iaitu pembalasan semula.


Laporan Khas: Khurafat masih menghantui kita (Siri 1)

Sebahagian ulama yang lain, antaranya mazhab Imam Syafie berpendapat bahawa sihir merupakan satu kesalahan ta’zir memandangkan tiada nas-nas atau dalil yang jelas mengenai amalan sihir serta bentuk hukuman sihir dibincangkan berdasarkan sumber-sumber hukuman di bawah undang-undang Syariah.

Bagaimanapun, Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bersepakat menyatakan bahawa hukuman terhadap pengamal sihir adalah pelakunya wajib dihukum bunuh dengan cara dipenggal lehernya menggunakan pedang.

Sekiranya pendapat ini diambil kira, maka hukuman ini mempunyai persamaan dengan hukuman seorang yang murtad di bawah undang-undang Syariah yang mana hukuman bagi seorang yang murtad adalah bunuh berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhori yang bermaksud sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu semua membunuhnya.

Jika diteliti mengenai pendapat ini, dapat dilihat bahawa ulama berpendapat amalan sihir merupakan satu amalan syirik yang membawa kepada perbuatan keluar dari agama iaitu murtad.

Pendakwaan dan pembuktian

Setakat hari ini masih tiada mana-mana pendakwaan dilakukan terhadap pengamal ilmu sihir. Malahan, pembuktian dan keterangan bagi jenayah sihir juga masih di peringkat kajian kerana melibatkan keadaan yang rumit seperti tatacara siasatan dan pendakwaan yang masih belum wujud.

Hal ini memerlukan kepada penubuhan jabatan khas yang menggunakan tenaga pakar dalam bidang sihir bagi meneruskan siasatan. 

Kepakaran dalam bidang sihir adalah merupakan satu keperluan bagi memenuhi kehendak pendakwaan dan pembuktian.


Laporan Khas | Derita merindu angkara di sihir (Siri 2)

Hal ini kerana ilmu sihir adalah ilmu hitam yang melibatkan entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ini berbeza dengan pendakwaan dan pembuktian bagi kesalahan lain seperti berjudi atau minum arak yang mana pelaku dan barang-barang keterangan yang digunakan untuk melakukan jenayah seperti kertas judi dan botol arak boleh dilihat dengan mata kasar.

Malahan, keterangan saksi bahawa seseorang itu berada di premis judi dan premis arak juga boleh didapati kerana ia melibatkan penyaksian oleh saksi yang boleh melihat kejadian tersebut.

BACA: [KOLUMNIS] Sabitkah lafaz talak kerana sihir pemisah di Mahkamah Syariah?

Di dalam pembuktian amalan sihir, alatan-alatan yang digunakan seperti kain kuning, anak patung, jarum, rambut atau kuku, tulang haiwan, tanah kubur, ayam, pulut kuning, limau dan sebagainya masih boleh dilihat, tetapi menjadi satu permasalahan bagi keterangan saksi kerana sihir tidak dilakukan di tempat yang terbuka.

Apabila ianya dilakukan di tempat tertutup, maka, tiada keterangan saksi yang dapat diperolehi bagi membuktikan ritual yang dilakukan oleh pengamal ilmu sihir.

Bagaimanapun, masih terdapat alternatif lain yang wajar dicadangkan iaitu pembuktian sihir melalui keterangan pakar forensik.

Sekiranya, undang-undang mengenai pendakwaan dan pembuktian sihir dipertimbangkan, maka adalah wajar jika keterangan pakar forensik diangkat sebagai salah satu pembuktian.

Malahan, penubuhan satu jabatan khas bagi menyiasat jenayah sihir juga wajar diwujudkan di Jabatan Forensik bagi mengenalpasti perkaitan antara alatan-alatan sihir yang digunakan dan pengamalnya.

Memandangkan jenayah sihir sudah menjadi semakin serius, peruntukan undang-undang mengenai jenayah sihir patut disegerakan bagi melindungi mangsa dan mengheret pengamal ilmu sihir ke muka pengadilan.

Bidang kuasa Mahkamah terhadap pendakwaan jenayah sihir

Sekiranya merujuk kepada amalan sihir di dalam perundangan Islam, ulama lebih cenderung kepada pendapat bahawa sihir merupakan amalan syirik yang menyimpang dari ajaran agama Islam.

Dari sudut bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia, adalah jelas bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam.

Jika dirujuk kepada undang-undang sedia ada sebagai contoh Seksyen 3 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang memperuntukkan kesalahan bagi pemujaan salah, kita dapat lihat bahawa undang-undang mengenai amalan syirik sebenarnya sudah digubal namun masih terdapat kelompangan yang perlu ditambah baik.

Namun, jika amalan sihir digunakan sebagai cara untuk melakukan jenayah seperti rogol bagi memenuhi tuntutan ilmu hitamnya, maka, ia akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Begitu juga pengamal ilmu hitam yang menggunakan ilmu santau untuk membunuh, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagi sesetengah pengamal ilmu hitam menggunakan ilmu pukau dan menjampi orang tengah untuk melakukan jenayah, pelaku boleh menimbulkan pembelaan hilang akal di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan bagi mengelakkan pensabitan pertuduhan.

Di dalam kes pembunuhan kontroversi Datuk Mohamad Mazlan, Juraimi Husin yang merupakan pembantu kepada Maznah @ Mona Fandey telah menimbulkan pembelaan hilang akal apabila beliau menyatakan bahawa beliau tidak menyedari perbuatan jenayah tersebut kerana telah dijampi dan hanya kembali normal setelah Affandi menepuk bahunya semasa di balai polis.


Ritual | Cahaya api bongkar kegiatan disyaki pemujaan

Walaupun pengamal ilmu hitam menggunakan orang tengah untuk melakukan  sesuatu jenayah, ini tidak bermakna pelaku sebenar terlepas dari pendakwaan amalan sihir kerana mereka boleh didakwa bersama-sama.

Modus operandi sihir tidak pernah berhenti.

Ia adalah amalan sepanjang zaman yang merosakkan akidah orang Islam dan berlaku penganiayaan kepada manusia yang terkesan oleh perbuatan sihir. 

Mekanisme perundangan perlu menjadi satu jalan pengadilan untuk mengambil berat punca dan kesan sihir sehingga berlaku jenayah-jenayah berat.

Sudah tiba masanya undang-undang khusus sihir diwujudkan untuk menghukum sihir sebagai satu jenayah berat di Malaysia.

Nota: Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993 berkenaan Amalan Ilmu Hitam/Sihir:
  1. Perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.
  2. Pengamal sihir yang mendatangkan mudarat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum qisas/hudud.
  3. Pihak berkaitan hendaklah menyediakan peruntukan undang-undang bagi menghukum pengamal-pengamal yang sabit melakukan sihir.


* Dr Norsuhaida binti Che Musa Pensyarah Kanan dan Penyelaras Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

** Nurul Qurratul Aini binti Md Roslan Peguam Panel Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.