TAHAP kualiti jalan raya di Malaysia berada pada kedudukan ke-21 dunia pada 2022 sebagaimana didedahkan portal statistik terkenal antarabangsa, The Global Economy.

Kajian antarabangsa itu sekali gus menyangkal dakwaan beberapa pihak berkaitan infrastruktur jalan di negara ini, malah kedudukan Malaysia jelas lebih baik berbanding negara maju lain seperti Australia, United Kingdom (UK) dan New Zealand.

Bagaimanapun, kedudukan ini tidak boleh memberi tiket kepada kerajaan untuk berpeluk tubuh. Malah pelbagai usaha perlu dilakukan agar kedudukan itu boleh ditambah baik.

Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menggariskan lima inisiatif dalam menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk rakyat secara menyeluruh dan tidak terhad kepada penyelenggaraan jalan semata-mata.

Antara inisiatif itu ialah pelaksanaan projek bernilai RM10 juta ke atas secara Building Information Modelling (BIM). Selain itu, teknologi BIM dan IBS (Industrial Building System) juga turut diperluaskan bagi projek perumahan awam dan swasta melibatkan projek perbandaran Baharu (New Township Project).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hak penunggang motosikal sebagai pengguna jalan raya turut diberi keutamaan dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan mereka.

Untuk itu, KKR dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya telah merancang untuk membina dan menambah baik 119 buah 'motorcycle shelter' dengan 40 daripadanya disiapkan pada tahun 2023 dan baki 79 buah lagi pada tahun 2024.



Terdapat lima projek mega turut diberi fokus KKR dalam meningkatkan akses dan mobiliti rakyat iaitu melalui Projek Sarawal-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1; Projek Sarawal-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2; Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah; Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU dan Projek Pelebaran Lebuhraya PLUS.

Dalam pada itu, isu permukaan jalan berlubang sering mendapat rungutan pengguna jalan raya, sehinggakan ramai beranggapan ia seperti satu permasalahan yang tiada berkesudahan seolah-olah kerajaan hanya berdiam diri.

Justeru, KKR meletakkan cabaran permasalahan itu sebagai satu lagi ikrar atau pledge of result dalam mereformasikan pembangunan infrastruktur negara agar berada di tahap lebih baik.

Mungkin ramai yang masih belum tahu, tanggungjawab menyelenggara jalan bukan lah terletak di bawah bidang kuasa KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) semata-mata kerana ia terhad kepada Jalan Persekutuan sahaja melibatkan sejauh 18,117.1 kilometer (km) di seluruh negara.

Jalan-jalan negeri pula melibatkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan lain-lain jabatan.

Bagaimanapun, KKR mengambil keutamaan ‘jalan raya tanggungjawab bersama’ demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya termasuk menangani isu kerosakan.


Konsep pintu terbuka

Konsep 'pintu terbuka' untuk menerima sebarang aduan dan rungutan pengguna di bawah satu platform melalui aplikasi MYJalan dilancarkan KKR pada 24 Ogos tahun lalu.

Ia merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih, tidak kira milik siapa jalan itu.

Melalui aplikasi ini, semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun yang bukan diselenggara KKR, selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalur penambahbaikan, terutama ketika berlaku kecemasan.

Ternyata saluran itu menepati inisiatifnya apabila setakat 9 Februari lalu, KKR menerima sebanyak 11,466 aduan berkaitan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan, papan tanda, perabot jalan termasuk kemudahan awam melalui aplikasi berkenaan.

Aduan itu kemudiannya disaring dan dihantar kepada pihak berwajib yang mengendalikan laluan tersebut. Ini tentunya memudahkan pihak kerajaan negeri dan PBT dalam memantau kerosakan jalan raya di kawasan kendalian masing-masing.

Alexander berkata, daripada jumlah keseluruhan aduan itu, hanya 25.82 peratus atau 2,961 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR, manakala 74.18 peratus atau 8,505 aduan adalah milik agensi lain.

BACA: Kerosakan jalan: 'Jangan tunggu tular baru bertindak' - Alexander

BACA: 
Siri Jelajah MYJalan KKR akan dilancar, Johor jadi negeri pertama

Daripada jumlah aduan kendalian KKR itu, sebanyak 1,729 aduan diselesaikan dengan 1,627 atau 94.1 peratus selesai dalam tempoh 30 hari, manakala 1,232 aduan dalam proses tindakan.

"Kerja tampalan atau potholes atas jalan berlubang merupakan salah satu daripada Piagam Pelanggan KKR untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan profesional serta menjamin kepuasan pelanggan dalam melaksanakan tugas-tugas teras dengan memastikan tindakan menampal lubang jalan di jalan Persekutuan diambil dalam tempoh 24 jam dari potholes dilaporkan.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 5,959 bilangan potholes dilaporkan di jalan-jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia dan keseluruhan potholes tersebut ditampal dalam tempoh 24 jam menjadikan pencapaian Program Aku Janji Sifar Lubang (Zero Potholes) adalah 100 peratus," katanya.

Bagi tahun ini, peruntukan khusus bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan yang diterima oleh KKR bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM1.907 bilion.

Jumlah ini bukanlah sedikit. Justeru, perlu ada pemantauan keadaan setiap turapan jalan agar tindakan pencegahan awal dapat dilaksanakan. Tinjauan berkala perlu dibuat bagi memanjangkan jangka hayat pemulihan jalan.


Kuasa penyenggaraan jalan

Isu bidang kuasa penyenggaraan jalan juga sering 'diratib' pengguna. Dalam soal ini, peta persempadanan jaringan jalan raya perlu diselaraskan mengikut bidang kuasa pemilik jalan raya supaya tindakan dapat disegerakan.

Kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh diwujudkan terutama mereka yang amat prihatin dengan kerosakan jalan dan berlubang melalui penubuhan skuad pemantauan.

Mungkin sejumlah dana boleh disalurkan agar mereka boleh melaksanakan kerja-kerja segera tanpa menunggu pihak berkuasa yang kadang kalanya memakan masa akibat kerenah birokrasi.

Tindakan-tindakan proaktif sebegini boleh menambah baik kedudukan negara berhubung kualiti jalan di Malaysia agar kedudukan ke-21 di dunia pada 2022, menurut portal statistik terkenal antarabangsa, The Global Economy dapat ditambah baik pada tahun-tahun akan datang.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.