KUALA LUMPUR: Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan membabitkan penyelenggaraan jalan raya di negara ini dipertingkatkan melalui siri jelajah MYJalan yang akan bermula di Johor sebagai negeri pertama, tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, program jelajah berkenaan akan bermula di negeri itu selepas pihaknya menerima pelawaan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.

"Saya amat berbesar hati dengan pelawaan beliau untuk menjalinkan kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui siri jelajah MYJalan.

“Terima kasih Datuk Onn Hafiz atas sokongan ini dan pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan siri jelajah ini dalam masa terdekat dengan perinciannya akan saya kongsikan kelak,” katanya di laman Facebook pada Selasa.

Beliau pada Isnin menerima kunjungan Onn Hafiz di pejabatnya di KKR.

Mengulas lanjut, ALexander berkata program itu bermatlamat memberikan advokasi yang tepat selain aplikasi MYJalan dapat menjadi sumber data bagi pelaksanaan tindakan yang pantas merentas kementerian, negeri, agensi, PBT dan juga syarikat konsesi.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKR telah meluluskan peruntukan kira-kira RM293.7 juta bagi perlaksanaan kerja-kerja penyenggaraan jalan, cerun dan bangunan Persekutuan di seluruh negeri Johor pada tahun ini.

Beliau berkata, selain peruntukan tersebut, pihaknya turut meluluskan 11 projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) melibatkan kos sebanyak RM2.14 billion.

Beliau berkata, pelaksanaan semua inisiatif ini bertepatan dengan lima inisiatif Ikrar Tindakan KKR di bawah Kerangka Strategii Malaysia Madani (KSMM) yang dibentangkan dalam sesi permukiman Jemaah Menteri pada 18 Januari lalu.

“Usaha proaktif ini juga adalah antara yang saya tekankan dalam membawa misi program MYJalan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu," katanya.