AYAM penelur hanya dapat bertelur apabila mencapai usia 18 - 20 minggu.

Kebiasaannya seekor ayam hanya mampu menghasilkan sebiji telur dalam masa sehari (24 - 26 jam).

Secara purata, seekor ayam penelur mampu menghasilkan sebanyak 350 biji telur dalam hidupnya iaitu sehingga usianya 70 minggu sebelum ‘bersara’ (ayam pencen).

Ini bermakna kuantiti telur yang dihasilkan adalah sangat berkadar langsung dengan bilangan ayam yang dibela.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sebanyak 30 juta biji telur ayam diperlukan bagi memenuhi penggunaan telur harian di Malaysia iaitu bersamaan 930 juta biji sebulan.

Secara purata setiap rakyat Malaysia makan sebiji telur sehari.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kadar Sara Diri (SSR) bagi telur ayam/itik pada tahun 2020 adalah 113.5% yang bermaksud bekalan telur ayam adalah lebih daripada mencukupi untuk keperluan pengguna dalam negara.

Pada masa yang sama, kualiti telur ayam juga sangat bergantung kepada makanan yang dimakannya.

Kos makanan menyumbang kepada 70% daripada kos keseluruhan ternakan ayam selain daripada kos upah & ubat-ubatan.

Krisis global seperti pandemik COVID-19, perang Russia-Ukraine, peningkatan nilai Dolar Amerika (USD) menyebabkan kos bahan utama makanan ayam iaitu soya dan jagung meningkat berkali-kali & melebihi 100%.

Hal ini sekaligus mempengaruhi peningkatan kos penternakan yang secara tidak langsung memaksa penternak (terutamanya bersaiz kecik & sederhana) untuk mengecilkan operasi bagi mengelakkan kerugian.

Pada tahun 2020, Malaysia mengeksport telur berjumlah AS$127 juta, menjadikannya pengeksport terbesar ke-11 di dunia.

Menurut worldstopexports.com, pada tahun 2021 Malaysia tersenarai dalam 5 negara pengeksport terbesar telur segar dengan nilai pasaran berjumlah AS$127.4 juta (menyumbang kepada 8.1% jumlah eksport global).

Negara pengimport terbesar telur Malaysia ialah Singapura, Hong Kong, Brunei, Timor-Leste, dan Thailand.

Ekoran daripada peningkatan kos penternakan, pengecilan operasi oleh penternak dan kegiatan eksport, negara telah dihantui dengan krisis kekurangan bekalan telur bermula seawal Januari yang lepas.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam menstabilkan bekalan telur di pasaran antaranya termasuklah pemberian subsidi ayam & telur kepada penternak berjumlah RM1.233 bilion dari bulan Februari 2022 hingga September 2022.

Terkini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 6 Dis yang lepas telah mencadangkan agar telur diimport dari negara luar bagi menstabilkan bekalan dalam negara.

Cadangan mengimport telur bukanlah merupakan satu cadangan yang baharu, sebaliknya ia turut dicadangkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada Oktober yang lalu.

Malahan, hakikat sebenarnya Malaysia telah pun melakukan aktiviti mengimport bekalan telur ini sejak beberapa tahun yang lalu.

Berdasarkan rekod, pada tahun 2020, Malaysia telah mengimport sejumlah AS$1.45 juta telur ayam menjadikan negara ke 120 pengimport telur terbesar di dunia.

Antara negara pembekal terbesar termasuklah China (AS$1.13 juta), Thailand (AS$127,000), Belanda (AS$93,200), Singapura (AS$37,200), dan Australia (AS$18,900).

Pun begitu, sekali pun negara telah sedia mengimport telur ayam, HAKIKATnya cadangan untuk mengimport telur ayam bagi mengatasi krisis kekurangan bekalan dalam pasaran negara bukanlah cadangan yang terbaik untuk jangkamasa panjang, apatah lagi jika ia menjadi hujah utama sebagai langkah KETERJAMINAN MAKANAN.

Cadangan jangka pendek saya ialah kerajaan mengeluarkan arahan LARANGAN SEMENTARA eksport telur ayam sehingga bekalan kembali pulih.

Manakala cadangan jangka masa panjang pula ialah:

- Mengkaji semula mekanisme pemberian subsidi kepada penternak agar ianya mampu menampung kos penternakan yang semakin meningkat terutamanya kos makanan tetapi pada masa yang sama jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan mestilah tidak terlalu besar

- Memperhalusi cadangan untuk harga telur ayam diapungkan mengikut harga semasa tetapi mestilah tidak membebankan pengguna

- Membuat dan mempergiatkan kajian bagi mencari sumber bahan mentah alternatif tempatan yang boleh diperolehi secara mudah, meluas & murah bagi menggantikan jagung dan soya sebagai bahan makanan ayam, sekali gus mampu memberi jaminan terhadap aspek sekuriti makanan.



* Ts Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.