MALAYSIA
[KOLUMNIS] Tenaga nuklear: Ini kalilah
![[KOLUMNIS] Tenaga nuklear: Ini kalilah [KOLUMNIS] Tenaga nuklear: Ini kalilah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81754390300_tenaganuklear.jpg)
Inilah waktunya untuk kita melangkah berani ke arah masa depan tenaga negara yang lebih lestari dan berdaya tahan. - Foto hiasan/Janaan AI
BAYANGKAN satu sumber tenaga yang tidak bergantung kepada cuaca, tidak mengeluarkan asap, dan boleh beroperasi siang malam tanpa henti. Itulah tenaga nuklear dan ya, Malaysia kini serius mempertimbangkan untuk menggunakannya sebagai salah satu sumber tenaga di Malaysia.
Bila sebut “nuklear”, maka ramai akan terus terbayang bom, bencana, atau kemalangan. Tetapi realitinya, teknologi nuklear moden hari ini jauh lebih selamat dan terkawal. Kalau pembangunan loji nuklear dan operasinya dengan betul, ia boleh menjadi penyelesaian penting kepada masalah tenaga dan pencemaran yang kita hadapi sekarang.
Malaysia sebenarnya bukan baru dalam hal ini. Sejak tahun 1982, kita sudah ada reaktor penyelidikan TRIGA PUSPATI di Bangi. Tetapi, selama ini reaktor tersebut digunakan untuk kajian, latihan, dan penghasilan radioisotope, bukannya untuk menjana tenaga elektrik. Cadangan untuk membina loji tenaga nuklear pernah muncul lebih 10 tahun lalu, dimana penubuhan Malaysia Nuclear Power Cooperation menjadi organisasi utama untuk pelaksanaan Program Tenaga Nuklear tetapi dihentikan selepas perubahan pucuk pimpinan dan polisi kerajaan. Kini, apabila perubahan iklim semakin terasa, permintaan tenaga makin tinggi, dan perancangan penutupan loji arang batu, membuatkan kerajaan hari ini berfikir semula.
Kerajaan telah pun menggariskan program pembangunan tenaga nuklear agar boleh mula beroperasi menjelang tahun 2031. Ini memperlihatkan nuklear dikembalikan sebagai satu pilihan utama dalam campuran tenaga bersih Malaysia. Keputusan ini diumumkan ketika Perdana Menteri membentangkan RMK13 pada 31 Julai 2025. Program Tenaga Nuklear ini akan dilaksanakan oleh MyPower Corporation. Agensi ini akan menyelaras aspek komunikasi, kesedaran awam, pembangunan infrastruktur, penyelidikan dan latihan pakar, serta kerjasama antarabangsa mengikut garis panduan IAEA Milestone Approach.Sebelum ini juga, lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ke Rusia yang merupakan negara peneraju dunia dalam bidang tenaga nuklear menandakan detik penting dalam aspirasi tenaga negara. Ia mencerminkan semangat politik dan kerjasama antarabangsa yang kukuh dalam mencapai matlamat pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050. Misi diplomatik ini merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia benar-benar berhasrat untuk meneroka tenaga nuklear secara serius sebagai sebahagian daripada campuran tenaga masa depan. Salah satu hasil utama lawatan tersebut ialah pemeteraian perjanjian antara MyPower Corporation dan Rosatom. Ini membuka laluan kepada kerjasama masa depan dalam penggunaan teknologi nuklear secara aman. Dalam masa yang sama, Malaysia turut bekerjasama dengan mereka untuk meneroka reaktor modular kecil (SMR) dan loji nuklear terapung berkapasiti 100 MW.
Pada 10 Julai 2025, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dan Menteri Luar Malaysia, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama nuklear sivil. Laporan ini menyatakan bahawa MoU tersebut melambangkan langkah penting ke arah membina perkongsian nuklear sivil yang kukuh antara AS dan Malaysia. MoU ini akan diteruskan dengan rundingan 123 Agreement, yang diperlukan untuk sebarang pemindahan bahan atau teknologi nuklear yang signifikan dari AS ke Malaysia. Perjanjian ini akan mewujudkan kerangka undang-undang untuk kerjasama nuklear dan memastikan pematuhan kepada prinsip international non-proliferation.
Kenapa kita perlu mengambil serius soal nuklear? Sebab ia boleh menjadi penyumbang besar kepada matlamat karbon sifar negara menjelang 2050. Tenaga nuklear sangat stabil kerana ia tidak bergantung kepada matahari atau angin, dan boleh beroperasi tanpa henti selama 60 - 80 tahun. Ini penting kerana permintaan tenaga negara dijangka melonjak, terutamanya untuk sektor pusat data dan teknologi digital. Kajian menjangkakan kita memerlukan lebih 5 GW tenaga tambahan menjelang 2035. Ia satu jumlah yang sukar dicapai jika hanya bergantung kepada solar atau hidro.
Sebagai gambaran mudah, satu SMR bersaiz 300 MW boleh membekalkan tenaga kepada sekitar setengah juta isi rumah setiap tahun. Ini hampir menyamai bilangan isi rumah di negeri seperti Melaka. Walaupun ia tidak menggantikan semua loji kuasa sedia ada, SMR sangat sesuai untuk menyokong kawasan berpenduduk padat atau lokasi terpencil yang perlukan bekalan stabil. Dari segi kos, memang benar membina loji nuklear memerlukan pelaburan awal yang besar, tetapi kos operasinya adalah stabil dan rendah dalam jangka masa panjang. Uranium sebagai bahan api tidak terjejas sangat dengan turun naik harga pasaran, seperti gas dan arang batu. Ini penting untuk memastikan tarif elektrik kekal mampu milik kepada rakyat.
Kalau dibandingkan penggunaan tanah pula, tenaga nuklear jauh lebih cekap. Satu loji SMR boleh dipasang di kawasan sekecil padang bola sepak, tapi menghasilkan tenaga setara dengan ladang solar seluas beberapa kilometer persegi. Bagi negara kecil dengan tanah terhad seperti Malaysia, ini merupakan satu kelebihan besar. Dan yang paling utama, nuklear tidak mengeluarkan karbon dioksida semasa operasi. Untuk setiap 1 megawatt-jam (MWh) elektrik, loji arang batu menghasilkan hampir 1,000 kg CO₂. Loji nuklear? Hampir sifar. Kalau kita betul-betul serius mahu mencapai sasaran Net Zero menjelang 2050, pilihan seperti tenaga nuklear perlu direalisasikan bersama solar dan hidro.
Sudah tentu, bukan mudah untuk melaksanakannya. Kita memerlukan ramai tenaga pakar, bukan sekadar jurutera nuklear, tapi juga jurutera awam, pakar geologi, pakar keselamatan, perancang tapak, pakar undang-undang, dan pengawal selia. Kita juga perlu memikirkan tentang pengurusan sisa radioaktif, pelesenan, komunikasi awam dan banyak lagi. Justeru, jika kita tidak memulakan langkah pertama dan bersedia sekarang, bila lagi? Negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu dan Bangladesh sudah ada reaktor nuklear. Filipina pula sedang giat mengaktifkan semula loji lama. Vietnam pun sedang mempertimbangkan semula termasuk Indonesia. Takkan kita nak terus ketinggalan?
Menggunakan semangat PMX Anwar Ibrahim yang pernah melaungkan “Ini Kalilah”, inilah waktunya untuk kita melangkah berani ke arah masa depan tenaga negara yang lebih lestari dan berdaya tahan. “Ini kalilah” bukan sekadar slogan, tetapi seruan untuk berfikir jauh, bertindak bijak, dan percaya pada kemampuan negara sendiri.
* Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Idzat Idris merupakan Pensyarah Program Sains Nuklear, Pusat Penyelidiakan Teknologi Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami