KITA kini berada dalam minggu pertama sekatan atau ‘total lockdown’ menyeluruh yang dikuatkuasakan sejak Selasa lalu.

Meskipun ramai yang tidak bersetuju, kerajaan tiada pilihan kecuali memperkenalkan langkah yang tegas.

Saya percaya ramai yang sudah mula melihat keperluan sekatan total dilaksanakan.

Beberapa hari sebelum pengumuman perintah itu, saya baru sahaja keluar dari Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sungai Buloh selepas dirawat kerana COVID-19.

Saya dibenarkan pulang ke rumah selepas berada selama 11 hari. Satu tempoh yang cukup panjang dan memeritkan.

Ketika saya dimasukkan, cuma dua atau tiga pesakit termasuk anggota keluarga yang turut dijangkiti.

Menjelang hari saya keluar hospital, saya difahamkan wad kami ditempatkan penuh. Di luar, maklumat menunjukkan kes baharu terus meningkat dengan mendadak.

Saya dimakumkan keadaan yang sama dialami di semua hospital kerajaan yang menerima pesakit COVID-19. Satu situasi yang sukar lagi mencabar.

Ketika COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah memasuki tahun kedua, manakala rakyat  pula mengharapkan khabar baik berhubung impak buruk yang diakibatkan oleh krisis kesihatan terburuk ini, satu laporan media baru-baru ini menyebut bahawa Malaysia, yang sebelum ini pernah diiktiraf antara lima negara terbaik mengawal pandemik COVID-19, kini dijadikan sebagai contoh pengajaran oleh negara jiran dari sudut yang berbeza.

Statistik menunjukkan Malaysia telah merekodkan sekitar 300,000 kes baharu dalam masa kurang empat bulan pertama tahun ini, iaitu 2.5 kali lebih tinggi daripada keseluruhan tahun 2020 sejak virus itu melanda negara.

Sejak kes COVID-19 pertama dilaporkan di Malaysia pada 25 Januari tahun lalu, Malaysia melaporkan 533,367 sehingga 26 Mei lalu.

Tahun lalu, dalam tempoh kira-kira 11 bulan, negara melaporkan 113,010 kes positif, sehingga 31 Disember 2020.

Bagaimanapun, tahun ini, hanya dalam empat bulan pertama hingga 26 April lalu, Malaysia telah mencatatkan 282,708 kes.

Jumlah kematian harian di Malaysia juga mencecah 126 orang pada 2 Jun lalu, iaitu pada hari kedua sekatan total, jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada bulan Mei tahun ini sahaja hampir 1,000 orang telah terkorban, paling tinggi dalam satu bulan. Secara kasar jumlah kematian telah meningkat tiga kali ganda berbanding ketika PKP peringkat pertama tahun lalu.

Pada Jun 2020, kira-kira hampir setahun lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi satu berita baik bahawa Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara tebaik di dunia dalam mengawal COVID-19.

Portal Chinese Global TV Network (CGTN) bukan sahaja memuji, malah mengiktiraf Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai seorang pakar perubatan unggul dunia.

Rabu lalu, Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman mendedahkan satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan COVID-19 berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September ini berdasarkan trajektori semasa.

Anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini iaitu 3,096 setakat semalam.

Pada April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melihat kepada permintaan pelbagai pihak, telah memberi jaminan tidak akan mengenakan PKPK 3.0 secara menyeluruh di seluruh negara.

Pun begitu nampaknya keadaan tidak mengizinkan. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan lebih tegas bagi menjaga kesihatan rakyat. PKP 3.0 dikenakan di seluruh negara, tetapi tidaklah setegas PKP kali pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020.

Sehubungan dengan itu, beliau turut meminta rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown untuk menyekat peningkatan mendadak COVID-19.

Pada 23 Mei lalu, Perdana Menteri juga telah menasihati rakyat supaya mengingatkan orang lain untuk berbuat perkara sama kerana apapun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum ini, beliau menegaskan bahawa kerajaan memutuskan tidak melaksanakan total lockdown seperti PKP 1.0 ketika ini kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan, selain ketidakupayaan bangkit memulihkan kehidupan dan ekonomi.

Penutupan semua sektor ekonomi ketika PKP1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.

Keputusan terbaharu yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini perlu diterima dengan baik demi kebaikan bersama setiap rakyat.

Sebagai warga Malaysia saya pun tidak begitu gembira apabila negara lain yang cuba menggunakan negara kita sebagai contoh ‘dari sudut sebaliknya’ sedangkan Malaysia pernah dijadikan contoh baik dalam banyak keadaan dan kes pada masa-masa lalu termasuk dalam usaha memerangi COVID-19 setahun yang lalu.

Sebelum ini, Ismail memberitahu, bahawa Malaysia di bawah kepimpinan Muhyiddin merupakan salah satu negara contoh. Ia melibatkan penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan, yang mendapat pengiktirafan dunia.

Oleh itu, apa pun pandangan pihak dan negara lain, kita perlu mengambil langkah membina bagi mengelak keadaan lebih parah.

Anggap kenyataan negara lain sebagai panduan untuk kita kembali menjadi negara contoh dalam memerangi pandemik COVID-19. Rakyat perlu melakukan pengorbanan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Rakyat tidak kira umur dan taraf ekonomi perlu melipatgandakan usaha bagi meratakan kembali kadar jangkitan daripada empat digit yang disaksikan pada hari ini.

Jangan beri ruang untuk gelombang keempat. Kita tidak boleh selesa dengan penurunan sementara, sebaliknya kekal berganding untuk melihat satu persekitaran positif kekal sepanjang masa.

Satu trend yang dapat dilihat sejak setahun lalu adalah rakyat kita dengan cepat gembira dengan pencapaian singkat dan selesa dengan kemajuan singkat, dan lupa untuk mengamalkan pematuhan berdisiplin sepanjang masa.

Oleh itu, sudah tiba masa untuk kita sama-sama mengutamakan gaya hidup mematuhi peraturan dan SOP sepanjang masa.

Senantiasa mengutamakan kebaikan kesihatan jangka panjang. Kepatuhan SOP dengan ketat akan mengurangkan peningkatan secara mendadak kes-kes baharu.

Orang ramai perlu kekal dalam pola tingkah laku lebih terdorong untuk mencegah penularan. Jika ini dilakukan kita boleh melihat perubahan konsisten bersifat jangka panjang.

Berdasarkan pengalaman sepanjang 15 bulan yang lalu, ada perkara yang boleh dan wajar dijadikan pengajaran dalam menghadapi hari-hari yang mencabar. COVID-19 sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan kita dan seluruh dunia. Meskipun vaksin melawan COVID-19 sudah tiba, tetapi disiplin dan komitmen rakyat semua lapisan, tidak kira kedudukan, kuasa dan taraf, yang akan menjadi penentu sama ada kita benar-benar berjaya atau tidak dalam perang ini.

Hakikatnya, kita belum bebas daripada pandemik ini. Kita belum berjaya menundukkan COVID-19 yang muncul dalam pelbagai varian sekarang. Sama-samalah kita memperlihatkan semangat berkorban dalam misi keluar daripada pandemik COVID-19 dan merasai kembali kehidupan normal.

Semua orang menanti sinar baharu. Tidak kira orang perseorangan, ahli politik, pemimpin korporat ataupun kerajaan, semua mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam misi ini.

Amalan sekatan pergerakan kendiri bukan sesuatu yang luar biasa atau sukar untuk dilakukan. Beberapa negara telah menggalakkan rakyatnya berbuat demikian.

Malah, negara-negara tertentu yang sudah pun mengorak langkah ke arah itu demi kesihatan dan kepentingan bersama. Ini termasuklah di Taiwan.

Jangkitan COVID-19 dikatakan akan kekal dalam ekosistem kehidupan kita buat selama-lamanya, sebagaimana penyakit-penyakit lain yang dihadapi oleh manusia pada hari ini.

Formula untuk menghindari mangsa jangkitan atau menghidap penyakit-penyakit serius masih sama. Kita perlu mengambil tindakan awal untuk mengelak jangkitan dan dijangkiti.

Oleh itu, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, “adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat” dan “menerima hakikat ini masalah bersama, pendekatan kita bukan ‘whole of government, it is whole of society’.”


* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota (MAC) Asia Pasifik.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.