SDEC 2025: Malaysia sedia tawan dunia Deep Tech, galas peranan dalam revolusi AI

Pembentangan oleh Ck Tseng dengan tema AI x Semiconductor: Blitzscaling Malaysia’s Deep Tech sempena SDEC 2025 di Kuala Lumpur. - Foto Sidec
KUALA LUMPUR: Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) 2025 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membuka tirai pada Selasa di Grand Hyatt Kuala Lumpur sekali gus menandakan detik penting dalam usaha Malaysia menjadi negara berasaskan reka bentuk dan inovasi teknologi.
Ringkasan AI
- Konvensyen Selangor Smart City & Digital Economy (SDEC) 2025 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membuka tirai pada Selasa di Grand Hyatt Kuala Lumpur sekali gus menandakan detik penting dalam usaha Malaysia menjadi negara berasaskan reka bentuk dan inovasi teknologi.Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong serta pimpinan industri termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping.Mengangkat tema -AI Semiconductor: Blitzscaling Malaysias Deep Tech,- konvensyen yang bakal berlangsung selama empat hari ini menghimpunkan dua sidang kemuncak utama iaitu Semiconductor Innovation dan AI Innovation Summit diikuti Malaysia Semiconductor Recruitment Day dan Selangor Twin Accelerator Programme.
Antara tumpuan utama ialah pengumuman pengembangan Synopsys di Malaysia melalui Intelligent Circuit Engineering Sdn Bhd yang bakal memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) semikonduktor negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada jurutera tempatan.

Majlis pelancaran rasmi Selangor Smart City & Digital Economy Convention (SDEC) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (lima, kiri). - Foto Sidec
SDEC turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Oppstar Berhad dan AsicAI Co. melalui subsidiari AIRIS Labs Sdn Bhd, bagi membangunkan cip AI-RAN berasaskan Arm yang juga merupakan satu langkah berani ke arah ekosistem teknologi mendalam (deep tech) kompetitif di peringkat global.
Presiden Arm ASEAN, CK Tseng, berkata kerjasama dengan kerajaan dan Sidec penting untuk membina pusat teknologi yang mampan di Malaysia.
“Kami bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan Sidec untuk memperluaskan pengetahuan reka bentuk cip kepada orang ramai. Matlamatnya ialah membina ekosistem yang benar-benar memahami asas pembangunan teknologi tempatan.
“Kerjasama ini juga bagi memberi kebenaran dalam konteks token CSS untuk syarikat pemula dan pelabur dari luar negara untuk mereka membina atau menambah baik pusat data mereka di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pendekatan ini juga diperluas ke negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor bagi menarik minat pelajar serta menggalakkan pembelajaran industri di peringkat nasional.
“Untuk membina kompleks SOC, kita perlukan kolaborasi pelbagai pihak.
“Kerjasama global amat penting, ini termasuk dari Amerika Syarikat, Eropah dan Taiwan.
“Apa yang penting ialah memberi peluang kepada syarikat tempatan kerana kami lihat potensi besar di Malaysia walaupun ia memerlukan masa dan proses pembelajaran lebih mendalam,” ujar beliau.

Sesi panel membincangkan masa depan industri semikonduktor dan potensi Malaysia sebagai hab serantau dalam teknologi mendalam (deep tech). - Foto Sidec
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping, menegaskan bahawa SDEC bukan sekadar konvensyen teknologi, sebaliknya jambatan masa depan negara.
“SDEC 2025 ialah jambatan Malaysia ke dunia teknologi mendalam.
“Dengan menyatukan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, kita sedang membentuk dekad baharu yang lebih berinovasi dihasilkan khas di Malaysia,” ujarnya.
Sebagai penaja utama, AFFIN Group menegaskan komitmen menyokong pertumbuhan ekonomi digital dengan menyediakan pembiayaan untuk perusahaan berasaskan inovasi dan teknologi.

Para hadirin yang membanjiri SDEC 2025 merakam intipati penting majlis. - Foto Sidec
Menandakan ulang tahun ke-10 penganjuran, SDEC 2025 terus menjadi platform terbesar rantau ini yang menghubungkan inovasi, industri dan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab digital dan teknologi utama Asia Tenggara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami