KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan untuk mengkaji semula tangga gaji penjawat awam khususnya di peringkat rendah dilihat sebagai satu langkah yang baik, sekali gus memberi kesan positif kepada pekerja sektor swasta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan berkata ini kerana pihak swasta akan melihat kesungguhan dan keazaman kerajaan bagi perkara melibatkan kakitangan awam terlebih dahulu sebelum mengambil langkah sama untuk dilaksanakan di organisasi mereka.

"Sejak kebelakangan ini, kita dibangkitkan dengan isu gaji minumum dan selalunya di pihak swasta majikan mengatakan kerajaan perlu bermula dahulu (pelaksanaan) gaji minimum.

"Saya yakin jika kerajaan bersedia untuk mengkaji tangga gaji kakitangan awam dan meletakkan gaji minimum di peringkat awam, akhirnya pihak swasta juga akan mengambil langkah yang sama," katanya kepada Bernama TV ketika dihubungi di sini semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pekerja 2023 pada Isnin menyatakan sudah sampai masanya penilaian dan kajian semula dibuat terhadap gaji penjawat awam yang tidak memuaskan khususnya di peringkat rendah.

Dalam pada itu, Mohammad Rizan berkata golongan pekerja perlu melihat kepentingan 'upskilling' (peningkatan kemahiran) dan 'reskilling' (latihan semula), selain membudayakan pembelajaran sepanjang hayat agar elemen produktiviti menjadi satu gaya hidup dan budaya serta mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan juga telah menyediakan banyak inisiatif dan insentif untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, namun ia perlu lebih jelas dan bersasar agar golongan pekerja memahami peluang yang tersedia untuk mereka.

Sementara itu, seorang pembantu makmal sekolah, Siti Aminah Hussein, 30, ketika dihubungi Bernama berharap komitmen kerajaan itu dapat memberi khabar gembira kepada penjawat awam terutamanya pekerja peringkat rendah sepertinya.

"Memang wajar sekiranya pihak kerajaan ingin mengkaji semula kerana ramai siswazah terpaksa menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon pekerjaan di sektor awam walhal mereka mempunyai kelulusan yang lebih tinggi.

"Kesannya mereka ini terpaksa menjalani pekerjaan dengan taraf SPM yang gajinya sangat sedikit manakala bagi kenaikan pangkat, ia mengambil masa kira-kira 13 tahun untuk jawatan seperti saya," katanya yang merupakan penjawat awam Gred C19 selama tiga tahun.

Siti Aminah berkata pihak kerajaan boleh meneliti semula skim gaji sedia ada kerana skim berkenaan tidak setanding dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

"Contohnya, kadar gaji jawatan saya Gred C19 ini masa mula-mula RM1,357 kalau campur imbuhan semua RM2,222 tolak tinggal dalam RM1,900. Selepas itu ada kenaikan RM100 setiap tahun dan sekiranya naik pangkat ada penambahan RM15 dan jumlah kenaikan setiap tahun RM115," katanya.

-- BERNAMA