Komuter Kulai-Johor Bahru beroperasi suku pertama 2026 - Loke

Tunku Mahkota Ismail berkenan mencemar duli merasmikan landasan rel berkembar itu di Stesen Kempas Baru, Johor Bahru yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Perkhidmatan tren komuter khusus bagi laluan Kulai-Johor Bahru dijangka mula beroperasi pada suku pertama tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan itu akan memanfaatkan set tren dan gerabak sedia ada yang sebelum ini digunakan bagi tren shuttle Gemas-Johor Bahru.
“Kita mahu memperkenalkan komuter khas untuk laluan Kulai ke Johor Bahru selain perkhidmatan ETS. Sementara menunggu set tren baharu tiba, kita akan mengoptimumkan penggunaan gerabak yang ada.
“Koc yang beroperasi antara Gemas dan Johor Bahru akan disusun semula untuk memenuhi keperluan laluan komuter Kulai-Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen KTMB Kempas, di sini, pada Khamis.
Majlis itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang turut diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jelas Loke, pelaksanaan sistem berkenaan dijangka didahului sebelum projek RTS Link, bagi menampung lonjakan besar kemasukan pengembara ke Johor.
Menurut Loke, pengenalan komuter di laluan tersebut akan meningkatkan kekerapan perjalanan berikutan tempoh perjalanan yang hanya sekitar 20 minit.
Jelasnya, jadual baharu yang sedang disusun merangkumi 16 perjalanan harian menuju Johor Bahru dan 16 perjalanan lagi ke Kulai, sekali gus menawarkan kekerapan tren hampir setiap 30 minit.
Langkah itu katanya, bakal menggalakkan penduduk Kulai dan kawasan sepanjang laluan beralih kepada pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Sementara itu, Loke turut memaklumkan, Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur akan ditambah dua trip perjalanan lagi bermula Januari ini.
Katanya, perkhidmatan yang bermula esok itu menawarkan dua trip pergi dan balik dalam tempoh beberapa minggu ini.
"Dua trip perjalanan sedia ada ini balik dan turun (dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur), satu pada sebelah pagi, satu pada sebelah petang, namun menjelang Januari akan ditambah lagi. Dua trip perjalanan baharu yang akan menjadikan semuanya empat trip perjalanan sehari. Oleh itu, kita berharap perkhidmatan ini akan menjadi optimum menjelang Februari ataupun Mac.
"Trip perjalanan baharu ini sempat untuk musim Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, cadangan sudah memang ada," ujarnya.
Mengulas mengenai projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Johor, Anthony Loke berkata, kelulusan projek itu sedang dimuktamadkan dan keputusan dijangka diumum dalam tempoh terdekat.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Onn Hafiz turut mengadakan perbincangan. Masih ada beberapa perincian teknikal yang perlu dimuktamadkan. Kita akan selesaikan secepat mungkin dan saya yakin keputusan akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Kerajaan Johor sebelum ini meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan pelaksanaan ART selewat-lewatnya awal tahun depan.
Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan kebimbangan terhadap potensi kesesakan lalu lintas apabila RTS Link Johor Bahru–Singapura beroperasi kelak, sementara projek ART masih belum dilaksanakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


