GEORGE TOWN: Tindakan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah sewa di Bukit Tengah dan sebuah unit kondominium di Gelugor, di sini sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar selepas di serbu polis.

Dalam serbuan di dua lokasi pada Ahad lepas, sepasang warga asing diberkas polis bersama 19 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM671,000.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek disyaki ahli sindiket berusia 56 tahun dan 31 tahun sudah lama berada di negara ini dan aktif mengedar dadah.

Menurut Fisol, siasatan mendapati suspek wanita menyewa kondominium pada harga RM1,200 sebulan sebagai tempat simpanan dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Serbuan telah dibuat di rumah terus di Seberang Perai Tengah dan satu lagi di kondominium di Gelugor dan kita berjaya merampas 45.4 gram (dadah)… untuk makluman, kedua-dua tangkapan syaki ada terlibat dengan sindiket,” kata Fisol dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Khamis.

Susulan penangkapan dua warga asing berkenaan, polis, kata Fisol, turut menahan 10 lagi suspek di Lembah Klang iaitu tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia 27 hingga 65 tahun.

Mereka terdiri daripada seorang ketua, tujuh ahli sindiket dan dua pembekal dadah di Lembah Klang.

Kata beliau, suspek aktif melakukan jenayah tersebut sejak Ogos tahun lalu dengan memperoleh bekalan dari kawasan Lembah Klang.

“Kita percaya mereka adalah ahli sindiket dan kita percaya sindiket ini sudah lama sejak lebih kurang satu ke dua tahun,” ujar Fisol lagi.

Fisol berkata, polis turut merampas 18.58 kilogram disyaki syabu bernilai RM668,772 bersama 12 gram (g) pil erimin 5 .

Turut dirampas 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger, 56 liter cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

Menurut Fisol, suspek lelaki yang positif syabu dan wanita yang didapati negatif dalam ujian saringan air kencing itu direman selama seminggu sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.