Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang bermula sejak awal 2018 tidak memberikan impak yang besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS pada 2019 ialah sebanyak RM164.45 bilion, berkembang pada kadar 5.6 peratus berbanding 2018, manakala nilai eksport Malaysia ke AS berjumlah RM95.78 bilion iaitu kenaikan 5.5 peratus dan import pula bernilai RM68.67 bilion, meningkat 5.7 peratus

Sementara itu jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada RM315.20 bilion pada 2019, manakala eksport Malaysia ke China pada tempoh yang sama bernilai RM139.61 bilion peningkatan 0.3 peratus dan import bernilai RM175.59 bilion, meningkat 0.1 peratus.

"Namun begitu, prestasi perdagangan Malaysia menunjukkan sedikit kemorosotan bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan sebanyak tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019.

"Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik COVID-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.

Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan pandemik tersebut.

"Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit," katanya.

Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan COVID-19 yang masih berterusan, MITI menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.

Antaranya, dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa meskipun dalam situasi mencabar ini.

Memanfaatkan penggunaan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeli berpotensi dengan syarikat pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan telah diadakan iaitu 395 pembeli asing telah dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan sejumlah RM461.35 juta.

Selain itu, menerusi satu tinjauan yang dilakukan, MATRADE telah memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANA yang diumumkan.

MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, seiring dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban kewangan yang dialami syarikat pengeksport Malaysia dalam menghadapi COVID-19.

"Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat telah diproses dengan geran sebanyak RM14.56 juta telah disalurkan," kata kementerian itu.

Menurut MITI, MATRADE juga akan mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu satu platform khidmat nasihat perdagangan bagi membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkan operasi dan perancangan eksport syarikat Malaysia.

Sebagai permulaan, MATRADE dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Electrical and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagi syarikat elektrikal dan elektronik.

-- BERNAMA