KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan bahawa kos menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M kekal pada kadar RM33,300, meskipun konflik di Asia Barat ketika ini masih tidak menentu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, keputusan mengekalkan kadar tersebut dibuat bagi memastikan bakal jemaah tidak terbeban dengan peningkatan kos semasa, khususnya melibatkan harga minyak dan kos penerbangan.
Advertisement
Menurut beliau, pihak TH telah mengambil kira kenaikan harga minyak dalam perjanjian sedia ada bersama pihak berkaitan, termasuk sebarang perubahan yang boleh memberi kesan kepada kos penerbangan.
"Untuk makluman, TH yakin kos haji tidak akan meningkat bagi tahun ini kerana kita telah mengambil kira peningkatan harga minyak dalam perjanjian sedia ada. Perjanjian tersebut telah pun mengambil kira sebarang perubahan harga minyak yang boleh memberi kesan kepada kos penerbangan.
"Perkara ini telah diambil kira dan kami ingin memaklumkan bahawa kos haji tahun ini kekal RM33,300. TH akan menyerap sebarang kenaikan kos," katanya dalam sidang media pengumuman agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2025, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan semakan semula kos haji pada masa hadapan sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan memberi kesan ketara kepada harga minyak global.
"Jika konflik ini berterusan dalam jangka masa panjang dan memberi kesan kepada harga minyak, kos haji pada masa hadapan mungkin akan disemak semula. Ia bergantung kepada tempoh konflik tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain memaklumkan perjanjian bersama dua syarikat penerbangan iaitu Saudia Airlines dan Malaysia Airlines telah dimuktamadkan untuk tempoh tiga tahun.
Menurutnya lagi, perjanjian itu turut mengambil kira faktor kenaikan harga minyak, di mana pelarasan kos hanya akan berlaku sekiranya harga minyak melepasi paras ambang AS$90 setong.
"Maksud saya, harga minyak sudah pun mencecah AS$90. Kita tidak tahu sejauh mana lagi ia akan meningkat. Namun, kita mampu menyerap kenaikan tersebut dan tidak akan memindahkannya kepada jemaah pada tahun ini.
"Jadi, bagi para jemaah, mereka dijamin tidak akan berlaku sebarang gangguan atau perubahan terhadap kos yang telah diumumkan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkataTH telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji serta memantau perkembangan semasa berkaitan kos dan operasi haji, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan situasi global ketika ini.
Ujarnya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi TH dan berperanan memastikan segala perancangan serta tindakan dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
"Apa yang lebih penting, TH sudah membuat persiapan yang rapi dan komprehensif melalui perbincangan dari semasa ke semasa.
"Selain itu, TH turut memantau serta menerima maklumat daripada Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia, termasuk mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan.
"Insya-Allah, TH mempunyai pasukan yang bersedia untuk menghadapi sebarang isu yang timbul," katanya.