KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk memastikan bekalan petrol dan tenaga kekal stabil meskipun beberapa negara lain mula berdepan kekecohan mengenai bekalan bahan api susulan pergolakan pasaran minyak global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasir, dalam perkongsian di media sosial berkata pihaknya telah memanggil wakil PETRONAS, Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Wisma Putra, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi semasa.
Advertisement
“Buat masa ini, tiada petunjuk mengenai sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga domestik negara. Maknanya, bekalan minyak untuk kegunaan semua peringkat, industri mahupun kenderaan, adalah cukup,” katanya.
Menurut Akmal, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberi kelebihan semula jadi kepada ekonomi negara, sekali gus bertindak sebagai benteng daripada kejutan mendadak sekiranya berlaku gangguan bekalan atau kenaikan harga minyak dunia.
“Secara tidak langsung, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding banyak negara lain untuk menyerap impak tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berwaspada terhadap perkembangan global susulan ketidaktentuan pasaran minyak yang dipengaruhi faktor geopolitik.
Harga minyak mentah dunia, katanya, dipantau pada setiap jam bagi memastikan sebarang perubahan dapat ditangani segera.
“Keutamaan segera kita adalah mengekalkan kestabilan ekonomi, mengekalkan keyakinan pelabur dan melindungi kesejahteraan rakyat serta perniagaan kecil,” kata Akmal.