KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran meningkatkan model koperasi pertanian untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan dalam negara.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, Prof. Madya Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah berkata tindakan itu boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan tanah-tanah pertanian kecil dan terpisah di seluruh negara.
Advertisement
"Apabila kita lihat ramai petani yang beroperasi dalam skala yang lebih kecil, menyebabkan kos tinggi dan kecekapan produktiviti rendah.
“Jadi, kerajaan boleh tingkatkan model koperasi pada skala lebih besar dan perlu aktifkan tanah-tanah pertanian yang terbiar terutamanya tanah wakaf pertanian yang boleh dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tambah Fazleen, kerajaan juga perlu memberi memperkemas rantaian bekalan makanan dengan memastikan orang tengah dalam rantaian tersebut tidak menyebabkan sebarang peningkatan melampau.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Pengurusan Pengetahuan IRIS Institute, Muhammad Wafiq Azman pula mencadangkan tawaran perdagangan di negara-negara ASEAN ditingkatkan sebagai tawaran kepada syarikat-syarikat yang mahu menjalan perniagaan di rantau yang stabil.
"Kita cuba upayakan negara-negara asia tenggara untuk jadi satu penampan ekonomi yang kukuh dan tumpuan dunia. Syarikat-syarikat global mencari alternatif pasaran yang boleh kurangkan gangguan bekalan yang dihadapi dengan melihat kepada asia tenggara.
“Maknanya ada peluang (untuk kita) di situ. Kita letakkan negara, secara naratifnya, sebagai stabil. Mungkin ini antara faktor yang menyebabkan kita bergantung kepada perdagangan dunia.
“Tetapi nilai kestabilan itu menjadi satu tonggak kepada negara kita untuk jadi faktor penyumbang kepada syarikat-syarikat multinasional melabur dalam negara,” ujarnya.
Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran sejak 28 Februari lalu telah menyebabkan Iran mengambil tindakan menutup laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Tindakan tersebut telah meningkatkan harga minyak dunia, seterusnya mencetuskan kesan rantaian kepada harga barangan pengguna.
Selat Hormuz merupakan laluan air yang penting secara strategik yang terletak di pintu masuk Teluk Parsi. Koridor pengangkutan itu menghubungkan pengeluaran minyak dan gas asli cecair (LNG) Asia Barat ke pasaran global melalui Laut Arab dan Lautan Hindi.
Laluan itu mengendalikan penghantaran kira-kira 20 juta tong minyak dan produk petroleum sehari, selain menyumbang sekitar satu pertiga daripada keseluruhan minyak mentah yang diangkut melalui laut.
Situasi ini telah menyebkan harga minyak mentah global naik melepasi USD100 setong. Setakat Khamis, minyak mentah Brent didagangkan pada USD114 setong, berbanding kira-kira USD72 setong pada 27 Februari.
Dialog Tiga Penjuru: Mengapa dunia harus menekan AS hentikan segera perang?