KUALA LUMPUR: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia hari ini menyerahkan nota bantahan serta tuntutan berhubung konflik di Gaza kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain di ibu negara.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata nota itu antara lain menuntut kerajaan AS, Britain dan EU menyokong gencatan senjata dengan kadar segera serta berkekalan selain menghentikan semua bantuan ketenteraan secara langsung dan tidak langsung kepada pihak Israel.

"Kami mendesak kerajaan AS bertindak dengan tanggungjawab dan adil dalam menangani konflik berterusan antara Israel dan Palestin, khususnya menuntut pertanggungjawaban pihak Israel terhadap jenayah mereka dan tidak berpaling daripada kekejaman yang berterusan ini.

"Kerajaan AS juga digesa untuk menyokong gencatan senjata yang berkekalan dan segera, akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, pembebasan tawanan termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak yang kini ditahan dalam penjara Israel tanpa perlindungan undang-undang dan menamatkan semua jenayah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan nota itu bersama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pegawai Kedutaan AS Kaunselor Politik Amerika Syarikat Christopher Carver di Kedutaan AS di sini hari ini.

Syed Ibrahim berkata nota itu ditandatangani oleh 38 Ahli Parlimen, 30 NGO dan aktivis politik serta akan diteruskan oleh Ahli Parlimen lain yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian kali ini.

Beliau juga berkata terdapat beberapa laporan bahawa warga Britain mungkin menyertai ketenteraan Israel di Gaza, justeru perkara itu telah dibangkitkan dalam nota bantahan kepada kerajaan Britain.

"Saya juga telah timbulkan berkenaan adanya penjualan senjata, memberi nasihat ketenteraan, sokongan logistik dan military surveillance flights di atas (ruang) angkasa Israel dan juga Gaza.

"Ini disebutkan sebagai tindakan atau bantuan daripada pihak Britain untuk membantu memberi risikan kepada Israel," katanya pada sidang media selepas menyerahkan nota bantahan kepada Kaunselor Politik (Dalaman) Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Tom Shepherd di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain di sini.

Beliau berkata pihaknya akan menunggu jawapan berhubung isu yang telah dibangkitkan.

Nota bantahan turut diserahkan kepada Duta Besar Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas di pejabatnya di sini.

Menurut laporan media antarabangsa, sejak tercetusnya konflik pada 7 Okt lepas hingga kini, sekurang-kurangnya 17,177 penduduk Palestin termasuk 7,112 kanak-kanak terbunuh manakala 46,000 lagi cedera.

-- BERNAMA