NATIONAL
Konflik hidupan liar: Nik Nazmi seru kerjasama kerajaan negeri-Pusat

Nik Nazmi berkata, pemeliharaan habitat gajah dan jaminan pergerakan selamat merentasi kawasan hutan memerlukan pembangunan koridor ekologi dan kawasan perlindungan khas. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Usaha menyelesaikan konflik antara manusia dan gajah di Malaysia secara berkesan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Hal ini kerana habitat utama hidupan liar terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, beliau berkata, pemeliharaan habitat gajah dan jaminan pergerakan selamat merentasi kawasan hutan memerlukan pembangunan koridor ekologi dan kawasan perlindungan khas.
Justeru, kata beliau, langkah itu memerlukan perancangan guna tanah yang terkoordinasi melibatkan semua peringkat kerajaan dan pihak berkepentingan.“Kematian seekor anak gajah ini telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia.
“Ia bukan sekadar satu kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam khususnya dalam usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah-pisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi,” kata Nik Nazmi.
Beliau turut menegaskan, pemuliharaan gajah tidak boleh bergantung semata-mata kepada sokongan kewangan dan teknikal.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menyeru pemilik ladang, komuniti setempat, pengguna jalan raya dan pelaksana projek agar memainkan peranan aktif dalam memelihara keseimbangan ekologi negara.
Kematian seekor anak gajah akibat dilanggar sebuah lori 10 tan yang membawa muatan ayam di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) berhampiran sempadan Gerik, Perak – Jeli, Kelantan pada 11 Mei telah mencetuskan kesedihan mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk reaksi menyayat hati ibu gajah berkenaan.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.41 pagi dan telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Gerik oleh Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
Nik Nazmi berkata, lebuh raya tersebut merentasi habitat kritikal gajah yang menghubungkan kompleks hutan utama di Perak dan Kelantan, dan kawasan ini dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi untuk konflik manusia-hidupan liar.
Menurut Perhilitan, sebanyak 4,919 laporan konflik manusia-gajah telah direkodkan antara tahun 2020 hingga 2024, dengan jumlah kerugian harta benda dianggarkan mencecah RM39.4 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami