KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik yang kian menggusarkan di Asia Barat boleh menyebabkan penumpang udara dari rantau itu terjejas sekali gus mampu mengurangkan pendapatan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) sehingga 26%.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, unjuran pengurangan 26% pendapatan Malaysia Airports bagi setahun penuh 2024 berdasarkan senario terburuk dengan penumpang dari Asia Barat terhenti sama sekali akibat konflik yang berlaku.

Firma itu yang menganalisis kesan ketegangan di Asia Barat kepada sektor penerbangan Malaysia berkata, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat juga memberi risiko kepada harga sasaran (TP) sesaham Malaysia Airports dengan dipotong 26% menjadi RM6.61. 

"Sebagai pengendali lapangan terbang, sudah pasti Malaysia Airports tidak perlu takut dengan harga bahan api pesawat yang lebih tinggi. 

"Walau bagaimanapun, kami bimbang jumlah trafik ke dan dari Asia Barat akan memberi kesan kepada operasi Malaysia Airports di Malaysia dan Turki," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.  

Jelas Maybank IB, unjuran ini dibuat berdasarkan statistik 2019 kerana Malaysia Airports belum mengeluarkan statistik lapangan terbang 2023 yang memperincikan jumlah trafik dari wilayah Asia Barat. 

"Meneliti statistik lapangan terbang 2019 (prapandemik), trafik penumpang ke dan dari Asia Barat menyumbang 7% daripada trafik penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 28% daripada trafik penumpang antarabangsa di Istanbul Sabiha Gokcen (Rajah 1). 

"Di bawah senario terburuk di mana semua trafik penumpang dari Asia Barat berhenti, kami menganggarkan bahawa pendapatan Malaysia Airports akan dipotong sebanyak 26% pada asas setahun penuh dan DCF-TP kami akan dipotong kepada MYR6.61 (-26%)," jelasnya.  

Sementara itu, kata Maybank, kebimbangan utama mereka kepada Capital A dan AirAsia X ialah harga minyak pesawat yang tinggi susulan konflik Asia Barat. 

"Kami menganggarkan setiap kenaikan AS$1 setong bagi harga bahan api jet akan meningkatkan/merendahkan anggaran kerugian/keuntungan bersih teras sebanyak RM50 juta (Capital A) dan mengurangkan SOP-TP (harga sasaran) kami sebanyak 3 sen sesaham," katanya. 

Bagi AirAsia X, setiap kenaikan AS$1 setong bagi harga bahan api jet diunjur akan mengurangkan untung bersih sebanyak RM14 juta. 

Kata firma itu, ketika ini harga bahan api pesawat masih dalam unjuran sebanyak AS$105/setong. 

"Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa Capital A (AirAsia) boleh 'memindahkan' kos bahan api yang lebih tinggi kepada penumpang memandangkan MYAirline telah menggantung operasi pada Oktober 2023.

"Setakat ini, AirAsia Malaysia yang menyumbang lebih 80% kepada pendapatan kumpulan telah dapat mengenakan tambang yang lebih tinggi tanpa menjejaskan faktor muatan," ujarnya.- Dagang News