MALAYSIA
Konflik Thailand-Kemboja: Jerman, Perancis, Suruhanjaya Eropah puji peranan Anwar

Anwar (tengah) dipuji Jerman, Perancis dan Suruhanjaya Eropah atas peranan penting beliau dalam memudahkan perjanjian gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Jerman, Perancis, dan Suruhanjaya Eropah (EC) memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranannya dalam memudahkan perjanjian gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji oleh Jerman, Perancis dan Suruhanjaya Eropah atas peranan penting beliau dalam memudahkan perjanjian gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja.
- Gencatan senjata diumumkan selepas mesyuarat khas di Putrajaya dan disambut baik sebagai langkah penting ke arah keamanan serantau, dengan sokongan penuh daripada negara-negara Eropah dan ASEAN.
- Malaysia dilihat sebagai pemimpin diplomatik serantau yang berkesan, dengan komitmen untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dan menyumbang kepada kestabilan Asia Tenggara.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan rakan penting bagi Jerman di rantau ini, baik secara dua hala mahu pun melalui ASEAN, dan kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi.
Terdahulu pada Isnin, Anwar dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya.
Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur turut mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata itu dan memuji peranan Malaysia sebagai tuan rumah rundingan.
“Perancis menyambut baik pengumuman gencatan senjata yang berkuat kuasa pada malam Isnin serta penyambungan semula dialog di antara Kemboja dan Thailand susulan pertemuan antara Perdana Menteri kedua-dua negara yang berlangsung di Malaysia pada 28 Julai,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menekankan bahawa gencatan senjata perlu dilaksanakan secara berkesan dan menjadi asas kepada penyelesaian berkekalan melalui kaedah aman, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Perancis mengulangi kesediaannya untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa, khususnya yang diketuai oleh ASEAN,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Presiden EC, Kaja Kallas, menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai "kejayaan besar" selepas beberapa hari pertempuran berdarah.
“Adalah penting kedua-dua negara melaksanakan perjanjian ini dengan penuh keikhlasan.
"Saya berterima kasih kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kerana membantu memudahkan proses rundingan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.
Gencatan senjata ini menandakan kemajuan penting dalam diplomasi serantau, dengan Malaysia memainkan peranan utama dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami