Amanat Tun Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu menjangkau isu politik, ekonomi, dan sosial orang Melayu itu sendiri.

Penganalisis Politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, ia berkisar kepada sikap dan pemikiran orang Melayu itu sendiri seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya kali ini.

"Ă„manat beliau lebih merujuk kepada orang Melayu harus berubah, mempunyai sikap yang lebih baik dan sikap ingin maju dalam pelbagai bidang.

"Beliau memberi jaminan bahawa sebagai seorang yang berada dalam kerajaan dan sebagai kerajaan Malaysia bahawa kepentingan orang Melayu itu sentiasa terjaga, sentiasa diambil berat dan sentiasa merupakan satu yang menjadi bidang utama kerajaan.

"Tetapi beliau pada masa sama melontarkan cabaran kepada orang Melayu untuk bekerja lebih keras untuk memastikan bahawa maruah orang Melayu itu sendiri dipelihara, dijaga dan dipertahankan oleh orang Melayu itu sendiri tanpa mengharapkan sokongan daripada orang lain," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

BACA: Perpecahan orang Melayu menyebabkan mereka dipandang rendah bangsa lain - Tun Mahathir

BACA:
Gemersik alunan Siti Nurhaliza pukau peserta Kongres Maruah Melayu

Dr Hamidin mengulas amanat Dr Mahathir di Kongres Maruah Melayu, di Stadium Malawati.


Dr Mahathir berkata, sikap orang Melayu sendiri yang menggadai kuasa yang diberikan sehingga akhirnya maruah mereka dipijak dan dipandang hina bangsa lain.

Jelasnya, orang Melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini sepatutnya bersatu, tetapi bangsa itu sudah berpecah kepada kumpulan kecil, sehingga tidak mampu menguasai walalupun separuh daripada sokongan rakyat.


Dr Hamidin ketika mengulas isu berkenaan menjelaskan, orang Melayu perlu berusaha lebih keras untuk duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.

"Kalau kita lihat apa dinyatakan Dr Mahathir tentang sikap orang Melayu ialah bagaimana kita seharusnya berusaha lebih keras dan Melayu seharusnya mengambil risiko untuk kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi malahan mendahului bangsa atau komuniti lain untuk bersaing dalam negara ini.

"Contoh yang beliau berikan ialah apabila dengan harta yang ada, tanah yang dimiliki ia seharusnya menjadi modal utama bagi orang Melayu untuk bersaing bukannya mendapatkan keuntungan secara mudah.

"Begitu juga dalam konteks pekerjaan, beliau menyatakan orang Melayu sendiri mestilah berani untuk melakukan pekerjaan yang dilihat memberi cabaran kepada mereka, dalam konteks ini saya melihat apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu lebih kepada satu peringatan kepada orang Melayu bahawa orang Melayu juga harus menerima cabaran perubahan yang berlaku ketika ini," jelasnya.

Kongres Maruah Melayu merupakan anjuran bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).