ALOR SETAR: Padah menggunakan penyata bank syarikat palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam, seorang kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah, memerintahkan tertuduh Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama tempoh setahun sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.

Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu dan dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 22 Feb 2019.

Bagi kesalahan itu Ronie didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan tender itu merupakan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Terdahulu, Ronie dalam rayuannya yang diwakili Peguamnya Datuk Hanif Hassan memohon pertimbangan mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh iaitu denda yang rendah tanpa penjara memandangkan perniagaan Ronie merudum sejak setahun lalu di samping keadaan ekonomi tidak menentu selepas pasca pandemik.

Tertuduh turut mempunyai tiga anak yang masih belajar berumur antara 15 hingga 21 tahun serta perlu menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rehab Abdul Shukur yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dapat memberikan teladan untuk masyarakat.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.