KUBANG PASU: Seorang kontraktor yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan maut selepas bot dinaiki bersama dua rakannya terbalik di Sungai Tandop, Taman Osman Aroff, dekat Jitra pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian berkenaan berlaku sekitar jam 3 petang.

Katanya,  ketiga-tiga mereka adalah kontraktor yang dilantik oleh sebuah syarikat utiliti bagi melakukan kerja pemasangan kabel di permukaan sungai itu.

“Selepas bot yang dinaiki terbalik dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing namun mangsa lemas di dalam sungai terbabit.

“Mangsa yang maut dikenal pasti Hussain Hassan, 49, telah ditemui oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Jitra pada jam 4 petang selepas melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Rodzi berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.