LABUAN: Seorang kontraktor tempatan didenda berjumlah RM40,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengemukakan penyata bank syarikat yang palsu bagi mendapatkan kontrak kerja penyelenggaraan bernilai RM95,420.00 tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga mengenakan hukuman denda itu terhadap Faizal Md Yassin, 45.

Faizal didenda RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayarnya, dia perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.

Dia didakwa telah menyerahkan penyata bank Efqi Jaya yang palsu bagi Disember 2019 dan Januari tahun lepas kepada Jabatan Pendidikan Labuan untuk memohon kontrak kerja penyelenggaraan di Sekolah Kebangsaan Pantai.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat jabatan itu di Kompleks Taman Kewangan di sini pada 14 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Faliq Basirudin manakala Faizal tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA