Kontraktor tempatan yang membida projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mula meraih manfaat daripada pembangunan itu seawal suku keempat tahun ini (4Q19), dengan 331 syarikat bersaing membida untuk berkongsi projek itu, kata MIDF Research.

Berdasarkan pengurangan sejumlah besar kos projek itu, firma penyelidikan itu berkata faktor harga dan pelaksanaan akan menjadi tumpuan, dengan kontraktor yang mempunyai rekod baik dan pengalaman luas dalam kerja pembinaan mempunyai kelebihan.

"Kami sebelum ini difahamkan bahawa pemberian kuantum berskala besar biasanya dalam julat konservatif iaitu RM500 juta hingga RM1.5 bilion.

"Kami sedar bahawa 10 peratus kadar penyiapan sebahagian besarnya akan membabitkan penjajaran dari Mentakab ke Dungun yang terletak di bawah Seksyen B," katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDF Research berkata pasca 10 bulan pengantungan, pembinaan keseluruhan penjajaran ECRL dibahagikan kepada tiga seksyen utama, dikategorikan sebagai Seksyen A, Seksyen B dan Seksyen C.

Katanya kerja-kerja infrastruktur bagi seksyen berkenaan akan bermula dalam fasa berbeza, tertakluk kepada selesainya pengambilalihan tanah dan penyerahan skim landasan.

"Manakala kelewatan pula berpotensi menjadi halangan, hasil daripada pemeriksaan awam mungkin tidak mempunyai sebarang kesan nyata terhadap skop reka bentuknya.

"Kami difahamkan pengambilalihan tanah bagi laluan Dungun ke Mentakab (Seksyen B) sedang berlangsung. Ia melibatkan sebanyak 1,235 lot, merangkumi kawasan di Pahang dengan kebanyakan lot sudahpun diwartakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Bagi penjajaran baharu menghubungkan Mentakab-Bangi-Klang, pengambilalihan tanah dijangka bermula pada separuh kedua 2020.

Mengenai cabarannya, MIDF Research berkata ia mungkin timbul pada penjajaran ke arah selatan, melibatkan empat kawasan utama iaitu Mentakab, Nilai, Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Firma penyelidikan itu menjangkakan skop bagi kerja-kerja sivil mungkin memerlukan tempoh purata 46 bulan berdasarkan tarikh akhir penyiapan pada Disember 2026.

Penyambungan semula projek ECRL dikatakan telah memberikan kelegaan besar kepada Malaysia berikutan projek RM44 bilion itu akan menyumbang 2.7 peratus kepada pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, setakat ini, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" ke atas sektor pembinaan.

"Walaupun berita mengenai ECRL adalah positif, kami perlu mengakui bahawa jangkaan bahawa ia disambung semula turut memberi kesan pada harga indeks. Ini dicerminkan pada prestasi KLCON (Indeks Pembinaan Kuala Lumpur), yang dilihat bergerak lebih pantas daripada asasnya, sebelum pengumumannya," kata MIDF Research.

Ia menetapkan saranan "beli'' ke atas Gabungan AQRS (TP:RM1.72), Muhibbah Engineering (beli, TP:RM3.73), IJM Corp (jual, TP:RM2.00), MRCB (beli, TP:RM1.02), Sunway Construction (beli, TP:RM2.21) dan WCT (neutral, TP:RM0.88).

-- BERNAMA