SHAH ALAM: Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) merancang melaksanakan konvensyen bahasa kolokial (bahasa percakapan atau bahasa basahan) bagi mengumpulkan data berhubung bahasa berkenaan pada tahun hadapan.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata konvensyen menerusi program Ini Warisan Kita itu, akan dilaksanakan bertujuan mengumpulkan semua bahasa basahan yang ada dalam negara ini untuk direkodkan secara rasmi agar boleh dijadikan rujukan generasi akan datang.

"Tahun depan kita nak cuba laksanakan konvensyen bahasa kolokial. Ini kerana kita tiada rekod jumlah bahasa basahan yang ada dalam negara. Setiap satu komuniti ada keunikan bahasa basahannya sendiri, jadi kita cuba nak kumpulkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup program 'Food Unites: Ini Warisan Kita' bertemakan Makan Sama-sama edisi Nasi Lemak di sini pada Ahad.

Menurut Aaron, program Ini Warisan Kita yang dilancarkan pada Jun lepas merupakan satu daripada inisiatif kementerian itu bagi melestarikan warisan dan khazanah negara merangkumi kepelbagaian adat serta budaya etnik, selain kemajmukan dari segi kepercayaan dan latar bahasa.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya program itu mengetengahkan elemen etnisiti, bahasa, permainan tradisi, kesenian, alat muzik, budaya dan adat resam serta kepelbagaian makanan warisan rakyat Malaysia.

Menerusi segmen 'food unites' itu yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, beliau berkata pihaknya mengetengahkan menu nasi lemak dengan tema makan sama-sama, dengan 11 gerai nasi lemak paling popular di Lembah Klang mengambil bahagian.

"Nasi lemak dilihat sebagai makanan ruji yang amat digemari rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum selain telah menjadi identiti makanan Malaysia yang terkenal dalam kalangan pelancong luar negara.

"Tema ini juga merupakan simbolik kepada kebersamaan rakyat mencipta peluang untuk perhubungan antara warisan budaya yang berbeza di Malaysia serta membentuk pemahaman, sikap toleransi dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat," katanya.

Aaron berkata selain segmen tersebut, kementeriannya juga telah melaksanakan program berbentuk bahasa seperti pengajaran Bahasa Siam kepada pelajar sekolah di Kelantan, pameran lima etnik minoriti iaitu Siam, Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan Orang Asli Mahmeri di pusat beli-belah serta Misi Ini Warisan Kita Sukarelawan Siswa (YSS) ke Sabah dan Sarawak bagi mengenali budaya di samping menjalankan aktiviti khidmat komuniti.

-- BERNAMA